Blog Archive

Thursday 16 August 2012

MP BUKIT BINTANG TUMBUK PERAGUT

Seorang lelaki yang disyaki peragut berjaya ditangkap semasa cuba melarikan diri selepas ditumbuk di bahagian bahu oleh ahli Parlimen berusia 66 tahun.

fong kui lunAhli parlimen tersebut ialah wakil rakyat DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Insiden itu berlaku semalam di jalan berhampiran Shaw Parade, Pudu, Kuala Lumpur ketika Fong sedang berjalan menuju ke keretanya selepas makan tengah hari.

"Saya melihat beberapa orang mengejar seorang lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tanpa teragak-agak, Fong (kanan) menumbuk lelaki itu ketika berlari melepasinya.

"Saya cuba tumbuk mukanya tetapi hanya sempat mengenai bahu kirinya," kata Fong.

Tumbukannya itu berjaya melambatkan lelaki itu dan berjaya ditangkap oleh mereka yang mengejarnya.

Fong berkata suspek itu, bersama seorang rakannya, cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas didakwa meragut telefon mudah alih seorang wanita.

Tuesday 14 August 2012

LEBIH 60 NGO TUBUH MAJLIS GERAKAN NGO ISLAM BANTU ROHINGYA

KUALA LUMPUR - Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) bersama 61 badan bukan kerajaan (NGO) Asia Tenggara bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan NGO Islam yang akan berpusat di Malaysia bagi membantu etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, gerakan tersebut menggabungkan badan Islam bagi mencari jalan untuk membantu etnik tersebut.

Beliau berkata, kesengsaraan rakyat Rohingya membuka mata masyarakat Islam terutamanya NGO berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Antara misi kami ialah menggesa badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu ini.

"Malah, mendesak mereka supaya mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati protokol Badan Hak Asasi Manusia Asean (AHRB)," katanya selepas menandatangani Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam Asean Misi Kemanusiaan Rohingya, hari ini.

Antara negara yang terlibat sama adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, resolusi itu ditubuhkan untuk membantu pelarian Rohingya dari terus dianiaya dan dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar.

"Tindakan pemerintah Myanmar yang hanya mementingkan kerusi politik berbanding kesengsaraan masyarakat Rohingya yang dianiaya dan dibunuh sejak dua dekad lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika rombongannya ke Arakan baru-baru ini, mereka diberi amaran oleh pemerintah Myanmar suapaya tidak meneruskan perjalanan ke perkampungan tersebut.

Beliau bersama ahli rombongan menghadapi pelbagai cabaran kerana disekat oleh tentera mereka dari menjejakkan kaki ke perkampungan tersebut.

Menurutnya, di sebalik kekejaman pemerintah Myanmar, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kemanusiaan terutamanya, Thailand.

"Kementerian Thailand bersimpati dengan nasib masyarakat Rohingya telah membawa isu kesengsaraan mereka ini ke peringkat antarabangsa dengan merujuk kepada OIC.

"Malah, Angkatan Tentera Laut Thailand turut membantu pelarian Rohingya berlindung dari kekejaman rejim Myanmar," katanya.

HARGA MINIMUM ROKOK RM 7

PUTRAJAYA - Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 Sept dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.

Beliau berkata kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu karton.

"Mulai 1 Sept 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan... semua jenama rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.

"Pengilang-pengilang membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan 'Duta ASAP Smoke Free Lifestyle', di sini hari ini.

Liow berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Tahun lepas harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok (RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05).

Liow berkata walaupun sebelum ini penjualan rokok pada harga yang lebih rendah dilarang, syarikat rokok dibenar membuat pelarasan harga sebanyak tiga kali setahun dengan perbezaan harga tidak boleh melebihi lima peratus.

Beliau berkata kerajaan menguatkuasa peraturan baru itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Dengan penguatkuasaan peraturan baru ini, kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

DUA WARTAWAN DIDAKWA HINA,FITNAH PRESIDEN MESIR

KAHERAH - Dua wartawan Mesir, Tawfiq Okasha dan Islam Afifi akan dihadapkan di mahkamah kerana memfitnah dan menghina Presiden Mohammed Mursi.

Tawfiq, yang memiliki stesen TV al-Faraeen dan juga hos satu program, berhadapan dengan dakwaan memfitnah.

Dia didakwa menghasut agar membunuh presiden, demikian menurut jurucakap Pejabat Pendakwa Raya, Adel Saeed.

Islam pula, editor akhbar al-Dustour, dirujuk kepada mahkamah kerana menyebarkan maklumat palsu dan khabar angin yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara dan kerana menghina Mohammed.
Tarikh perbicaraan belum diputuskan.

Bagaimanapun kes itu dilihat akan menarik perhatian dunia, yang ingin mengetahui kebebasan media di bawah kepimpinan Mohammed.

Mohammed mengangkat sumpah sebagai presiden baru Jun lalu.

PEMAIN BOLA REMAJA MALAYSIA SERTAI KELAB ITALI

KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.   

Bapanya, Massimo memberitahu Media dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

"Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya," katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.
 
Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.

Monday 13 August 2012

PERODUA SEDIA BINCANG DENGAN PROTON

RAWANG - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bersedia untuk berbincang dengan DRB-HICOM Bhd mengenai kerjasama strategik dengan Proton Holdings Bhd. 

Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata Perodua menunggu langkah DRB-HICOM. 

"Kedua-dua pihak akan bertemu untuk mengenal pasti bidang kerjasama selepas DRB-HICOM membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya Perodua di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu masih di peringkat awal dan tiada mesyuarat formal dibuat sehingga kini. 

"Kita perlu menghormati keputusan DRB-HICOM mengenai perkara ini dan saya ingin katakan bagi pihak kami, kami bersedia untuk berbincang dengan mereka," kata beliau. 

Mengenai sama ada Perodua akan terlibat dalam rancangan masa depan DRB-HICOM dengan Proton, Aminar berkata ia bergantung kepada sama ada rancangan itu sesuai bagi Perodua. 

Aminar berkata Perodua akan menawarkan pemeriksaan di 22 tempat pada bahagian kenderaan secara percuma untuk semua kenderaan Perodua di bawah kempen itu, yang dilancarkan di Kawasan Rehat dan Rawat Jejantas Sungai  Buloh.

YUSUF HASLAM TEGUR NEELOFA,PENGURUS MINTA TIDAK BUAT SPEKULASI

PENGURUS pelakon jelita Neelofa, Amir meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berikutan tersebarnya kenyataan Datuk Yusof Haslam menegur Neelofa supaya ‘Jangan Lupa Diri’.

“Kenyataan rasmi akan dibuat Neelofa dalam jangka masa terdekat dan segala spekulasi mengenai perkara itu harap dapat dihentikan,” katanya ketika dihubungi Portal Online sebentar tadi.

Nama pelakon seksi, Neelofa sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila dia dikatakan semakin lupa diri walaupun dirinya baru setahun jagung menceburi bidang seni.

Memetik laporan gosip sebuah akhbar yang disiarkan hari ini, perkara ini tercetus apabila Yusof, Pengarah Urusan Skop Productions mengeluarkan kenyataan ‘Jangan lupa diri’ ke atas Neelofa.

Yusof dikatakan bengang dengan sikap bekas juara Dewi Remaja itu yang tidak mahu memberikan kerjasama mempromosikan filem terbaru lakonannya, S.A.M yang bakal menemui penonton pada 16 Ogos ini.

Menurut laporan itu juga, Neelofa dikatakan enggan turut serta mempromosikan filem terbabit kerana dia hanya memegang peranan kecil sahaja dalam filem arahan pengarah termuda negara, Syafiq Yusof itu.

Selain itu, Neelofa turut didakwa enggan menjawab atau melayan segala panggilan yang dibuat pihak Skop Productions terhadapnya sehingga menyusahkan mereka untuk berkomunikasi dengannya.

TH AGIH ZAKAT KEPADA 2600 ASNAF SELURUH NEGARA

PETALING JAYA - Lembaga Tabung Haji menyasarkan agihan zakat berjumlah RM1.3 juta kepada lebih 2,600 orang golongan asnaf di seluruh negara sempena bulan Ramadan. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata Tabung Haji sentiasa beriltizam untuk menggalas tanggungjawabnya dengan baik terutamanya dalam soal pembayaran zakat ke setiap negeri. 

"Program tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan oleh Tabung Haji juga memperlihatkan sifat prihatin dan tanggungjawab terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya golongan asnaf," kata beliau pada majlis berbuka puasa dan sumbangan Aidilfitri kepada 500 orang golongan asnaf di sini, hari ini. 

Penerima sumbangan pada hari ini terdiri daripada orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal yang dijemput khas dari sembilan daerah di Selangor. 

Selain diraikan dalam majlis berbuka puasa, mereka turut menerima sumbangan wang tunai RM500 seorang.

Majlis ini adalah anjuran terbesar bagi tahun 1433H dan merupakan antara siri program Ihya Ramadan yang dianjurkan Tabung Haji di seluruh negara. 

Sebelum ini, Tabung Haji menganjurkan majlis pengagihan zakat kepada golongan asnaf di Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kelantan dan Sabah. 

Pada awal tahun ini juga, Tabung Haji membayar zakat berjumlah RM10 juta kepada pusat zakat Selangor. 

Selain program Ramadan, Tabung Haji turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang lain untuk manfaat dan kesejahteraan komuniti Islam setempat khususnya golongan asnaf seperti program pembinaan rumah, kesihatan serta pendidikan di setiap negeri di seluruh Malaysia.

JANGAN HINA HUDUD : TGNA

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta mana-mana pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan negara Islam termasuk hukum hudud supaya tidak mengeluarkan perkataan ‘cacian’.

Nik Aziz bagaimanapun  berkata, beliau boleh menerima tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menentang pelaksanaan hudud kerana ia secara tidak langsung  memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya masyarakat bukan Islam.

“Saya setuju, biar (Karpal) bising, dari bising itulah orang akan faham, tetapi jangan sampai  mencaci,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Karpal yang berterusan mempersoalkan pemimpin Pas yang mahu melaksanakan hudud di negara ini dengan alasan ia tidak termaktub dalam perlembagaan negara.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pelaksanaan hukuman hudud memberi kesan langsung kepada masyarakat berbanding pelaksanaan hukuman yang dipraktikkan sekarang.

“Mengikut undang-undang sekarang, jika kes dadah, pesalah dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi jika hudud mereka dikenakan potong tangan.

“Jika gantung mereka hanya dibawa ke kubur tetapi jika potong tangan seluruh manusia akan mengambil pengajaran dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan diri,” katanya.

Ditanya, tindakan Karpal menjejaskan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Nik Aziz berkata, orang ramai harus memikirkan siapa yang menolak sebenarnya menolak hukuman hudud.

“ Jika kita tidak undi DAP kerana tolak hudud, macam mana dengan Umno yang juga menolak pelaksanaan hukuman itu,” katanya.

SEDIA 40K PELEKAT "TURUN HARGA KERETA" UTK TUMBANGKAN PUSAT

PKR meneruskan kempen menurunkan harga kereta dengan mengedar pelekat kenderaan kepada pengguna jalan raya yang pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata sebanyak 40,000 pelekat itu telah siap dicetak dan bakal diedar pada pengguna jalan raya dalam kempen itu.
Katanya, pelekat dengan slogan "Turunkan Harga Kereta" itu akan diedarkan oleh pemimpin PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan di tiga pintu keluar utama di ibu negara - plaza tol Sungai Besi, Gombak dan Jalan Duta.
"Kita berharap apabila kita mengagih-agihkan kepada orang yang pulang ke kampung. Mungkin cuti hari raya ini, kempen turun harga kereta ini tersebar ke seluruh negara," katanya kepada Malaysiaini hari ini.
Katanya, beliau sendiri akan melancarkan kempen tersebut bersama ADUN Pantai Jerejak Sim Tze Sin pada Rabu ini di ibu pejabat PKR.

Pada majlis pelancaran itu, mereka akan meletakkan pelekat tersebut pada sebuah "kereta maskot" model Proton Tiara berusia 15 tahun sebagai satu gimik kempen, tambahnya.

Kita juga melancarkan kereta (maskot) kempen ini. Kita juga akan gunakan untuk turun bersama-sama ke kawasan tertentu untuk mengedar risalah dan pelekat itu," katanya.

Rafizi berkata kereta itu masih berada di dalam bengkel untuk proses mengecat dan baik pulih dan dijangka siap Rabu ini.
Pakatan Rakyat sebelum ini mengumumkan bahawa rancangan untuk menurunkan harga kereta itu akan dijadikan sebahagian daripada manifesto 
gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang. 

Rancangan itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin antara lain mendakwa ia akan memberi kesan negatif 
kepada pembuat kereta nasional Proton dan juga pendapatan kerajaan.

NOH SERAH PADA TPM TARIKH TENDER SEMULA NFC

Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menyerahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan bila pemanggilan semula bagi tender projek Pusat Fidlot Nasional akan dibuat.

Saya akan umum kemudian. Bila dah siap nanti akan diumumkan balik oleh Tan Sri Muhyiddin. Sebab benda ini di bawah Tan Sri Muhyiddin.

"Biarlah dia yang umumkan. Saya tak berani nak komen. Kalau benda yang bawah saya, saya boleh komen," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mac lalu, di Dewan Rakyat, Noh memberitahu bahawa kerajaan akan memanggil tender bagi mengambil alih projek NFC tersebut.

Beliau berkata, kerajaan serius untuk memastikan agar projek itu tetap diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

Katanya lagi, proposal bagi menjemput syarikat untuk menguruskan projek tersebut telah dinyatakan oleh Perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan timbalannya.

Isu NFC melibatkan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Seri Mohamed Salleh apabila beliau didakwa menyeleweng wang dana awam berjumlah RM250 juta.

Bagaimanapun pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman fitnah terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berhubung pelbagai komen yang didakwa mengaitkannya dalam kemelut NFC.

Ketika memberi keterangan dalam kes saman fitnah berjumlah RM100 juta itu, Shahrizat bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu yang suaminya membida untuk projek Pusat Fidlot Nasional.

NAJIB HADIR SIDANG KEMUNCAK LUAR BIASA OIC DI MEKKAH

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri sesi keempat Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Mekah, Arab Saudi, Selasa ini.
Pada mesyuarat dua hari itu, Perdana Menteri dijangka menyampaikan kenyataan berkenaan pendirian Malaysia terhadap isu-isu yang akan dibangkitkan pada sidang tersebut, menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.
Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu dianjurkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud bagi membincangkan pelbagai isu yang sedang melanda dunia Islam hari ini.
Persidangan tersebut sudah bermula dengan dua mesyuarat persediaan iaitu Mesyuarat Peringkat Pegawai-pegawai Kanan pada Sabtu dan Ahad serta Mesyuarat Peringkat Menteri pada Isnin ini.
Persidangan itu bertujuan membincangkan situasi terkini serta mengembalikan dan mengukuhkan perpaduan umat Islam dan memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan, menurut Wisma Putra.
Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman.

KFC PIZZA DIAGIH PERCUMA

PASIR GUDANG - Lebih 20,000 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di seluruh negara berpeluang menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut percuma.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, program melibatkan penghantaran makanan amal ke seluruh negara itu turut meliputi penghantaran ke kawasan terpencil, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, rangkaian makanan segera itu mengagihkan hidangan KFC kepada lebih 12,800 yang menghuni lebih 140 rumah kebajikan seluruh negara.

“Pizza Hut pula menghantar pizza untuk dinikmati oleh lebih 7,500 orang yang menghuni lebih 90 rumah kebajikan.

“Program ini dilaksanakan dua hari bermula 9 Ogos lalu,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Johor Corporation dan Pelancaran Projek Penyayang Ke-56 dan Penghantaran Amal Pizza,  Jumaat lalu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  berkenan menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan.

Turut mengiringi baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Kamaruzzaman berkata, KFC telah mengagihkan hidangan percuma kepada rumah anak yatim dan kebajikan empat kali setahun.

Menurutnya, Pizza Hut pula melalui program penghantaran amal seluruh negara akan menghantar pizza pada waktu perayaan, termasuk Ramadan.

“Kejayaan yang dikecapi restoran KFC dan Pizza Hut adalah disebabkan sokongan kuat yang diberikan pelanggan setianya dan sebahagian keuntungan diberikan kepada masyarakat.

“Syarikat makanan segera ini turut mempunyai tabung penyayang yang merupakan dana kanak-kanak yang disumbangkan melalui peratusan pendapatan yang diperoleh daripada jualan KFC Chicky Meals untuk disalurkan kepada anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

TAMRIN SERTAI PAS,TIADA KESAN KEPADA UMNO

BATU PAHAT – Tindakan anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba, Datuk Tamrin, keluar Umno dan menyertai Pas langsung tidak memberikan kesan kerana bakat kepimpinannya dalam politik tidak seperti ayahnya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, soal siapa pun ahli Umno yang menyertai pembangkang adalah perkara biasa dan tidak langsung menjejaskan perjuangan Umno, termasuklah Tamrin.

"Tamrin sudah lama tidak aktif dalam Umno, saya yakin punca utamanya berpaling tadah kerana merasakan dirinya tersisih.

“Beliau sebenarnya memerlukan satu tempat yang baru untuk menaikkan namanya dalam politik sedangkan dalam Umno beliau sudah tidak popular lagi. Sebab itulah beliau keluar dan sertai Pas," katanya selepas menyampaikan wang pendahuluan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Senggarang, semalam.

Mohd Puad berkata, Umno juga tidak merasakan pemergian Tamrin suatu kehilangan kerana beliau tidak mempunyai kualiti sehebat arwah bapanya.

DAP SEDIA MUZAKARAH

SHAH ALAM - DAP sedia bermuzakarah dengan Pas dalam usaha beri kefahaman lebih kepada ahli DAP tentang Islam, terutama hukum hudud.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), DAP sentiasa bersedia bermuzakarah dalam apa juga isu.

"Komponen kita berbeza dengan Umno yang tidak hirau dengan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) sama ada MIC, MCA, mahupun parti komponen di Sabah dan Sarawak.

"Saya mahu tahu adakah persetujuan parti-parti lain diminta oleh Umno bagi mengisytiharkan negara Islam secara unilateral? Bagi saya, kenyataan (Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan pendirian Pas yang juga dihormati dan diiktiraf oleh DAP," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, walaupun berbeza pendapat mengenai sesetengah isu, perjuangan PR atas dasar bersama dan prinsip sejagat seperti kebenaran, ketelusan, kesaksamaan dan demokrasi akan terus dipertahankan.

Kelmarin, Abdul Hadi menegaskan DAP berhak menyatakan pendirian berkenaan hudud, termasuk tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum Islam itu.

Namun kata Abdul Hadi, Pas akan terus berusaha jelaskan kepada pemimpin DAP, termasuk Pengerusinya, Karpal Singh, tentang prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, DAP menghormati syariah dan hudud yang dibawa agama Islam kerana ia adalah sebahagian daripada agama itu.

"Kita menghormatinya, malah nilai keamanan dan kebaikan dibawa setiap agama perlu dihormati agama lain. DAP hormati asas agama yang dibawa mana-mana agama," katanya.

TIGA LELAKI NIGERIA DITAHAN

MELAKA- Polis merampas wang tunai RM40,000 dan menahan tiga lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket memperdaya wanita melalui internet di sebuah pangsapuri di Batu Berendam di sini, semalam. 
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka Supt Soh Hock Sing berkata kesemua lelaki berusia 26 hingga 28 tahun serta wanita tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai pasangan kekasih seorang daripada lelaki terbabit ditahan dalam serbuan pada 12 tengah hari hasil risikan polis. 
   
"Polis menjumpai wang tunai tersebut disorok di bawah tilam yang kononnya dikumpul daripada rakan-rakan mereka untuk sesuatu tujuan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
   
Turut dirampas tiga pasport tamat tempoh, enam telefon bimbit dan tiga komputer riba.
   
Soh berkata hasil siasatan mendapati dua daripada lelaki terbabit mempunyai visa pelajar asing di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur namun satu daripadanya tamat tempoh.

Beliau berkata seorang daripada mereka juga mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama dan dihadapkan di mahkamah baru-baru ini.
   
Katanya polis turut menemui beberapa sijil palsu menggunakan logo kerajaan Malaysia yang disimpan dalam pemacu pena kononnya mereka diberi projek bernilai jutaan ringgit selain salinan sijil daripada sebuah bank tempatan yang menyatakan mereka menerima cek berjumlah US$1.8 juta.
   
"Kesemua dokumen palsu ini bertujuan memperdaya dan meyakinkan mangsa mereka melalui e-mel terutama golongan wanita untuk terlibat dalam aktiviti pelaburan yang dijalankan," katanya.
   
Dalam pada itu, Soh berkata secara keseluruhan, sebanyak 24 kes penipuan internet membabitkan kerugian RM367,550 dilaporkan antara Januari dan Julai lepas.
   
Katanya jumlah kerugian tersebut dijangka terus meningkat berbanding tahun lepas yang hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM448,779 melibatkan 20 kes penipuan.

MANAF TEKAD TEBUS KECEWA DALAM SAINGAN #PM2012

KUALA TERENGGANU - Penyerang berbisa Terengganu, Abdul Manaf Mamat bertekad menebus kekecewaan dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 22 Ogos ini. 

Menurut anak jati Kuala Terengganu itu, semangatnya memburu Piala Malaysia semakin membuak-buak setelah pasukan Penyu gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam Liga Super. 

Beliau berkata kegagalan tersebut jelas memberi semangat dan nafas baru bukan sahaja kepada dirinya malah semua pemain untuk memburu piala berprestij itu. 

"Secara jujurnya saya sememangnya mengharapkan dapat mendakap dan membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu setelah 11 tahun kemarau untuk menjulang piala itu.

"Tahun lalu saya pernah merasai nikmat menjulang Piala FA dan kini saya berharap dapat mengulanginya pada Piala Malaysia selepas pasukan kami gagal dalam saingan Liga Super dan Piala FA," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun berkata ia bukan satu tugas mudah kerana Terengganu diundi dalam kumpulan B bersama Kelantan, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Saya akui laluan kami dalam saingan Piala Malaysia sukar kerana akan berdepan juara Piala FA dan Liga Super (Kelantan) pada aksi pembuka tirai. Namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat pemain Terengganu," katanya.

Malah, Manaf serta rakan sepasukan yakin mampu membawa Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia dengan bimbingan ketua jurulatih Peter Butler. 

Pemain kebangsaan itu juga optimis Terengganu mampu mengulangi kejayaan lalu walaupun tanpa khidmat pemain pinjaman sebaliknya mengekalkan pemain sedia ada serta pemain pelapis daripada skuad Piala Presiden.

"Saya yakin dengan kemampuan ketua jurulatih. Selain itu dengan kemunculan semula beberapa pemain daripada skuad kebangsaan seperti Ashaari Shamsuddin, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi dapat memantapkan lagi pasukan  Penyu," katanya.

Saturday 11 August 2012

MERCY MALAYSIA PASANG PENAPIS AIR DI THAILAND

KUALA LUMPUR - Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) bersama rakan kongsinya di Thailand, Rural Elderly Entrepreneurship Development Association (Reeda), memasang sistem penapisan air di 11 lokasi dalam wilayah Chainat dan Singburi.

Timbalan Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia Ahmad Faezal Mohamed berkata sistem itu dipasang di kawasan awam bagi memaksimumkan ketersediaan air bersih kepada penduduk.

 "Mercy Malaysia amat berbesar hati boleh membantu penduduk di Chainat dan Singburi kerana ia akan merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan Thailand.

"Kami juga berharap kerjasama antara Mercy Malaysia dan Reeda akan menjadi permulaan kepada kolaborasi jangka panjang dalam aktiviti kemanusiaan, terutama dalam memastikan bekalan air minum yang berterusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Faezal juga berkata Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Nazirah Hussain menyerahkan lebih enam sistem penapisan air di Chainat dan lima di Singburi kepada penduduk kampung pada majlis yang diadakan di wilayah berkenaan semalam.

KP UMNO GESA KAJI SEMULA AKTA KETERANGAN

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini meminta perhatian kerajaan untuk menambahbaik Akta Keterangan 1950 yang berkuatkuasa 1 Jun lepas.
Beliau berkata akta tersebut dilihat masih ada kekurangan dan mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi menjamin kebebasan pemilik laman web.
“Peruntukan yang dimaksudkan adalah dari segi kebebasan dan kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikan web.
“Saya telah bangkitkan isu beban bukti kepada peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz untuk mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Perdana 1Malaysia di Masjid As-Syakirin, hari ini.

Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran yang disertai 700 pelajar maahad tahfiz sekitar lembah Klang.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah bahawa terdapat beberapa kelemahan dalam pindaan akta itu.
Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkian pindaan Fasal 2 yang bertujuan mengantikan takrif Komputer yang baru lebih komprehensif dan selaras dengan takrif Komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.
Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut pula memperuntukkan memasukkan seksyen baru, 11 4A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.

ANWAR NAK AMBIL,AMBILLAH :NAZRI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan wakil rakyat BN untuk melompat parti menjelang pilihan raya umum ke-13 adalah perkara biasa.

Ada di kalangan wakil rakyat atau pemimpin Umno tidak dicalonkan untuk bertanding, jadi mereka telah ambil tindakan awal terpaksa lompat (parti) macam katak kerana mahu bertanding dalam pilihan raya," beliau dipetik sebagai berkata.

Nazri berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa akan terapat pemimpin BN Sabah menyertai mereka tidak lama lagi.

Nazri juga berkata, tindakan Anwar menarik pemimpin BN yang tidak tercalon dalam pilihan raya umum akan datang untuk menyertai pakatan pembangkang, tidak akan menjejaskan BN, lapor Bernama.

"Kalau Anwar nak ambil mereka yang tak akan dicalonkan lagi untuk masuk parti Anwar, ambil la...," beliau dipetik sebagai berkata.

"Anwar pun bapak katak sebab dulu Anwar pun lompat parti dari Umno ke PKR. Tak hairan kalau dia menerima golongan dia sendiri, katak akan terima katak."
  *

TAK PERLU ISTIHAR HARAM SOKONG DAP

Tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Bercakap kepada pemberita hari ini, anggota parlimen Temerloh itu juga berkata, jika tidak bersetuju dengan pandangan parti lain, mereka sentiasa boleh menyangkal atau mengetengahkan ideanya sendiri.

Utusan Malaysia pada 8 Ogos melaporkan di muka depan, seorang guru pondok berpendapat  haram bagi umat Islam menyokong DAP.

Pengasas pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah dilaporkan berkata, ini kerana DAP secara terang menentang negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Beliau bagaimanapun menyifatkan MCA yang lantang menentang hukum itu "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya."

Friday 10 August 2012

AIR ASIA RANCANG BINA PUSAT LATIHAN ANTARABANGSA

JAKARTA - PT AirAsia Indonesia, sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia, merancang untuk membangunkan sebuah pusat latihan juruterbang bertaraf antarabangsa di Cengkareng, Banten pada Mac tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dharmadi dilaporkan berkata selain bertujuan melatih juruterbang syarikat itu supaya bertaraf antarabangsa, pusat latihan itu juga terbuka kepada juruterbang lain dari seluruh dunia.

Rancangan mengenai pembangunan pusat latihan juruterbang itu sebelum ini telah disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes semasa pelancaran pejabat baru AirAsia ASEAN di sini pada Selasa  lalu, bagaimanapun beliau tidak memberikan butiran lanjut ketika itu. 

Fernandes menyebut bahawa pembangunan pusat latihan penerbangan dan sekolah kejuruteraan bagi membimbing golongan belia yang ingin mencebur diri dalam industri penerbangan, merupakan sebahagian daripada pelan jangka  panjang AirAsia.

AirAsia sudah mempunyai sebuah pusat latihan serupa tidak jauh dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, Selangor iaitu Asian Aviation Academy.

100 PEKERJA JANA NIAGA TUNTUT UNISEL BAYAR GAJI

KUALA SELANGOR - Lebih 100 pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan kediaman penuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya di sini, mengadakan demonstrasi menuntut gaji mereka dibayar oleh universiti milik kerajaan negeri ini.

Wakil kumpulan pekerja itu, Eksekutif Kanan JNSB Norrashikin Mat Juperi berkata kesemua pekerja terbabit tidak dibayar gaji sejak Mac lepas setelah Unisel berhutang kira-kira RM15 juta dengan syarikat itu.

"Kami berkumpul hari ini meminta Unisel dan kerajaan Selangor bertanggungjawab membayar gaji kami yang tertunggak.

"Jangan anak tirikan kami. Kami juga seperti petugas Unisel dan penduduk kampung di sini. Jangan aniaya kami lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, kumpulan berkenaan yang berkumpul selama sejam di hadapan pintu masuk utama Unisel, dihalang memasuki universiti berkenaan.

Hasrat kumpulan itu untuk menyerahkan memorandum dan berbincang dengan wakil Unisel juga tidak dilayan.

Kumpulan berkenaan mendesak kerajaan Selangor memandang serius perkara itu dan membela nasib mereka seperti mana kesanggupan kerajaan pembangkang itu membiayai kos guaman pemimpin mereka dalam kes mahkamah.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Shahadan yang turut memberi sokongan kepada kumpulan itu, meminta supaya kerajaan Selangor menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan pekerja terbabit.

Akhbar melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan syarikat JNSB.

Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik kerajaan negeri itu.

ISU UNISEL BUKTI SELANGOR GAGAL: AHMAD MASLAN

KUALA LUMPUR - "Jangan silap pilih kerajaan kerana ia perlu ambil masa lima tahun untuk dibetulkan dan rosakknya itu sukar untuk dibaiki.”
Itu reaksi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Ahmad Maslan ekoran tindakan lebih 100 pekerja dan kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) berdemonstrasi di hadapan pintu masuk Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya berikutan dakwaan kegagalan kerajaan negeri membayar hutang berjumlah hampir RM15 juta kepada majikan mereka membuatkan bayaran gaji mereka masih tertunggak.
Menurutnya, ia juga menjadi bukti satu lagi siri kegagalan Kerajaan Negeri Selangor mentadbir negeri itu.
"Satu persatu kegagalan kerajaan pembangkang ini didedahkan. Bukan didedahkan oleh Umno tetapi oleh mereka yang sudah tidak tahan lagi tentang segala perkara-perkara yang tidak patut berlaku.
“Banyak siri kegagalan kerajaan Negeri Selangor, dan ini adalah siri terbaru bukti kerajaan negeri Selangor gagal mentadbir Unisel itu sendiri," katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Amal Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (KeMUDA), dan Kempen Derma RM1 sempena Majlis Berbuka Puasa Amal KeMUDA bersama Anak-anak HIV, fakir miskin dan ibu tunggal di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendedahan kebenaran seumpama itu perlu diteruskan supaya rakyat tahu dan tidak silap memilih kerajaan.
"Apabila silap memilih kerajaan, kesannya cukup besar, anak-anak tidak dapat belajar salah satu kesannya.

"Pelabur tidak masuk dalam negeri Selangor kerana masalah air kerana tidak pasti apa akan berlaku tentang isu air. Suasana tidak menentu dan bagaimana mentadbir kewangan yang tidak betul," katanya.
Hari ini, pekerja-pekerja JNSB yang terdiri daripada kontraktor pembersihan, keselamatan, penyelenggaraan serta landskap berdemonstrasi kerana mendakwa tidak menerima gaji sejak Mac lalu.
Mereka  berkumpul seawal jam 2 petang dan beramai-ramai berarak untuk masuk ke dalam Unisel bagi meluahkan perasaan tidak puas hati dan menuntut gaji mereka.

NOH: SELANGOR BOLEH HANCUR

TANJONG KARANG - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata negeri ini boleh 'hancur' akibat pentadbiran kerajaan pakatan PKR-DAP-Pas tidak tersusun dan pelbagai isu yang timbul.
"Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tidak tahu apa yang berlaku di bawah," katanya ketika ditemui selepas melawat pesakit di Hospital Tanjong
Karang, semalam.
Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, selepas satu persatu transaksi pengambilan hutang Talam Corporation dibangkitkan
Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong, barulah kerajaan negeri bertindak melantik firma audit untuk meneliti perjalanan pengambilan hutang itu.
Selain itu, beliau mendakwa audit ke atas akaun Universiti Selangor mendapati ia mengalami kerugian sedangkan antara 2005 dan 2008, tidak berlaku
masalah kewangan dan kontraktor masih mendapat bayaran.
Mungkin semasa mereka mengambil alih pentadbiran Unisel, peruntukan yang ditinggalkan Barisan Nasional masih banyak namun kini dana berkurangan dan wujud ketidakcekapan mereka mengurus mengakibatkan masalah kepada Unisel, katanya.
Noh berkata, Selangor juga berlaku tidak adil kepada mereka yang ingin menegakkan kebenaran serta keadilan apabila Pengarah Strategi  PKR, Mohd Rafizi Ramli dianggap hero dan kos guamannya ditanggung kerajaan negeri.
Beliau turut mempersoal nasib dua pegawai Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang dibuang kerja oleh anak syarikat kerajaan negeri itu kerana mendedahkan
kepincangan perjalanan industri pasir di Selangor.
Katanya, pakatan pembangkang sanggup menggunakan wang rakyat bagi membela pemimpin mereka seperti Mohd Rafizi, yang didakwa kerana melanggar
undang-undang.
Dalam perkembangan lain, Noh berharap pembinaan hospital baru Tanjong Karang di tapak yang diluluskan kerajaan di Sungai Terap dapat disegerakan memandangkan hospital sedia ada kecil.

MAHATHIR MINTA CAMPUR TANGAN SUU KYI

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar negara-negara Islam di seluruh dunia dapat bersama-sama memainkan peranan membantu menamatkan kesengsaraan etnik Rohingya di Myanmar.
Beliau berkata, usaha dari Malaysia semata-mata tidak mungkin mampu menyelesaikan masalah tersebut.
"Tapi kalau usaha datang dari seluruh umat Islam, negara-negara Islam dan negara-negara lain, saya yakin pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengambil tindakan untuk menyelamatkan Rohingya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan simbolik sumbangan air bersih melalui Projek "Waqaf Water4Gaza" di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan kerajaan Arab Saudi bahawa Myanmar yang majoriti penduduknya menganut agama Buddha sedang menjalankan proses pembersihan
etnik Muslim Rohingya di negara tersebut.
Dr Mahathir turut berharap agar kerajaan Myanmar yang kini telah membuka pintu kepada proses demokrasi agar bertimbang-rasa terhadap nasib buruk yang ditimpakan ke atas etnik Rohingya.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Mahathir berkata beliau telah menulis surat kepada ikon demokrasi yang juga aktivis hak asasi manusia di Myanmar, Aung Sang Suu Kyi kira-kira lima hari lepas yang meminta agar beliau campur tangan dalam isu tersebut.
"Dia mempunyai pengaruh dan saya harap dia akan menyatakan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Pemenang hadiah Nobel Keamanan itu baru-baru ini dilaporkan berkata "saya tidak tahu" apabila dilontarkan soalan sama ada etnik Rohingya merupakan rakyat Myanmar.
Pergolakan di negeri Rakhine antara penganut Buddha Rakhine dan Muslim Rohingya telah mengorbankan kira-kira 80 orang sejak Jun lepas.
Kerajaan Myanmar mengklasifikasikan etnik Rohingya sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh, tetapi tidak mengiktiraf mereka sebagai rakyat Myanmar.

FAM TANGGUH KES GHADDAR

KES pergaduhan melibatkan penyerang Kelantan dari Lubnan, Mohammed Ghaddar Mahmoud dengan dua pemain Selangor pada 29 Jun lepas yang sepatutnya dibicarakan di hadapan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, ditangguhkan kepada 16 Ogos ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Taufik Abdul Razak berkata, kes itu ditangguhkan ke tarikh baharu setelah Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Mohammed Ghaddar sedang bercuti selepas melangsungkan perkahwinannya di Lubnan.

"Kita mendapat surat daripada Kafa semalam memaklumkan pemain itu baru selesai mengadakan majlis perkahwinan di Lubnan dan akan kembali ke negara ini pada 13 Ogos.

"Setelah mengambil kira pelbagai sudut termasuk beliau (Mohammed Ghaddar) telah menghantar borang B - borang orang tidak mengaku salah serta surat pembelaan, kita bersetuju menangguhkan kes beliau kepada 16 Ogos ini," katanya
kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, di sini hari ini.

Dua pemain Selangor - Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin Umar, masing-masing digantung tiga perlawanan selain didenda RM1,500 oleh jawatankuasa berkenaan pada Selasa lepas, setelah kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.
Dalam insiden di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, Mohd Bunyamin didakwa menumbuk Mohamad Ghaddar manakala Mohd Amri dikatakan memijak belakang pemain tersebut pada perlawanan yang berkesudahan pasukan tuan rumah menumpaskan Selangor 1-0.
Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas penyerang tersebut sekiranya tidak hadir pada 16 Ogos ini, Taufik berkata pihaknya akan meneruskan kes tersebut walaupun tanpa kehadiran pemain berkenaan.
"Kes itu tetap dibicarakan kerana berdasarkan Kod 5.1.5 dan 5.1.6, jawatankuasa mempunyai hak meneruskan perbicaraan sesuatu kes walaupun tertuduh tidak hadir. Namun, saya lebih gembira jika beliau hadir menerangkan kepada kita
insiden di Kota Baharu," katanya.
Taufik berkata sekiranya pemain tersebut didapati bersalah oleh jawatankuasa tatatertib, beliau boleh dikenakan hukuman yang sama seperti terhadap Mohd Amri dan Mohd Bunyamin.
Sementara itu, katanya jawatankuasa tatatertib turut akan membicarakan kes melibatkan tiga pegawai Persatuan Bolasepak Pahang (PBNP) iaitu pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh, penolong pengurus Zainal Abidin Hassan dan anggota fisioterapi pasukan itu pada 16 Ogos ini.
Mereka didakwa mempertikaikan keputusan pengadil yang melayangkan dua kad merah kepada pemain Pahang pada perlawanan kalah mati Liga Super ketika menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 19 Julai lepas.
"Surat pertuduhan telah dihantar kepada ketiga-tiga pegawai tersebut pada Selasa lepas dan kes berkenaan  akan dibicarakan pada 16 Ogos ini," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Pahang mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa penuh permainan untuk mengisi slot terakhir ke Liga Super musim depan.

NAJIB: KITA SEDIA DITOLAK

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedia ditolak sekiranya tidak berjaya memenuhi janji kepada rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji adalah sendi kepada masyarakat dan ia bukan satu permainan politik.

“Kita bersedia ditolak oleh rakyat jika tidak kotakan janji.

“Dalam soal ini kita bukan bermain politik, tetapi apa yang penting kita jangan sekadar bercakap, tetapi tidak tunaikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Dana Khas Hari Raya di Kampung Padang Nenas, semalam.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan, tema sebenar kerajaan ialah berpaksikan kepada Islam, bukannya berpaksikan kepada politik.

“Rakyat tidak perlu gusar kerana kita berada pada landasan betul. Apa yang kita buat berlandaskan al-Quran dan sunnah. “Kita berjuang untuk tunaikan janji kita kepada rakyat.

Dengan sokongan rakyat, saya harap Malaysia dinobatkan negara Islam pertama bergelar negara maju,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Tepoh, Muhammmad Ramli Noh.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan Sumbangan Ehsan Ramadan RM170,000 kepada 1,000 orang kurang berkemampuan.

SHAHRIZAT JALIL TAK TAHU ANAKNYA TERLIBAT NFC

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mengetahui anak keduanya terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) sehinggalah diberitahu pada 2007.

Shahrizat berkata sebelum itu beliau tidak mengetahui bahawa Wan Shahinur Izran Mohd Salleh, 28, telah menjadi pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sejak Disember 2006.

Beliau mula mengetahui perkara itu apabila suami beliau, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail memberitahu mahu anak-anak mereka pulang ke tanah air dari luar negara untuk membantu menguruskan projek tersebut.

"Saya tidak tahu mengenai bidaan projek tersebut. Saya hanya tahu pada sekitar 2007 selepas suami saya menyatakan hasrat mahu anak-anak pulang ke tanah air untuk membantunya dalam projek ini.

"Ia berlaku selepas beliau (Mohd Salleh) telahpun memperoleh projek itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ranjit Singh dalam prosiding kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

Ranjit mewakili kedua-dua defendan.

Shahrizat turut menafikan mengetahui projek NFC lebih awal dan perbincangan mengenai NFC bukanlah atas kapasiti sebagai seorang menteri sebaliknya perbualan antara suami isteri.

Ditanya bukankah Wan Shahinur Izran masih terlalu muda untuk dilantik sebagai pengarah syarikat kerana baru berusia 22 tahun ketika itu, Shahrizat berkata ia tidak salah kerana anaknya telah tamat pengajian ketika berusia 19 tahun di Amerika Syarikat serta antara pelajar terbaik.

Katanya Wan Shahinur Izran tinggal bersamanya sejak 2004 dan dua lagi iaitu Wan Shahinur Izmir, 32, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, 26, berada di luar negara dan kembali ke Malaysia pada 2007 untuk menyertai NFC.

Tambahnya walaupun beliau, suami dan Wan Shahinur Izran tinggal sebumbung tetapi mereka tidak ambil tahu urusan kerja masing-masing.

Shahrizat berkata beliau mula meneliti pembabitan ahli keluarganya dalam projek itu pada tahun lepas selepas tersiar di media dan meminta suaminya memberi penjelasan.
   
Ketika ditanya oleh Ranjit bahagian manakah di dalam kenyataan kedua-dua defendan sehingga memudaratkan dirinya, Shahrizat berkata:

"Kata-kata mereka membuatkan orang ramai menyalahkan saya."

Di awal prosiding, mahkamah ditunjukkan tayangan video mengenai sidang media melibatkan kedua-dua defendan di bangunan Parlimen.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk daripada defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Sept.

REBAT TOL SEMPENA AIDILFITRI

KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 lebuh raya bersetuju memberi diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 37.5 peratus bagi kenderaan kelas 1 sempena sambutan Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, ini merupakan diskaun dan rebat tol tertinggi pernah diberi pengendali lebuh raya di negara ini.
"Bagi pengguna kenderaan kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik di lebuh raya di bawah kendalian PLUS Berhad, mereka boleh menikmati rebat tol sebanyak 30 peratus pada Rabu dan Khamis, dan pada 22 dan 23 Ogos.
"Manakala bagi lebuh raya lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur, pengguna akan menikmati diskaun tol di antara 10 peratus hingga 37.5 peratus bermula 18 Ogos hingga 21 Ogos, " katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini hari ini.
Shaziman berkata, bagi meraikan sambutan kemerdekaan pula,  Lebuh Raya Maju (MEX) dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menawarkan tol percuma kepada pengguna bagi semua kenderaan pada hari berkenaan.

Katanya, 22 lebuh raya lain pula bersetuju memberi insentif berbentuk diskaun dan rebat tol antara 10 hingga 30 peratus.
Dalam pada itu, Shaziman meminta agar segala kerja penambahbaikan di semua lebuh raya dihentikan pada musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik dan mengelakkan kesesakan.
"Kita minta ianya dihentikan dari tempoh seminggu sebelum raya sehingga seminggu selepas raya.
"Dijangka dalam tempoh sehari, sebanyak 1.7 juta pengguna akan menggunakan Plus pada musim perayaan berbanding 1.2 juta pada hari biasa.Jadi kita tidak mahu bila musim perayaan kerja  penambahbaikan ini masih diteruskan, kecuali ianya kecemasan," katanya.

Thursday 9 August 2012

HARAM UNDI : DAP BUAT LAPORAN POLIS

SHAH ALAM – DAP membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah, Jalan Patani, Pulau Pinang pagi tadi berhubung laporan akhbar Utusan Malaysia semalam yang bertajuk “Haram, berdosa undi DAP”.
Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, laporan tersebut  bermotif politik dan bertujuan untuk menabur fitnah.
Katanya, untuk mengelak daripada sebarang kekeliruan dan ancaman yang mungkin timbul akibat tuduhan-tuduhan palsu yang tidak bertanggungjawab oleh akhbar itu.
Katanya, laporan tersebut membawa implikasi bahawa DAP parti kafir harbi, hatta menjadi musuh yang ingin memerangi Islam.
Tambah Zairil, ini merupakan satu tuduhan yang sangat berbahaya dan jelas dilakukan dengan niat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.
“Apakah asas untuk tuduhan sedemikian memandangkan DAP tidak pernah memusuhi mana-mana agama?
“Malah, DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan,” katanya lagi.More Sharing Services

20 NGO ANJUR HIMPUNAN JANJI BERSIH

KUALA LUMPUR - Lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan akan menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 - susulan kepada lapan tuntutan Bersih 2.0.
Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said berkata, perhimpunan ini, yang diadakan pada jam 10 malam 30 Ogos di Dataran Merdeka, dianjurkan bagi membawa mesej orang ramai memerlukan sebuah Malaysia yang bersih dan adil.
"Kami mahu lapan tuntutan itu ditunaikan," kata beliau pada sidang media yang diadakan di sini.
"Kami dengan terbuka hati menjemput semua rakyat Malaysia, anak semua bangsa untuk bersama-sama kami merayakan ketulenan Hari Kemerdekaan.
"Kita telah banyak mendengar janji-janji untuk perayaan sambutan merdeka tahun ini, kami tahu apa yang orang ramai mahu ialah Malaysia yang bersih dan adil sebagai sambutan Kemerdekaan yang ke-55," kata beliau lagi.
Beliau berkata, sebelum ini pelbagai janji yang dibuat oleh pihak kerajaan, tapi ia nya sekadar janji kosong semata-mata.
“Kami menjemput semua rakyat Malaysia, berkumpul di setiap pelosok negeri dengan memakai baju tema berwarna kuning tanda meraikan hari kemerdekaan nanti,” katanya.
Samad berkata, pihaknya tidak akan menghantar permohonan mendapatkan permit kebenaran perhimpunan.
“Tujuan perhimpunan ini, bukan untuk mengadakan demonstrasi, sambutan kemerdekaan harus diraikan oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, pada malam tersebut beliau akan mendeklamasikan sebuah puisi sempena Hari Kemerdekaan.

SKUAD RAJAGOPAL KALAH DALAM SIRI PERSAHABAT DENGAN KELAB HUNGARY

KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak kebangsaan tumpas 0-2 kepada kelab Hungary, Gyirmot Gyor FC dalam perlawanan persahabatan di Budapest, Hungary awal pagi tadi.

Pasukan negara yang dikenali sebagai Harimau Malaya kini sedang mengadakan latihan di Vienna, Austria dari 4 hingga 16 Ogos sebagai persiapan menghadapi
Piala AFF Suzuki pada November ini.

Kelab Hungary itu yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Hungary, János Csank membuka jaringan pada minit ke-30 menerusi pemain tengah Norbert Tóth
sebelum penyerang Magasföldi József menyumbat masuk gol kedua pada masa kecederaan (minit ke-92), menurut kelab itu seperti dipetik dalam laman web mereka http://www.gyirmotfc.hu
.
Anak buah Datuk K. Rajagobal itu akan menentang sebuah lagi kelab Hungary, TSV Hartberg empat hari lagi sebelum menamatkan Jelajah Eropah berdepan kelab
Austria, Szombathely Haladas FC pada 14 Ogos.
Skuad Harimau Malaya yang merupakan juara bertahan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada 2010, telah diundi bersama naib juara edisi lepas, Indonesia dan juara tiga kali, Singapura dalam Kumpulan B.
Sebuah lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan akan ditentukan selepas pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki yang berlangsung dari 5-13 Okt di Myanmar, yang bakal menampilkan pasukan tuan rumah, Brunei, Kemboja, Laos dan Timor Leste.
Juara tiga kali, Thailand yang merupakan tuan rumah bersama Piala AFF Suzuki 2012 dengan Malaysia, telah diundi dalam Kumpulan A bersama juara edisi 2008
Vietnam, Filipina dan sebuah lagi pasukan daripada pusingan kelayakan.
Perlawanan Kumpulan A akan diadakan di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand sementara aksi Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 24 Nov hingga 22 Dis.
Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir dan format perlawanan adalah bermain di tempat sendiri dan lawan dari 8-13 Dis manakala perlawanan akhir yang turut menggunakan format sama dari 19-22 Dis.
Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada 25 Nov diikuti berdepan pasukan yang layak daripada pusingan kelayakan dua hari kemudian sebelum menamatkan aksi kumpulan bertemu Indonesia pada 1 Nov.

KANAK-KANAK ROHINGYA PERLU BANTUAN

SHAH ALAM – Malaysian Relief Agency (MRA) merayu rakyat Malaysia menghulur bantuan berupa makanan ataupun wang kepada anak-anak pelarian Rohingya di negara ini.

Koordinatornya, Johari Kan Abdullah berkata, bantuan diperlukan bagi meringankan beban kanak-kanak terbabit yang sering kekurangan bekalan makanan.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Komuniti Rohingya, yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur berkata, ketika ini bantuan diterima terus daripada MRA.

“Bantuan berbentuk makanan amat-amat dialu-alukan terutamanya dalam bulan Ramadan ini bagi menampung keperluan berbuka puasa dan bersahur.

“Di sekolah ini mempunyai seramai 82 orang pelajar yang berusia dari enam hingga 16 tahun dan kebanyakan mereka ramai yang masih buta huruf,” katanya.

Katanya, kanak-kanak ini amat menghargai bantuan orang ramai kerana mereka tinggal dalam keadaan amat susah sebagai pemegang status pelarian.

Johari menambah, sumbangan tersebut boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama Malaysian Relief Agency, nombor akaun: 5640 9820 6365.

Selain itu, penderma boleh juga menghantar bantuan ke Malaysian Relief Agency, Lot 7, Jalan Raja Uda, Kampung Baru 50300 Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga penghujung Jun lali, lebih 99, 800 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar kini berada di Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 91,400 daripadanya merupakan pelarian Myanmar.

Berdasarkan pecahan kaum pula, mereka terdiri daripada 34,420 Chin, 23,830 Rohingya dan 10,580 Myanmar di mana yang beragama Islam seramai 6,050 berasal dari Rakhines, 3,730 Mons, 3,230 Kachin dan lain-lain dari etnik lain dari Myanmar.

SAMM Mahu Kerajaan Umum Lokasi AES

SHAH ALAM - Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa agar Kementerian Pengangkutan mengumumkan lokasi-lokasi kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), yang akan ditempatkan di seluruh negara supaya pengguna lebih berhati-hati menggunakan jalan raya semasa musim perayaan.

Penyelaras Kebangsaan SAMM, Yaser Sheikh Abd Rahman berkata, jika pihak berkenaan gagal untuk mengumumkan lokasi-lokasi kamera, ia jelas menunjukkan sikap mereka yang mahu mengaut keuntungan semata-mata, bukan meningkatkan kesedaran pengguna kepada “perception of being cought” seperti yang dimahukan kerajaan.

“AES merupakan sistem perangkap kesalahan lalu lintas yang mula beroperasi dan saman yang dikendalikan syarikat akan dilaksanakan bermula 12 Ogos ini dan pemilik kenderaaan boleh disaman hingga maksimum RM2,000 kerana sistem ini,” katanya.

Sistem ini merupakan penguatkuasaan secara automatik iaitu keseimbangan daripada Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006 hingga 2010.
Sistem penguatkuasaan yang mapan mampu mengubah sikap pemanduan tanpa mengira kadar pertambahan kenderaan, pemandu atau kekangan penguatkuasaan.

AES mampu mengesan dan merakam secara automatik sebaik sahaja  kesalahan lalu lintas dilakukan dan maklumat akan terus dihantar secara ‘real time online’ ke Pusat Kawalan AES bagi diproses seterusnya saman dikeluarkan secara automatik melalui pos kepada Orang Kena Saman (OKS).

Justeru, SAMM mahu menuntut pihak berkuasa melalui PDRM agar bersikap benar-benar ikhlas bagi menangani perkara ini.
“Walaupun terdapat banyak bantahan tetapi terhadap penswastaan saman lalu lintas, seperti biasa kerajaan tidak mempedulikan suara rakyat dan tetap melaksanakan sistem saman yang akan menguntungkan pemodal besar ini,” jelasnya.

Oleh itu, SAMM menasihatkan agar semua pengguna kenderaan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya dan juga kehilangan wang ringgit akibat disaman.
“Kami sendiri akan mengadakan kempen keselamatan jalan raya dengan cara tersendiri di beberapa lokasi seluruh negara,” katanya.

ANWAR MUNCUL DALAM GOOGLE HANGOUT-BORAK BERSAMA ANWAR

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan muncul dalam sesi Google Hangout - Borak Bersama Anwar pada 17 Ogos ini untuk berinteraksi dengan warga maya.

Sesi lebih sejam itu akan berlangsung mulai jam 10.30 malam.

"Saya teruja dengan prospek melibatkan rakyat Malaysia di Internet, pencetus kebebasan bersuara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apa yang penting kepada mereka.

"Anda ada soalan boleh bertanya terus," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) berkata, pasukannya dan pekerja sukarelawan akan bekerja keras untuk melayan setiap soalan dan pertanyaan mendahului sehingga acara itu dan termasuk sebahagian daripada mereka yang bertanya soalan untuk sesi LIVE.

"Anda boleh memantau perkembangan tersebut di laman peminat Facebook saya," kata beliau lagi.

Anwar berkata, beliau bangga kerana menjadi pemimpin politik tempatan pertama menggunakan Google Hangout.

"Tetapi semua ahli politik perlu mengambil ruang bersuara yang Google sediakan melalui Hangout.

"Mereka harus sediakan wacana terbuka, kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN).

"Mendengar dan memberi maklum balas kepada rakyat secara LIVE dalam suasana yang dinamik meningkatkan taraf hubungan dengan rakyat," katanya lagi.

Sesi sejam akan termasuk mereka yang dijemput untuk menyertai sebagai panelis video secara langsung, seperti yang dinyatakan sebelum ini, semasa sesi tersebut.

"Ahli panel akan dipilih dari mereka yang telah menghantar video mereka. Jadilah salah seorang daripada mereka.

"Dan, jika anda mahu bercakap tentang peristiwa ini di Twitter, sila menggunakan hashtag #BorakAnwar supaya orang lain dan saya sendiri boleh membaca tweet anda dan bertindak balas kepada mereka," kata beliau sambil menambah, beliau berharap ia akan menjadi satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan.

Wednesday 8 August 2012

Karpal Bersuara Lagi

KUALA LUMPUR - Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh melahirkan rasa kesal dengan sikap Pas yang masih mahu melaksanakan hudud.

Beliau berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali telah menyebut hudud mungkin tidak menjadi sebahagian Buku Jingga pakatan pembangkang tetapi tidak bermakna Pas akan menggugurkan idea tersebut.

"Hudud hanya boleh diguna pakai dalam negara Islam. Ia tidak boleh dilaksana di negara sekular seperti Malaysia. Negara sekular seperti Malaysia mesti mempunyai undang-undang sekular.

"Ini diputuskan pada 1988 apabila bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan (kemudiannya Mahkamah Agung) Tun Salleh Abas membuat keputusan negara ini ditadbir melalui undang-undang sekular yang bermakna Malaysia  merupakan negara sekular," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karpal Singh berkata, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tahun lepas berkata bahawa al-Quran tidak memperuntuk sebuah negara Islam tetapi negara kebajikan.

"Kenyataan ini perlu menghentikan objektif jangka panjang Pas untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam," katanya.

GHADDAR TAK MUNCUL DI KEM LATIHAN TRW

BELUM pun reda kontroversi dengan pemain Selangor, Mohd Bunyamin Umar, penyerang import sensasi Kelantan, Mohammad Ghaddar sekali lagi mencetuskan ‘ribut’ terbaru di kem pasukannya ketika ini apabila gagal melaporkan diri menjalani latihan bersama pasukan.

Kegagalan penyerang kebangsaan Lubnan itu yang sepatutnya bersama pasukan menjalani latihan pada 5 Ogos lalu sekali gus merencatkan persiapan awal yang dilakukan oleh The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.

Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengesahkan, Mohammad Ghaddar gagal melaporkan diri kepada majikannya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) seperti dijanjikan selepas aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Queens Park Rangers (QPR) 20 Julai lalu.

“Sepatutnya pemain ini melaporkan diri dengan kita pada tarikh tersebut. Segala usaha kita lakukan termasuk menghubungi beliau sendiri dan juga menerusi ejen di sini tetapi masih gagal,” katanya kepada Portal Online semalam.

“Kita ambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai perkara ini. Secara jujur kita masih menantikan maklum balas pemain ini sama ada menerusi telefon atau e-mel. Mana tahu mungkin beliau ada masalah yang perlu diselesaikan di Lubnan ketika ini.

Azman bagaimanapun menegaskan, tiada keistimewaan bagi Mohammad Ghaddar dan membayangkan penjaring terbanyak Liga Super Kelantan itu bakal berdepan hukuman daripada pihak Kafa sekiranya gagal memberikan alasan munasabah mengenai kehilangan dirinya.

“Itu sudah dikira ponteng latihan. Sama seperti pemain lain, Ghaddar juga tidak terkecuali berdepan hukuman seperti pemotongan gaji daripada pihak Kafa sekiranya didapati bersalah. Itu sudah termaktub di dalam perjanjian kontrak antara kami dengan beliau.

Selain Mohammad Ghaddar, seorang lagi awang import TRW, Obinna Nwaneri juga masih belum melaporkan diri namun Azman menjelaskan pemain pertahanan kelahiran Nigeria itu dijangka berbuat demikian dalam sehari dua lagi.

“Obinna (Nwaneri) diberi cuti panjang sedikit bagi membolehkannya menyelesaikan urusan di Switzerland. Saya percaya beliau tidak menghadapi masalah untuk kembali bersama Kelantan selepas ini,” katanya.

Ketiadaan dua tonggak import itu menyaksikan hanya Mijo Dadic dari Croatia dan Keita Mandjou (Guinea) turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan lain di bawah kendalian Bojan Hodak sejak 1 Ogos lalu.

KJ ANGGAP PR GERGASI,1 BODY 3 KEPALA

KUALA LUMPUR - Penggunaan tiga tema Hari Kebangsaan oleh negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) membuktikan mereka tidak bersetuju atau sependapat, meskipun dalam perkara yang mudah, kata Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata tindakan pembangkang itu memberi gambaran, negara pasti akan dalam keadaan kucar-kacir jika mereka diberi peluang mentadbir negara.

"Sekiranya mereka menang, beginilah cara mereka tadbir negara. Dasar lain, undang-undang pun lain. Mungkin di Kelantan ada hudud dan di negeri-negeri lain tiada hudud.

"Di Kedah ada hudud, di Pulau Pinang tidak ada hudud," katanya sebagai mengulas pendirian negeri-negeri pembangkang yang akan menggunakan tiga tema berbeza bagi menyambut Hari Kebangsaan yang ke-55.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno dan Ahli Parlimen Rembau ditemui pemberita selepas melancarkan "Pasukan Siber Pemuda BN" (BNYCT) di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan sikap PR umpama cerita dalam mitos Greek iaitu raksasa gergasi berbadan satu yang berkepala tiga.

"Dia tidak tahu kepala mana yang nak 'control' (kawal). Perkara yang mudah tentang tema kemerdekaan pun mereka (pembangkang) menggembar-gemburkannya.

"Jadi mereka buat satu keputusan dengan satu tema tetapi akhirnya ada tiga tema. Itu pun tak dapat kata sepakat," katanya.

Pembangkang membuat keputusan untuk menggunakan tema yang berbeza kerana tidak setuju dengan tema Hari Kebangsaan yang dipilih kerajaan pusat iaitu '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati'.

Tema sambutan Hari Kebangsaan bagi Kelantan ialah 'Menerajui Perubahan', Kedah memilih 'Terus Berbakti' manakala, Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema sama iaitu 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa'.

Terdahulu di majlis itu, Khairy berkata, BNYCT dilancarkan untuk dijadikan medium memperoleh maklumat tepat mengenai dakyah dan dakwaan pembangkang tentang sesuatu isu dan boleh diikuti menerusi Twitter dan Facebook.

UMNO YANG HINA JALUR GEMILANG, BUKAN SAYA!

KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghina Jalur Gemilang, sebaliknya berkata Umno yang berbuat demikian.

Ia berikutan tindakan Umno melalui Menteri Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meletakkan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema kemerdekaan tahun ini.

Dipetik Harakahdaily, Nizar berkata, pilihan tema berbaur kempen politik itu untuk diiring bersama Jalur Gemilang itu sendiri menunjukkan betapa bendera kebanggaan negara itu dihina.

"Umno dan BN yang menghina Jalur Gemilang apabila meletakkan tema kempen politik mereka seiring dengan bendera negara.
"Itu yang saya ingin bawakan pemikiran rakyat supaya berfikir usaha Umno itu," kata beliau yang juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kecaman yang diterima beliau ekoran tweet beliau berkenaan Jalur Gemilang dan kemerdekaan.

Isnin lalu, Nizar dlam tweetnya menulis  "Janji ditepati: malang perayaan Kemerdekaan tahun ini di buat oleh Kabinet BN, luntur semangat nak kibarkan jalur gemilang, jalur malang!"
Mengulas lanjut, Nizar yang juga bekas Menteri Besar Perak berkata, apa yang dimaksudkan beliau ialah Jalur Gemilang itu yang malang, bukannya menukarkan nama Jalur Gemilang kepada Jalur Malang.

"Saya katakan malang perayaan merdeka kali ini dibuat BN keraa slogan politik mereka, hingga menyebabkan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang luntur. Malanglah Jalur Gemilang bila tidak dikibarkan.  Jalur Gemilang itu yang malang," jelas beliau lagi.

Mengakui penggunaan ayat di laman maya, khususnya laman sosial boleh menimbulkan pelbagai pemahaman yang berbeza, Nizar bagaimanapun berkata, ramai yang mengecam tweet beliau itu menunjukkan betapa tidak fahamnya mereka terhadap patriotisme.

"Ramai di kalangan yang mengecam saya tidak faham tentang semangat patriotisme. Sebaliknya, hanya menunjukkan tahap patriotisme yang dididik Umno selama 54 tahun ini," tegas.

NYARIS DIROGOL RAKAN SUAMI

ALOR GAJAH - Hanya kerana sudah lama menyimpan perasaan, seorang lelaki tergamak cuba memperkosa isteri rakan baiknya sendiri.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa terselamat namun terpaksa menerima 38 jahitan di kepala dan patah jari telunjuk kiri kerana cuba mempertahankan diri selepas dipukul dengan cota.

Mangsa, P Anjalai, 27, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak bongsunya di dalam bilik.

Menurutnya, empat lagi anaknya, Yogeswaran, 9; Phavitra, 8; Thiviya, 5; dan Sutharshini, 4, tidur di ruang tamu.

"Rumah saya dimasuki lelaki terbabit selepas suami, P Thenagaran, 31, keluar bekerja.

"Anak-anak tidak menyedari kehadiran lelaki terbabit sehinggalah mereka mendengar jeritan saya," katanya.

Anjalai berkata, lelaki terbabit cuba menanggalkan pakaiannya tetapi dia berjaya melawan menyebabkan suspek berang dan memukul kepalanya bertalu-talu menggunakan sebatang kayu.

"Saya meraung menyebabkan anak bongsu terjaga dan menangis sambil memaut hujung kaki saya, menyebabkan lelaki terbabit semakin marah.

"Dia ambil anak bongsu saya dan hempasnya ke katil, malah anak sulung yang cuba membantu turut ditolak sehingga terjatuh ke lantai," katanya.

Menurutnya, dalam kesakitan dia berjaya juga menyalakan lampu bilik dan terkejut melihat lelaki terbabit adalah rakan suaminya.

"Dia terkejut kerana saya dapat lihat wajahnya dan segera minta maaf sebelum larikan diri. Dia kata sudah lama simpan perasaan terhadap saya," katanya yang segera menghubungi suaminya bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Thenagaran yang bekerja sebagai kelindan lori membawa muatan kelapa sawit di Machap berkata, dia segera membawa isterinya mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Menurutnya, dia berkawan baik dengan lelaki terbabit sejak tujuh tahun lalu dan tidak menyangka kejadian itu menimpa isterinya.

Berikutan kejadian itu, Thenagaran membuat laporan polis  di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira jam 6.45 pagi pada hari kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superitendan Abdul Rahman Jid berkata,   seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian pada hari yang sama.

“Semasa pemeriksaan, polis menemui sebatang kayu dipercayai cota patah yang ditinggalkan di rumah mangsa.

“Suspek direman empat hari sehingga 12 Ogos ini dan kes berkenaan  akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan merogol dan memukul,” katanya.

DIROGOL 5 LELAKI MENYAMAR PEGAWAI AGAMA

KOTA BHARU- Seorang wanita dipercayai dirogol bergilir-gilir lima lelaki di sebuah rumah kosong di Tanjung Mas di sini selepas didatangi dua individu tidak dikenali menyamar sebagai anggota pencegah maksiat, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, sebelum kejadian, dipercayai mangsa keluar berjumpa dengan teman lelakinya jam 2 pagi di bawah Jambatan Tanjung Mas.

Lai berkata, semasa pasangan terbabit sedang berbual, tiba-tiba terdapat dua lelaki tidak dikenali menghampiri pasangan itu dan menyamar sebagai anggota pencegah maksiat.
“Dua suspek ini memberitahu mereka dari jabatan kerajaan sambil menunjukkan kad.

Salah seorang suspek tersebut memberitahu mahu membawa mangsa dan teman lelakinya ke balai polis dan jabatan pencegah maksiat.
“Tetapi mangsa ada bagi tahu kepada dua suspek ini, mereka (pasangan terbabit) hanya berbual dan tidak melakukan apa-apa,” katanya, semalam.

Lai berkata, dua suspek itu kemudian berunding untuk melepaskan pasangan tersebut tetapi dengan syarat dua suspek itu menghantar mangsa pulang, manakala teman lelakinya perlu balik sendiri.

“Oleh sebab percaya dua lelaki ini merupakan pegawai pejabat agama, teman lelaki mangsa terus balik ke rumah seperti diarahkan manakala mangsa akan dibawa ke balai polis.
“Kemudian mangsa dibawa naik motosikal suspek dan dibawa ke sebuah rumah kosong dan dirogol bergilir-gilir,” katanya.

MUBARAK MAHU PENCEN BEKAS WAKIL RAKYAT DIKAJI

KUALA LUMPUR - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bercadang  menghantar memorandum berhubung status pemberian dan penstrukturan semula pencen ahli-ahlinya kepada kerajaan tidak lama lagi.

Presiden Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar berkata memorandum tersebut mengandungi tiga tuntutan berhubung kadar dan struktur pencen yang wajar diterima oleh kesemua 702 ahli Mubarak di seluruh negara.

"Tuntutan Mubarak meliputi struktur pencen, penyelarasan kadar pencen dengan kakitangan kerajaan dan kebajikan bekas-bekas wakil rakyat," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat kali ke-2 Jawatankuasa Penambahbaikan Faedah Persaraan Mubarak, di sini, hari ini.

Menjawab berhubung kewajaran penstrukturan semula kadar pencen beliau berkata ia disebabkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 yang dilihat tidak lagi relevan untuk digunapakai pada masa ini.

"Mengikut akta 237, 1980, wakil rakyat hanya layak menerima kadar pencen penuh sekiranya berkhidmat selama 72 bulan yakni enam tahun...Tetapi realitinya terdapat ramai bekas wakil rakyat dan juga exco yang hanya berkhidmat tidak sampai satu penggal atau lima tahun saja," katanya.
   
Abu Hassan memaklumkan bahawa perbincangan dengan kesemua cawangan Mubarak di seluruh negara mengenai penambahbaikan pencen itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Selepas itu perbincangan lanjut bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bagi fasa terakhir sebelum memorandum itu dikemukakan kepada kerajaan.

TONY MINAT BELI KELAB BOLA SEPAK INDON

JAKARTA - Ketua Pegawai Eksektuif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, yang baru saja memindahkan operasi syarikatnya dari Kuala Lumpur ke kota raya Jakarta, telah diminta melibatkan diri dalam arena bola sepak Indonesia. 

Tuan punya kelab Queens Park Rangers (QPR), England itu berkata beliau sebenarnya ditawarkan untuk membeli sebuah kelab bola sepak Indonesia. 

"Saya berminat, ini satu penghormatan kerana ada orang meminta saya melibatkan diri dalam bola sepak Indonesia. Jadi, kita tunggu dan lihat, ini begitu mengujakan," kata beliau dalam temubual selepas pelancaran AirAsia Asean, pejabat pangkalan rantauan di sini semalam. 

Fernandes bagaimanapun enggan menamakan kelab bola sepak yang membuat tawaran itu. 

Menurut laporan media asing, Tune Group milik Fernandes membeli 66 peratus taruhan dalam kelab QPR tahun lepas daripada ketua Formula One Bernie Ecclestone dan rakannya Flavio Briatore, dengan baki saham kekal di tangan keluarga Lakshmi Mittal, seorang bilionair besi waja.  

Urusniaga itu bernilai 35 juta paun.

Skuad Rajagopal Kekal Ranking 157

KUALA LUMPUR - Kurang menyertai perlawanan antarabangsa kelas A menjadi antara sebab pasukan Malaysia kekal pada ranking ke-157 dunia.

Ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menunjukkan mata yang dikumpul skuad Harimau Malaya bimbangan Datuk K. Rajagopal merosot kepada 134 berbanding 130 bulan lepas.

Walaupun skuad negara terlibat dalam dua perlawanan persahabatan dengan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Arsenal dan Manchester City bulan lepas, ia tidak dikira dalam penilaian mata oleh Fifa.

Senarai kedudukan terkini itu menunjukkan pasukan Harimau Malaya setanding dengan beberapa pasukan seperti Nepal yang berada pada ranking ke-155, Palestin (154) dan Kepulauan Curacao (158).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara pula, Malaysia kekal di tempat kelima di belakang Vietnam (120), Thailand (135), Filipina (152) dan Indonesia (156).

Singapura, dengan ranking 162 dunia, berada di belakang Malaysia. England, yang sebelum ini menghuni tangga keempat, merampas tempat ketiga ranking dunia daripada Uruguay selepas mengumpul 1,294 mata berbanding pasukan dari Amerika Selatan itu dengan 1,236 mata.

Sepanyol dan Jerman masing-masing kekal pada ranking pertama dan kedua dunia.

KULI NASIHATKAN SELESAI SEGERA ISU ROYALTI

SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah berharap isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan akan diselesaikan segera kerana ia bukan rumit dan tidak melibatkan Kerajaan Pusat.
Bekas Pengerusi Petronas berkata, isu berkenaan timbul hanya kerana Petronas tidak menunaikan hak Kerajan Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa Kelantan menyerahkan sepenuhnya hak milik Petroleum kepada syarikat minyak negara itu.
Beliau beberapa kali menekankan bahawa isu royalti lima peratus itu adalah antara Kerajaan Negeri dan Petronas.
"Jadi sekarang Petronas yang bertanggungjawab menyelesai perkara ini dengan kerajaan negeri, jadi tak berbangkit lagi soal pertikaian antara sesiapa pun cuma kelemahan Petronas kerana tidak membayar kepada kerajaan negeri," katanya dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini.
Bekas Menteri Kewangan ini mengulas penubuhan Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Tengku Razaleigh juga berharap semua pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan rakyat.
"Saya harap dengan ikhlaslah cuba selesaikan tuntutan rakyat ini kerana ini adalah hak dan milik mereka jadi kalau kita berlengah-lengah susahlah semua pihak dan saya percaya kerajaan mahu jawatnkuasa khas ini bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara ini.
"Bagi saya kerjanya mudah sangat, rujuk balik kepada akta dan perjanjian itu saya rasa selesailah," katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan menawarkan khidmat nasihat sekiranya diminta oleh jawatankuasa berkenaan.
Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.
Dalam wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, beliau mahu kerajaan BN menyelesaikan isu royalti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh membidas sikap pihak tertentu yang  didakwa suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak Negeri Kelantan.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam Facebooknya kelmarin mempersoalkan “Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?”
Beliau menghubungkan komen tersebut kepada muka hadapan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.
Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa tersebut.

FATHUL BARI SOKONG HARAM DAP

KUALA LUMPUR - Sekretariat Ulama Muda Malaysia bersetuju dengan saranan seorang tokoh agama di Tumpat, Kelantan supaya umat Islam tidak menyokong DAP kerana mendakwa parti itu secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam.
Pengerusi jawatankuasa kerja sekretariat tersebut Fathul Bari Mat Jahaya berkata umat Islam perlu berfikir dan bermuhasabah sebelum membuat pilihan agar tidak memilih berlandaskan nafsu atau dendam yang membawa padah buruk.
"Apa yang saya dapat lihat, agenda DAP berbeza dengan MCA dan MIC kerana mereka ini digolongkan sebagai bukan kafir harbi yakni tidak membawa sebarang kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya," katanya mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah semalam bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.
Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.
Fathul Bari meminta rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam meneliti semula sejarah penubuhan parti Pas, Umno dan DAP supaya dapat memahami pendekatan yang dibawa setiap parti.
"ALLAH telah mengurniakan akal serta fikiran, jadi kita perlu memanfaatkan kurniaan itu dan tidak mensia-siakannya," katanya kepada Bernama hari ini.
Tambahnya umat Islam perlu mendidik golongan bukan Islam serta mendekatkan diri dengan mereka agar golongan ini menerima maklumat yang tepat mengenai dakwah Islam yang suci dan murni.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) Ismail Mina Ahmad berpendapat umat Islam dilarang sama sekali menyokong mana-mana parti atau pertubuhan yang menentang Islam serta pelaksanaan hukum Islam.
"Sesiapa yang menentang Islam serta pelaksanaan hukum Islam maka secara syarak, umat Islam dilarang menyokong golongan ini yang digolongkan sebagai kafir harbi.
"Mereka ini merupakan golongan yang boleh membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta umat Islam amnya," katanya.
Ismail berkata penolakan ini bukan berlandaskan perasaan namun ia disebabkan penentangan parti tersebut serta bercanggah dengan kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.
"Jangan cemari kesucian Islam semata-mata kepentingan politik, di mana tanggungjawab kita sebagai pembela agama yang dipertanggungjawab memartabat syiar Islam," katanya. - Bernama

KAMI TAK BOIKOT PANEL DUIT MAHU CEPAT

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan tidak sesekali akan memboikot penubuhan Jawatankuasa Bayaran Royalti sebaliknya meminta bayaran royalti, yang menjadi hak negeri itu, disegerakan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setakat ini Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang untuk memboikot jawatankuasa yang diketuai, bekas Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad itu.

“Kita tidak boikot jawatankuasa ini, apa yang kita mahu duit ini diberikan kepada kita dan kalau boleh diberikan dengan cepat.

“Ini kerana harta itu adalah milik Kelantan, tidak perlu banyak bercakap, ia merupakan hak negeri ini,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau menyampaikan Surat Aku janji Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Negeri Kelantan kepada enam penerima di Dewan Teratai di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Nik Aziz juga memberitahu, beliau sudah menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV berhubung perkara tersebut.

Tuesday 7 August 2012

GURU PONDOK KATA HARAM SOKONG DAP

Seorang guru pondok kontroversi yang sering bergeser pandangan dengan para pemimpin PAS hari ini tampil dengan satu lagi dakwaan bahawa hukum menyokong parti DAP adalah haram.

Pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Bagaimanapun, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Muhammad sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".
MCA malah pernah mengugut untuk meninggalkan BN sekiranya Umno cuba melaksanakan hukum hudud - rancangan yang disifatkan parti itu sebagai cadangan yang "hilang akal".
Pengerusi biro profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong menyatakan ancaman itu pada awal bulan lalu susulan cadangan daripada seorang ADUN Umno Johor supaya Umno melaksanakan hudud di negeri itu dan juga di seluruh negara.
Seterusnya, Abdullah mendakwa umat Islam berdosa jika menyokong parti yang membawa kepada kemenangan DAP dalam pilihan raya.

"Perjuangan DAP tidak terima perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata.

"Wajib orang Islam dalam PAS, Umno dan PKR menolak DAP yang mencari jalan hendak menguasai negara melalui undi pada pilihan raya," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Beliau memberi alasan, parti yang bekerjasama dengan DAP itu bergabung di bawah satu pakatan.
Laporan berkenaan turut menampilkan keratan akhbarUtusan Malaysia bertarikh 7 Mei 1990 berhubung syarat yang dikemukakan pemimpin DAP, Karpal Singh supaya PAS mengugurkan niat untuk membentuk negara Islam sekiranya ingin bekerjasama dengan DAP.

KEHADIRAN AMY CURI TUMPUAN

TANJUNG PIAI - Kehadiran penyanyi rock terkenal, Amy Search, di Parit Rambai Ulu, dekat sini sempena program Ziarah Ramadan anjuran Umno, menceriakan lagi suasana kunjungan ke rumah-rumah penerima sumbangan.

Kehadiran Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman bersama isterinya Norish Hassan telah menjadi tumpuan penduduk yang sama-sama mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.

Menurut Ketua Umno Cawangan Parit Rambai Ulu, Israk Abdullah, pihaknya gembira dengan kesediaan Amy untuk turut sama menjayakan program tersebut yang telah memasuki tahun keempat itu.

Israk berkata, yang paling menarik, peserta rombongan telah menaiki motosikal untuk menyampaikan sumbangan termasuk Amy dengan diiringi sembilan buah motosikal scrambler dari Kelab PD Box Pontian.

“Kehadiran orang ramai termasuk golongan belia yang sama-sama menjayakan program ini telah menjadikan program pada kali ini amat bermakna kepada penduduk Kampung Parit Rambai Ulu,” katanya.

Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md Othman Yusof; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang dan Naib Ketua Puteri Umno Bahagian, Rahimah Abdullah.

Sebanyak 14 buah rumah golongan yang kurang bernasib baik telah dikunjungi dan sumbangan barangan keperluan diberikan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang berkata, program bersama Umno ini adalah yang pertama disertai Amy sejak menjadi ahli Umno pada Mei lalu.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana program ini telah berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda dan lebih bermakna lagi Amy memilih untuk sama-sama turut serta dalam program tersebut.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha menarik minat golongan muda dalam setiap aktiviti yang dijalankan bagi mencari golongan pelapis untuk masa hadapan.

Majlis berakhir dengan majlis berbuka bersama-sama dan solat Tarawih berjemaah di Surau Kampung Prot Rambai Ulu.

MANA PERGI TAMBAHAN INSENTIF

PARIT BUNTAR - Padi beras Nasional Berhad (Bernas) digesa memberikan penjelasan mengenai ke mana perginya peruntukan pemberian tambahan insentif jualan padi kepada petani yang menjualkan hasil padi kepada syarikat itu sejak tiga musim menuai lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga musim menuai padi kedua pada 2011, pihaknya menerima aduan golongan pesawah di Parlimen ini yang mendakwa Bernas gagal mengotakan janji untuk membayar tambahan insentif jualan padi sebanyak RM20 bagi setiap satu tan metrik.

Menurutnya, pihaknya difahamkan lebih 1,000 pesawah di daerah ini terlibat dengan penjualan hasil padi kepada Bernas dan jumlah tunggakan pembayaran tambahan insentif jualan padi ditanggung syarikat itu dikatakan melebihi RM200,000 secara keseluruhan.

“Sebenarnya perkara ini pernah dibahaskan di peringkat Parlimen baru-baru ini dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani mengesahkan sememangnya wujud pemberian peruntukan tambahan insentif jualan padi oleh Bernas kepada mana-mana petani yang menjualkan hasil padi kepada mereka.

“Justeru, saya meminta penjelasan daripada Bernas dan Jabatan Pertanian daerah mengenai aduan ditimbulkan golongan pesawah padi memandangkan perkara ini melibatkan periuk nasi mereka selain membabitkan janji Kerajaan Pusat terhadap rakyat,” katanya sewaktu ditemui Portal Online di pejabatnya semalam.

Dr Mujahid berkata, walaupun aduan itu ditimbulkan petani di Parlimen Parit Buntar dan daerah Kerian, pihaknya percaya masalah itu berkemungkinan dialami oleh golongan pesawah padi di seluruh negeri Perak, mahupun seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar sudah menghantar surat rasmi kepada pengurusan Bernas Simpang Lima, di sini melalui mesin faksimile untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai permasalahan tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga kini, pihak kami belum menerima maklum balas sewajarnya daripada pihak berkenaan.
“Saya berharap Bernas dapat memberikan kerjasama dalam menjelaskan kepada golongan petani kerana mereka masih menanti hasil peruntukan tambahan insentif penjualan hasil padi kepada syarikat itu, terutama menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

PROGRAM SEHELAI BAJU BUAT MENYAPU SI AIR MATA

ALOR SETAR - Jabatan Penerangan Negeri Kedah akan mengadakan program Kempen Jalur Gemilang 2012 dan Program Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata pada 11 hingga 13 Ogos ini di Kulim dan Baling.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata program dengan kerjasama Team Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata itu, menjadikan Rumah Anak Yatim Bedaya, Kulim sebagai lokasi pertamanya diikuti Rumah Anak Yatim Umul Sabariah Asam Jawa, Baling pada 12 Ogos dan Rumah Anak Yatim Nur Hidayah, Kupang, Baling pada 13 Ogos.

Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata adalah gerakan kasih sayang yang unik dan prihatin daripada kalangan rakan maya laman sosial Facebook dari seluruh dunia.

Ia menjalankan kerja sukarela bagi mengumpul sumbangan baju Melayu dan baju kurung untuk disumbangkan kepada rumah anak yatim, rumah perlindungan warga emas dan pelajar.

Sebarang pertanyaan atau sumbangan baju kurung dan Melayu boleh berhubung terus dengan Penyelaras Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata bagi zon utara Romzi Md Daud di talian 012-4982295.

KECEWA PERMOHONAN DIBATAL

RAWANG – Niat murni untuk mengimarahkan surau Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Kg Kenanga yang siap dibina Mei 2012 tidak kesampaian apabila permohonan untuk menunaikan solat Tarawih di sini ditarik semula oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru sekolah berkenaan, Abd Rahman Zahari berkata, pihaknya membuat permohonan untuk mengadakan solat Tarawih kepada ibu bapa dan pelajar sekolah berkenaan pada Jun serta diluluskan awal 11 Julai lalu.

Bagaimanapun menurutnya, dua hari kemudian pihaknya menerima pembatalan kelulusan daripada Jais kerana memaklumkan masjid mempunyai ruang untuk bertarawih malahan jarak antara masjid dan surau adalah terlalu dekat.

“Penarikan kelulusan itu amat memeranjatkan kerana tujuan utama pihak PIBG memohon untuk mengadakan solat bertarawih supaya surau itu tidak suram sempena Ramadan dan dapat digunakan oleh semua kerana baru dibina.

“Malahan mengikut latar belakang pembinaan surau ini, pembinaan surau ini adalah melalui sumbangan penduduk setempat dan juga ibu bapa murid-murid sini serta permintaan solat Tarawih ini adalah permintaan daripada mereka,” katanya.

Abd Rahman berkata, walaupun jarak masjid adalah terlalu hampir dengan surau namun penggunaannya adalah dikongsi kariah untuk 40 kampung yang dianggarkan mencecah 5,000 pastinya akan memberikan kesesakan dan keadaan kurang selesa para jemaah.

“Sekiranya surau itu dibuka untuk solat Tarawih bukan hanya dapat manfaat bersama malahan penduduk juga mempunyai pilihan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan di ruang masjid itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menghormati keputusan Jais namun masih berharap agar surau itu dapat dilakukan majlis keagamaan yang lebih kerap dan berharap solat Tarawih dapat dibuka untuk tahun akan datang.

“Usaha tetap diteruskan agar hasrat penduduk setempat dapat direalisasikan melalui rayuan kepada pihak Jais dan turut menghantar surat kepada pengarah jabatan itu untuk perhatian.

“Selain itu, perkara itu turut dibawa kepada pemerhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi kerana berpendapat pembatalan itu merugikan umat Islam kerana niat disalah erti pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

DIPANAH PETIR DALAM RUMAH

KUALA ROMPIN - Seorang pemandu lori tanah terbunuh, manakala seorang lagi rakannya cedera parah selepas dipanah petir di dalam sebuah rumah pekerja ladang di Ladang Sungai Merbau, Ladang Yayasan Pahang, Kampung Pianggu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa, Mohd Nazrun Othman, 26, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya, Mohd Ikhwan Mohamad, 19, yang cedera pula terpaksa dikejarkan ke Hospital Mersing.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Asisten Superintenden  Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai bersama empat lagi rakannya berada di dalam rumah berkenaan.

“Difahamkan mangsa bersama empat lagi rakannya ketika itu sedang berborak kosong dalam rumah terbabit sewaktu hujan lebat, bagaimanapun, mangsa tiba-tiba rebah akibat panahanpetir yang menyambar kepala mangsa,” katanya.

Zainul Mujahidin berkata, mangsa yang tinggal di Jalan Tempua, Felda Selendang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Endau dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kesan terbakar serta lubang halus di bahagian kepala.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadazam Shah untuk bedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarganya untuk urusan pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Selendang 1.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mangsa yang masih cedera, kini dirawat di Hospital Mersing, sementara dua lagi rakan mereka yang juga pemandu lori masih belum dikenal pasti identiti mereka pula dirawat sebagai pesakit luar.

“Hanya seorang saja rakan mangsa yang terkena serpihan petir, manakala dua lagi tidak mengalami kecederaan kerana pada waktu itu, Mohd Ikhwan berhampiran dengan mangsa,” katanya.

3 TERSEPIT DALAM LORI BUDU

DUNGUN– “Selepas terdengar dentuman kuat, saya menoleh ke belakang dan terlihat tiga orang tersepit dalam lori yang terbalik,” kata Zainun Mohd, 68, saksi kemalangan melibatkan sebuah lori dan Perodua Kelisa merempuh gerai ayam pusing di sini, pagi semalam.
Ketika kejadian, Zainun bersama suaminya, Abdullah Othman, 73, sedang membuang sampah di pekarangan rumahnya sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada kemalangan melibatkan dua kenderaan itu.
Zainun berkata, dia cemas seketika apabila melihat lori muatan kotak bahan makanan sebahagiannya mengandungi budu dari arah Besut menuju ke Kuantan, Pahang itu terbalik manakala tiga penumpang termasuk pemandunya bertindih antara satu sama lain.
Katanya, tanpa berlengah dia terus meluru ke arah jalan raya sebelum menahan sebuah lori lain yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk meminta bantuan bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Nasib baik gerai anak makcik belum beroperasi lagi, jika tidak mungkin dia juga akan menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, akibat rempuhan berkenaan, beberapa barang di gerai ayam pusing milik anak Zainun, Amshari Abdullah, 28, dilaporkan turut rosak.
Tiga mangsa yang tersepit itu termasuk pemandu lori, Omar Salleh, 43, serta dua kelindannya masing-masing Ahmad Shafarin Omar, 41, dan Mohd Asri Ismail, 50, berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam.
Omar Salleh dari Besut dilaporkan masih tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawa-tan lanjut.
Dua lagi kelindan lori dan seorang pemandu Perodua Kelisa lelaki Melayu berumur 30-an hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 66.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan itu masih dalam siasatan pihaknya.

AMK SELANGOR: ANAK MUDA PERLU BERTINDAK "Whistle-Blower"

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyeru semua anak muda untuk bersama-sama menjadi ejen perubahan yang akan menganjak pemikiran dan daya anak muda ke satu tahap yang lebih dihormati.
 
Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, ketika ini kebangkitan anak muda di Selangor dilihat sebagai satu isyarat pemacu pembangunan di negeri negeri ini.
 
“Kemodenan memerlukan belia untuk mengharungi kehidupan dengan lebih progresif di mana arus perubahan ketika ini harus lebih berdaya dengan memaksimumkan minda bagi membawa Malaysia satu langkah ke hadapan. 
 
“Di seluruh dunia, sejak zaman Rennainsance sudah menjadi penggerak utama kepada naik dan jatuhnya sesebuah tamadun adalah kebangkitan anak muda.
 
“Anak muda adalah asas kepada negara yang mendukung aspirasi negara dan menyatukan semangat kepada pembinaan tamadun yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
 
Beliau berkata demikian sempena penganjurkan Hari Belia Antarabangsa 2012 pada 11 Ogos 2012 nanti anjuran Kerajaan Negeri Selangor.
 
Dalam pada itu, menurut Azmizam, penganjuran program tersebut dilihat sebagai satu simbolik penghargaan Pakatan Rakyat yang mengiktiraf peranan dan penyertaan anak muda dalam setiap aspek serta pelan pembangunan negeri.
 
Tambah beliau, anak muda harus menjadi kental, berani menolak kezaliman, menolak rasuah, dan menitik beratkan integriti serta nilai yang positif.
 
“Anak -anak muda juga digalakkan untuk hadir dalam program-program kemasyarakatan dan mengadaptasi erti kerjasama dan semangat bersatu padu.
 
“Anak muda harus berada di barisan hadapan, menjadi ‘whistle blower’ didalam negara, iaitu menjadi penggera kepada setiap perkara yang memberi impak buruk kepada negara dan sehingga ke satu tahap, anak muda bakal dijadikan kayu pengukur kepada kecemerlangan negara,” katanya.

1MALAYSIA PRIVILAGE CARD DILANCAR

PUTRAJAYA - Sebagai menghargai sumbangan jasa serta bakti anggota polis dan tentera, kerajaan memperkenal satu lagi inisiatif terbaru bagi meringankan beban mereka dengan melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' khusus buat 241,000 anggota dan pegawai kedua-dua pasukan itu.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 6 (NBOS 6) itu membolehkan pemegang kad berkenaan mendapat diskaun antara lima dan 25 peratus daripada harga produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh kira-kira 20 syarikat yang mengambil bahagian.
    
Beliau berkata ia bertujuan memberi manfaat kepada warga Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, yang dirujuk beliau sebagai kumpulan "Wira Yang Tidak Didendang", sebagai lanjutan kepada strategi NBOS 6, yang berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara.
   
"Mudah-mudahan kad ini dapat digunakan untuk menambah lagi kuasa membeli atau 'pendapatan boleh guna' rakyat," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kad itu serta portal 1Malaysia Privilege Card www.1mprivilege.my di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
   
Turut hadir di majlis pelancaran itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Inisiatif menerusi strategi NBOS 6 ini menyaksikan kerjasama antara tiga kementerian berkenaan, yang membolehkan pemegang kad itu menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan, barangan kesihatan dan banyak lagi, yang senarai syarikat mengambil bahagian serta tawaran-tawaran mereka boleh disemak di portal berkenaan.   
   
Perdana Menteri berkata kerjasama tentera dan polis memberi banyak manfaat kepada negara, dan beliau memberi contoh langkah dua pasukan keselamatan itu berkongsi tempat latihan rekrut, membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan bernilai ratusan juta ringit.
   
Beliau berkata pencapaian objektif yang lebih pantas diperlukan dalam usaha membawa transformasi besar negara, di samping penjanaan idea-idea yang kreatif, serta pelaksanaan agenda yang lebih cepat, tepat dan berintegriti.
   
"Saya percaya melalui usaha sebegini dan daripada dasar-dasar yang kerajaan jalankan, kejayaan negara akan menjurus kepada apa yang kita impikan, tapi segala impian kita ini tonggaknya mesti kepada keselamatan, keamanan dan kestabilan," katanya.
   
Inilah jaminan masa depan kita, di samping komitmen kita mempertahankan ketinggian perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam negara, dan tuan-tuan dan puan-puanlah yang menjamin segala impian boleh menjadi realiti. Tuan-tuan dan puan-puan adalah wira yang tidak didendang tapi besar sumbangan dan pengorbanan kepada rakyat dan negara," tambahnya.
 
Perdana Menteri kemudiannya melawat ruang-ruang pameran yang disertai oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian.
   
Terdahulu, Husni dalam ucapannya di majlis itu berkata inisiatif 1Malaysia Privilege Card dilaksanakan dalam tiga fasa, yang bermula dengan pegawai serta anggota beruniform tentera dan polis, diikuti dengan fasa kedua yang melibatkan pesara kedua-dua pasukan, dan fasa ketiga melibatkan lain-lain kategori perkhidmatan yang akan dikenal pasti nanti.
   
Menurutnya bermula hari ini kad berkenaan akan diagih secara berperingkat kepada 241,000 pegawai serta anggota, melibatkan 130,000 dari pasukan tentera dan 111,000 dari pasukan polis.