Blog Archive

Thursday 16 August 2012

MP BUKIT BINTANG TUMBUK PERAGUT

Seorang lelaki yang disyaki peragut berjaya ditangkap semasa cuba melarikan diri selepas ditumbuk di bahagian bahu oleh ahli Parlimen berusia 66 tahun.

fong kui lunAhli parlimen tersebut ialah wakil rakyat DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Insiden itu berlaku semalam di jalan berhampiran Shaw Parade, Pudu, Kuala Lumpur ketika Fong sedang berjalan menuju ke keretanya selepas makan tengah hari.

"Saya melihat beberapa orang mengejar seorang lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tanpa teragak-agak, Fong (kanan) menumbuk lelaki itu ketika berlari melepasinya.

"Saya cuba tumbuk mukanya tetapi hanya sempat mengenai bahu kirinya," kata Fong.

Tumbukannya itu berjaya melambatkan lelaki itu dan berjaya ditangkap oleh mereka yang mengejarnya.

Fong berkata suspek itu, bersama seorang rakannya, cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas didakwa meragut telefon mudah alih seorang wanita.

Tuesday 14 August 2012

LEBIH 60 NGO TUBUH MAJLIS GERAKAN NGO ISLAM BANTU ROHINGYA

KUALA LUMPUR - Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) bersama 61 badan bukan kerajaan (NGO) Asia Tenggara bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan NGO Islam yang akan berpusat di Malaysia bagi membantu etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, gerakan tersebut menggabungkan badan Islam bagi mencari jalan untuk membantu etnik tersebut.

Beliau berkata, kesengsaraan rakyat Rohingya membuka mata masyarakat Islam terutamanya NGO berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Antara misi kami ialah menggesa badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu ini.

"Malah, mendesak mereka supaya mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati protokol Badan Hak Asasi Manusia Asean (AHRB)," katanya selepas menandatangani Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam Asean Misi Kemanusiaan Rohingya, hari ini.

Antara negara yang terlibat sama adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, resolusi itu ditubuhkan untuk membantu pelarian Rohingya dari terus dianiaya dan dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar.

"Tindakan pemerintah Myanmar yang hanya mementingkan kerusi politik berbanding kesengsaraan masyarakat Rohingya yang dianiaya dan dibunuh sejak dua dekad lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika rombongannya ke Arakan baru-baru ini, mereka diberi amaran oleh pemerintah Myanmar suapaya tidak meneruskan perjalanan ke perkampungan tersebut.

Beliau bersama ahli rombongan menghadapi pelbagai cabaran kerana disekat oleh tentera mereka dari menjejakkan kaki ke perkampungan tersebut.

Menurutnya, di sebalik kekejaman pemerintah Myanmar, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kemanusiaan terutamanya, Thailand.

"Kementerian Thailand bersimpati dengan nasib masyarakat Rohingya telah membawa isu kesengsaraan mereka ini ke peringkat antarabangsa dengan merujuk kepada OIC.

"Malah, Angkatan Tentera Laut Thailand turut membantu pelarian Rohingya berlindung dari kekejaman rejim Myanmar," katanya.