Blog Archive

Tuesday 31 July 2012

BEKAS ISTERI TUNTUT DURIAN RUNTUH FELDA

Bekas isteri peneroka menuntut janji Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad yang sebelum ini menyatakan mereka layak menerima separuh daripada duit durian runtuh fasa kedua iaitu sebanyak RM2,500.

Aminah Zulkifly, 46, berkata, mereka berhak mendapat duit berkenaan memandangkan sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan wang durian runtuh itu adalah imbuhan daripada hasil titik peluh peneroka dan penerokawati ketika membangunkan tanah Felda dahulu.
“Satu negara jelas mendengar pengumuman Perdana Menteri yang menyatakan durian runtuh ini sebagai ganjaran menghargai jasa peneroka dan penerokawati yang bersusah-payah di awal kemasukan ke tanah rancangan dahulu.

“Dengan apa yang telah dinyatakan Perdana Menteri itu jelas membuktikan kami layak untuk menerima durian runtuh ini biarpun kami bukan lagi isteri peneroka dan sudah berkahwin lain,” katanya.

Aminah berkata, lebih 20 tahun dia menduduki tanah rancangan dan bekas suaminya adalah peneroka Felda Jengka 24.

Katanya,  adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya dia tidak menerima durian runtuh tersebut.

“Ketika masuk ke tanah rancangan dahulu, kami bekas isteri peneroka ini turut sama turun ke ladang dan merasai kepayahan hidup di tanah rancangan.

“Kami yang bersusah payah, tetapi isteri bekas suami yang baru berkahwin tiga atau empat tahun pula dengan senang-lenang dapat durian runtuh,” katanya.

Aminah berkata, sekiranya sebahagian durian runtuh seperti yang dijanjikan tidak diagihkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), mereka menganggap kerajaan tidak menepati janji.

Justeru katanya, mereka tidak teragak-agak untuk memilih kerajaan baru pada PRU akan datang.

Rungutan Aminah turut disokong seorang lagi bekas isteri peneroka Felda Lepas Utara 1, Rozita Jantan, 47.

Rozita berkata, dia telah mengajukan perkara itu kepada pihak pengurusan Felda di tanah rancangan yang penah didudukinya dari 1984 sehingga 2000.

“Apabila ditanya, saya dimaklumkan durian runtuh tersebut adalah duit imbuhan kerajaan kepada peneroka Felda. Persoalannya, jika ia adalah imbuhan kerajaan, mengapa masyarakat kampung tidak menerima duit tersebut?” katanya.

Bekas isteri peneroka Felda Lepar Utara 3, Kamyah Mat Kamis, 48, pula berkata, bukan hanya mereka bertiga sahaja yang tidak berpuas hati, malah ramai lagi bekas isteri peneroka menghadapi masalah sama.

“Ramai tidak berpuas hati lebih-lebih lagi bagi bekas isteri yang menetap di tanah rancangan kerana merasakan mereka ini lebih layak menerima durian runtuh tersebut, bukan mereka yang meninggalkan tanah rancangan dan menetap di luar.

“Tambahan pula, saya dapati masih ramai lagi bekas isteri yang tidak berkahwin lain, tidak menerima durian runtuh ini. Ini menimbulkan kekeliruan kami, justeru kami mohon diberikan penjelasan,” katanya.

BERURUT SAMBIL BERBOGEL

PUCHONG – Keasyikan beberapa pelanggan diurut tanpa seurat benang di pusat refleksologi Bandar Puteri di sini terbantut apabila premis dikunjungi mereka diserbu pihak berkuasa, lewat malam kelmarin.

Difahamkan, premis sama pernah diserbu sebelum ini namun pengusaha dikatakan tidak serik mengulangi kesalahan lama.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam oleh Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, seramai 11 wanita warga asing, dua penjaga premis dan tiga pelanggan ditahan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Ahmad Hasan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu rumah urut dan pusat penjagaan kesihatan di Jalan Puteri 1/4 dan Puteri 1/8.

Menurutnya, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu masuk utama kerana penjaga premis menutup kesemua pintu bagi menyukarkan tindakan pecah masuk ke dalam premis.

Katanya, premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) di setiap pintu dan di bahagian luar dipercayai untuk mengawal kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, berapa kondom yang sudah digunakan ditemui dan hasil siasatan mendapati pengusaha premis menawarkan khidmat seks serta urutan badan ke badan (B2B) kepada pelanggan.

“Ketika tindakan operasi diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd dijalankan di premis kedua, terdapat pelanggan yang diurut dalam keadaan berbogel.

“Kedua-dua premis dikenakan tindakan di bawah UUK 13(k) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana melanggar syarat-syarat sekatan lesen yang dikeluarkan majlis dengan menggajikan wanita warga asing,” katanya.

Ahmad berkata, semua yang dicekup diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sehingga Julai lalu katanya, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan manakala 36 premis rumah urut dikenakan tindakan sitaan dan penutupan premis oleh MPSJ.

PALESTIN: ROMNEY RASIS

BAITULMUQADDIS - Calon Presiden Amerika Syarikat (AS), Mitt Romney dikecam Palestin selepas mengeluarkan cadangan wujudnya jurang ekonomi di antara Israel dan Palestin secara semula jadi tanpa mengambil kira penempatan haram kaum Yahudi di Tebing Barat serta sekatan ke atas Gaza.

Dalam ucapan semasa lawatan luar negara di Baitulmuqaddis, kelmarin, Romney dengan megahnya memberitahu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel adalah dua kali ganda besar daripada Palestin.

Jelas sekali, ucapan Romney tidak berlandaskan rujukan sebenar yang mana sehingga kini Israel masih mengenakan sekatan yang kuat terhadap kebanyakan wilayah Palestin sejak rejim mendudukinya semasa perang 1967 lalu.

Rejim Israel turut mengawal sempadan-sempadan di Tebing Barat dengan membenarkan rakyatnya menduduki tanah Palestin secara haram sekali gus menyekat kebebasan rakyat Palestin untuk keluar masuk di wilayah itu.

Semasa lawatan dua hari di Israel, Romney dilaporkan langsung tidak menjejakkan kakinya ke Tebing Barat bagi bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad sebaliknya terus ke Poland iaitu negara terakhir dalam jadual lawatan antarabangsanya.

Rakyat Palestin turut mengecam Romney sebagai melemahkan prospek keamanan dalam ucapannya apabila dia menamakan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel tanpa mempedulikan tuntutan yang dibuat oleh AS dan kebanyakan pendapat dunia.

"Lelaki itu hanya mempromosikan sifat berbaur perkauman, keganasan dan kebencian yang jelas sekali tidak boleh diterima dunia," kata Ketua Perunding Keamanan Palestin, Saeb Erekat.

KARIKATUR : GURU TUISYEN MOHON MAAF

Pusat tuisyen di daerah Ledang yang mencetuskan kontroversi kerana menggunakan karikatur dalam nota ringkas subjek Sejarah tingkatan empat menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW tampil membuat permohonan maaf, semalam.

Pengusaha pusat tuisyen, Lim Lee Yee, 26, hadir di Jabatan Pelajaran Johor di sini bersama guru terbabit, Ku Chong Yoong, 22, dan membuat permohonan maaf secara terbuka sambil disaksikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri, Mohd Nor A Ghani.

Lee Yee berkata, segala alat bantu belajar serta proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang dilakukan oleh setiap tenaga pengajar di pusat tuisyen itu akan dipantau dengan lebih teliti bagi mengelak berulang kejadian sama.

“Guru berkenaan (Chong Yoong) mengajar subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Subjek Sejarah hanya subjek tambahan yang diajar kepada pelajar tanpa mengambil yuran,” katanya.

Bagi Chong Yoong, dia sudah meminta semua pelajar memulangkan kembali nota ringkas yang diberikan bagi mengelakkan keadaan bertambah keruh.

“Saya meminta maaf kepada umat Islam terhadap tindakan saya yang tidak matang.

“Saya benar-benar ikhlas memohon maaf kepada semua umat Islam di Johor, Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, Jabatan Pelajaran Negeri akan memberi surat peringatan dan amaran kepada pusat tuisyen serta guru terbabit.

Terdahulu, sebuah akhbar  melaporkan sebuah pusat tuisyen di sini mencetuskan kontroversi apabila menggunakan karikatur dalam nota ringkas subjek Sejarah tingkatan empat, yang didakwa telah menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW.

4 NEGERI GUNA TEMA BERLAINAN

Buat pertama kali dalam sejarah, tema sambutan Hari Kemerdekaan yang berbeza bakal digunakan - di kedua-dua peringkat negeri dan pusat ekoran rasa tidak puas hati dengan tema dipilih oleh Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pihaknya akan memilih tema untuk digunakan di peringkat negeri diterajui Pakatan Rakyat (PR) iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

Katanya, PR khususnya Pas kesal sambutan kemerdekaan ke-55 tahun ini, dicemari unsur politik BN sama ada dalam tema, logo mahupun lagu temanya.

Mahfuz berkata, PR menolak ketiga-tiga unsur terbabit dan memilih tema sendiri bagi menggantikan ‘55 Tahun Janji Ditepati’ oleh Kerajaan Pusat.

“Kita terima 250 hingga 300 tema, yang dicadangkan oleh orang ramai. Jawatankuasa dipengerusikan Sasterawan Negara, (Datuk) A Samad Said akan memilih tema bersesuaian untuk dibentangkan kepada Sekretariat PR,” katanya.

Menurutnya, Majlis PR kemudian akan mengumumkan tema sambutan Hari Kemerdekaan PR untuk digunakan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

“Sudah pasti tema kemerdekaan kita berbeza dengan Pusat. Memandangkan memorandum diserahkan tidak mendapat respons Pusat, kita putuskan pilih tema sendiri,” katanya.

Mahfuz turut mempertikai tindakan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menarik balik logo hari kemerdekaan, yang diumumkan Ahad lalu.

“Setelah dikritik banyak pihak, akhirnya logo diubah. Ini menunjukkan sejak awal lagi wujud kesilapan dalam pemilihan logo mahupun tema,” katanya.

Menurutnya, lagu tema kemerdekaan yang dimuat naik di Youtube, turut menerima kritikan pedas termasuk mereka yang memilih dislike.

Awal semalam, Rais menerusi satu mesej Twitter telah meminta pengikutnya memberi pandangan tentang lagu tema Hari Kemerdekaan yang boleh diperoleh menerusi YouTube.

NFC: RAFIZI DITAHAN DAN DICAJ PAGI INI

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli ditahan polis pagi tadi berhubung isu NFC Corporation.

Naib Presiden PKR N. Surendren berkata beliau akan didakwa di Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini.

Rafizi sekarang berada di perkarangan Mahkamah  Shah Alam

" Jangan risau saya ok ,"  "Dah nak sampai mahkamah, " kata beliau dalam mesej twitter 16 minit yang lalu

Dalam satu mesej beliau kira-kira sejam yang lalu, Rafizi berkata "Saya baru dimaklumkan bahawa saudari Johari Mohd juga telah ditahan dan akan didakwa pagi ini bersama-sama."

Dalam mesej kira-kira 7.30 pagi tadi, Rafizi menulis, "saya telah ditahan dibawah Bafia kini dalam perjalanan ke balai polis. Akan dicaj di mahkamah Shah Alam."

"Sampai balai polis Hulu Kelang. BNM akan buat laporan polis sekarang dan rasanya dari situ ditahan secara rasmi," kata beliau dalam mesej seterusnya.

Beliau yang menjadi tumpuan dalam isu NFCorporation, syarikat yang dikaitkan dengan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, akan didakwa di bawah Akta Bank dan Institusi kewangan (Bafia) 1989.

POLIS "PALSU" ROGOL REMAJA

Dua sahabat dihukum penjara 15 tahun dan 10 sebatan akibat melakukan perbuatan keji dengan merogol seorang remaja sejurus menyamun dan menyamar sebagai anggota polis, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Sazali Omar di Mahkamah Sesyen di sini, selepas Mohd Harmozi Abdul Ghani, 28, dan Rizal Azlie Abdullah, 34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pada hari ditetapkan perbicaraan, semalam.

Hukuman itu selepas mengambil kira kelakuan jenayah berat dan kejam dilakukan secara bersama-sama tertuduh dalam satu transaksi.

“Walaupun kamu sudah insaf terutama bersempena Ramadan ini, kamu harus terima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berpura-pura sebagai penjawat awam memperkenalkan diri sebagai anggota polis kepada pasangan remaja berusia 14 dan 17 tahun di sekitar Pantai Puteri, Tanjung Keling, kira-kira jam 11 malam pada 23 Disember 2010.

Kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta seorang daripada mangsa dengan mengambil sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua telefon bimbit di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Atas kesalahan itu, kedua-duanya yang tidak mempunyai pekerjaan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.  

Mereka juga didakwa merogol seorang daripada mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tanah Wakaf, Taman Bukit Rambai Jaya di sini, antara jam 11.30 malam dan 1.30 pagi, tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M Rebecca manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuan, kedua-duanya yang telah menyesal atas perbuatan dilakukan memohon hukuman ringan, selain hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh ditangkap serta meminta untuk ditempatkan di Penjara Sungai Udang.

Bagaimanapun, Rebecca meminta mahkamah memberikan hukuman berat terhadap tertuduh yang berhadapan tiga pertuduhan termasuk melakukan perbuatan keji terhadap mangsa berusia 14 tahun.

“Perbuatan mereka telah menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental dan trauma," katanya.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Ahmad Sazali menjatuhkan hukuman penjara  dua tahun bagi kesalahan menyamar, lapan tahun dan dua sebatan (rompakan berkumpulan) dan 15 tahun dan lapan sebatan (merogol).

Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh ditangkap pada 15 Januari 2011 dan tertuduh dipenjarakan di Sungai Udang.

PAS TATAP TULANG BELAKANG PR

PKR sekali lagi mendominasi bilangan kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berbanding dua lagi komponen PR iaitu Pas dan DAP.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bagaimanapun enggan mendedahkan berapa kerusi yang diperuntukkan kepada setiap parti itu.

"Jumlah kerusi PKR dikurangkan sedikit namun parti itu masih mendominasi bilangan kerusi Parlimen," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Pengurangan kerusi PKR itu dipercayai untuk menambah kerusi DAP di kawasan majoriti Cina yang ditandingi calon Cina PKR pada pilihan raya umum lalu.

Namun ada kemungkinan ruang diberi kepada DAP untuk mencuba nasib meletakkan calon Melayu di kawasan yang ditandingi PKR pada PRU12 sebagaimana yang diuar-uarkan parti itu sebelum ini.

Kelebihan kerusi PKR mengulangi penguasaannya yang meletakkan 97 calon meskipun hanya 31 sahaja daripadanya yang menang pada PRU12. DAP pula meletakkan 47 calon dengan 28 menang. Pas yang di tempat kedua mempertaruhkan calon terbanyak, 66 hanya memenangi 23 kerusi.

Selepas PRU12, lima daripada 31 wakil rakyat PKR di Parlimen bertindak keluar parti dan membentuk Konsensus Bebas iaitu Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baharu), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal).

Mustafa berkata, meskipun Pas bertanding kurang kerusi berbanding PKR, parti itu tetap diberi tempat untuk bertanding di kebanyakan kawasan majoriti Melayu.

"Pas tetap akan jadi tulang belakang bagi PR," katanya.
Menurut Mustafa lagi, Pas juga dijangka akan mendapat tujuh kerusi Parlimen baru di Sarawak.
"Sarawak kita akan bertanding tetapi di Sabah belum ada keputusan muktamad setakat ini," katanya.

Pada sidang media yang turut dihadiri Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Teresa Kok dan bekas
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari, Mustafa yang ditanya mengenai isu peletakan jawatan dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) oleh Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing menyifatkan tindakan dua pemimpin politik dari Sabah itu sebagai bijak dan tepat pada masanya.

“PR memberikan sokongan padu atas tindakan mereka yang kita percaya dilakukan kerana mereka tidak berpuas hati dengan pentadbiran BN khususnya di Sabah,” katanya.

UNDURLAH CARA BAIK NASIHAT MUSA PADA LAJIM

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata mana-mana pemimpin dengan apa-apa jawatan sekalipun, harus berundur secara baik jika sudah tidak yakin dengan parti dan kerajaan yang mereka wakili.

Beliau berkata, pemimpin itu perlu berundur secara sukarela dan terhormat tanpa perlu diberhentikan daripada jawatan yang disandang.

"Di dalam parti dan kerajaan, kita ada peraturan dan etika. Kalau seseorang pemimpin itu, atau menteri itu, atau timbalan menteri itu, tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan parti, atau terhadap kerajaan yang mereka wakili, maka mereka harus berundur secara baik.

"Jangan perlu (tunggu) sampai diberhentikan. Sebagai 'gentleman' kita berhenti," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Umno Zon 6 yang merangkumi kawasan Parlimen Silam, Semporna, Tawau dan Kalabakan di Masjid Al-Kauthar di sini malam ini.

Musa mengulas kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan membatalkan pelantikan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkuatkuasa serta-merta.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional (BN) adalah wajar.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah itu menasihatkan semua kepimpinan Umno dan BN di negeri ini agar tidak terikut-ikut atau membuang masa dengan isu Lajim kerana apa yang lebih penting ialah bekerja keras untuk membela nasib rakyat.

Musa juga berkata, kepimpinan Umno dan BN perlu terus memperkukuh perpaduan dan kerjasama selain terus bekerja kuat kerana mereka memikul amanah serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
"Kita tidak perlu gentar, kita tidak perlu takut, kerana kita mempunyai kerajaan yang terbaik, pemimpin yang terbaik. Kita ada trek rekod yang terbaik.

"Jadi, apa yang (perlu) kita malukan, apa yang (perlu) kita gentarkan, apa yang perlu kita susahkan. Kita berani kerana benar, takut kerana salah. Kita berada di landasan yang benar. Ini yang saya katakan kepada rakyat negeri Sabah, dan mereka mengerti. Orang Sabah matang berpolitik. Mereka tahu mana kerajaan yang mereka mahu pilih dan mana kerajaan yang mereka mahu sokong.
Jangan susah hati atau gundah gulana. Yang penting kita terus bekerja untuk rakyat dengan keikhlasan, bukan kepentingan peribadi," katanya.

Sehubungan itu, Musa meminta semua pemimpin Umno dan BN di Sabah mengutamakan keikhlasan kepada kerajaan, parti serta pemimpin, bukan kepentingan peribadi, kerana hanya melalui cara itu, kerajaan dan rakyat akan terus hidup sejahtera.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata Malaysia kini berada di landasan yang baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sentiasa berfikir serta prihatin bagaimana untuk mengatasi masalah dan membantu rakyat.

Berbeza dengan pemimpin 'songsang' atau pembangkang, Musa berkata mereka ini pura-pura buta dan pekak terhadap perubahan serta pembangunan yang berlaku di Sabah, namun rakyat mampu menilai mana yang buruk dan baik untuk mereka.

LEGASI AKOK

Bermula daripada seorang wanita biasa yang bertugas menyediakan makanan di istana, wanita cekal ini memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan di rumah kayu didiami di Jalan Merbau.

Ketika akok menjadi kuih eksklusif yang hanya disantap golongan bangsawan, Nik Fatimah Nik Leh lincah memenuhi tempahan pelanggan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berkelas atasan.

Beliau bijak merencanakan masa depan ekonomi keluarga dengan memilih untuk memulakan perniagaan kuih tradisi negeri ‘Cik Siti Wan Kembang’ iaitu ‘akok’.
Kuih akok sememangnya digemari rakyat Kelantan kerana rasanya yang manis. Pada masa kini, keenakan akok dapat dirasai segenap lapisan masyarakat berbanding zaman dahulu yang hanya dimakan golongan berada.

Permintaan yang tinggi terutamanya pada bulan Ramadan membolehkan perniagaan Nik Fatimah semakin berkembang maju walaupun beliau sudah meninggal dunia.
Menantu keluarga berkenaan, Mohd Sabri Mat Zin, 40, berkata, legasi perniagaan keluarga isterinya itu diteruskan generasi kedua, tiga dan lima keluarga tersebut.

“Kami sekeluarga bersama-sama memastikan usaha gigih moyang terus membuahkan hasil. Tambahan pula, kami juga memikul tanggungjawab untuk memelihara kewujudan kuih kebanggaan rakyat Kelantan ini,” katanya.
Menurutnya, seawal jam 9 pagi, pelanggan sudah pun bersiap sedia beratur di hadapan premis perniagaannya untuk mendapatkan kuih akok kegemaran mereka.

“Pada waktu-waktu biasa, kami masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan yang memilih akok sebagai juadah mereka. Tetapi, ketika bulan Ramadan, 5,000 akok yang dihasilkan sehari pun belum tentu dapat menampung permintaan yang melambung.
“Kadang-kala ada yang balik dalam keadaan kecewa kerana tidak dapat membeli akok,” ujar Mohd Sabri yang menggunakan kepakaran 13 pekerja untuk penghasilan lebih 5,000 akok dalam masa sehari.

Mohd Sabri berkata Akok yang dihasilkan keluarga ini berbeza dari segi bentuknya yang bulat berbanding kebiasaannya berbentuk bujur. “Bentuk bulat ini adalah trade mark akok yang dihasilkan oleh kami, bagaimanapun bentuk bukanlah penentu keenakan kuih ini
“Bahan-bahan untuk menghasilkan kuih akok nampak mudah, tetapi, jika aduan santannya tidak seimbang, akok tidak akan lembut atau sedap Bancuhan santan yang betul memainkan peranan penting,” jelas Mohd Sabri.

Tambahnya, selain santan yang dibancuh sempurna, cara memasak tradisional menggunakan dapur arang juga akan menghasilkan aroma yang menyelerakan.
“Pun begitu, cara memasak ini menuntut kesabaran yang tinggi. Lebih-lebih lagi apabila sabut kelapa sukar untuk diperoleh.
Oleh sebab kekangan itu, kami terpaksa tukar cara memasaknya dengan menggunakan ketuhar.

“Di samping itu kami turut menggunakan khidmat beberapa pekerja yang sudah berusia serta mempunyai banyak pengetahuan dan kemahiran dalam menghasilkan akok yang lazat,” ujarnya lagi.

Selain empat jenis akok, manisan, gula, pandan dan jagung, premis ini juga turut menawarkan kuih tradisi Kelantan yang lain termasuk, jala mas, tahi itik, buah tanjung dan mas jeput.

DATUK DIDAKWA TIPU RM2.5 JUTA

Seorang ahli perniagaan barangan lusuh dan makanan halal hari ini mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan lain membabitkan cek berjumlah RM2.5 juta.

Di Mahkamah Sesyen lima, Datuk Syed Ahamed Malik Syed Hamid , 59, didakwa memperdaya Datuk Seri Lee Wan Beng, 62, untuk mempercayainya sebagai wakil Syarikat Minat Jasa Sdn Bhd yang menawarkan kontrak penjualan barang-barang lusuh dan berjadual kepunyaan Keretapi Tanah Melayu Bhd di Bengkel Sentul, Depoh Pelabuhan Klang, Depoh KL Sentral dan Depoh Falim.

Kontrak itu adalah untuk tempoh pengambilan selama dua tahun yang tertuduh tahu bahawa kontrak itu tidak wujud, dan dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan cek bernilai RM500,000 yang kemudian ditunaikan ke dalam akaun Tetuan Ahmad Rosdi & Co.

Syed Ahamed Malik didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel PJ Hilton, No.2 Jalan Barat di sini, pada 1 April 2011. Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suraiya Mustafa Kamal. Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun mewakili pihak pendakwaan.

Di Mahkamah Sesyen Satu pula, Syed Ahamed Malik didakwa menipu Lee dengan memperdaya hingga mendorongnya menyerahkan cek bernilai RM2 juta dan cek itu juga ditunaikan ke dalam akaun Tetuan Ahmad Rosdi & Co. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ahmad Rosdi Anco B4-11 PJ Industrial Park Seksyen 13, Jalan Kemajuan, di sini, pada 14 September 2011.

Syed Ahamed Malik didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Choong Kak Sen menawarkan Syed Ahamed Malik diikat jamin RM2.5 juta bagi kedua-dua pertuduhan itu berikutan jumlah kerugian yang besar dan kesalahan itu adalah amat serius.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin memohon mahkamah supaya jumlah jaminan itu dikurangkan selain memohon bayaran jaminan dibuat dalam bentuk cagaran geran rumah.

Choong membantah berikutan keraguan ketulenan geran dan harga rumah tersebut. Hakim Haiyatul Akmal Abdul Aziz kemudian menetapkan jaminan RM100,000 dengan  seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 3 September untuk tarikh sebutan.

SAYA TAK MAHU KOMEN APA-APA: LAJIM

Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin enggan mengulas buat masa ini isu berkaitan pembatalan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berkuatkuasa serta-merta.

"Saya belum komen apa-apa dahulu... nanti pada masa yang sesuai saya akan buat kenyataan," katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan itu.

Ini mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibacakan bersama Fasal(5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Lajim pada Sabtu lepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Lajim bagaimanapun berkata beliau masih kekal sebagai anggota Umno. Sementara itu, setiausaha Barisan Nasional Negeri Datuk Abdul Rahman Dahlan, dalam reaksi segera berikutan pembatalan pelantikan Lajim itu berkata, tiba masanya satu tindakan diambil terhadap Lajim.

"Apa yang diputuskan oleh Agong adalah betul. Sesuatu perlu dibuat. Sekarang Perdana Menteri perlu meneliti senario keseluruhan, sama ada hendak membiarkan jawatan itu dikosongkan atau mengisinya," katanya.

Abdul Rahman, yang juga anggota Parlimen Kota Belud, berkata tindakan seterusnya ialah untuk "memecat Lajim daripada Umno". Katanya, Lajim tidak sepatutnya menentang parti tetapi kekal sebagai ahli.

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun pula berkata, keputusan Najib itu merupakan prerogatifnya sebagai Perdana Menteri untuk melantik atau membatalkan jawatan seseorang dalam Kabinetnya.

ILLUMINATI KEMUNCAK TEORI ZIONIS DI OLIMPIK

Sukan Olimpik London 2012 baru sahaja membuka tirai Jumaat lalu, di mana Britain sekali lagi diberi penghormatan untuk menganjurkan temasya berprestij itu.

Majlis pembukaan turut diadakan dengan gilang-gemilang dan disaksikan lebih satu bilion penonton di seluruh dunia.

Penganjur memilih untuk mengetengahkan majlis perasmian yang penuh dengan kejutan termasuk kemunculan Ratu Elizabeth II diiringi oleh James Bond (aktor Daniel Craig).

Bagaimanapun, di sebalik kemeriahan itu, beberapa maklumat yang boleh diperoleh menerusi YouTube berpendapat Sukan Olimpik 2012 tersebut adalah kemuncak bagi segala teori konspirasi yang direncanakan oleh Illuminati (pertubuhan Yahudi terbesar di dunia yang bergerak secara rahsia tanpa diketahui siapa menganggotainya).

Illuminati dikatakan bergerak secara terancang dan telah menguasai hampir 80 peratus pelosok dunia.

Pertubuhan rahsia itu juga telah menguasai pelbagai aspek termasuk ekonomi, politik dan pendidikan dengan menerapkan pemikiran Illuminati yang dirancang sejak lebih 300 tahun lalu.

Sebagai contoh logo 2012 yang diperkenalkan pada Jun 2007 didakwa menelan kos sehingga 400,000 pound (RM2 juta) itu turut memaparkan maksud tersembunyi yang menjadi perkataan Zion (Zionis) serta lambang swastika (Nazi) jika ia disusun semula.

Petunjuk dan maksud tersembunyi tersebut dikaitkan dengan Freemason, sebuah lagi pertubuhan rahsia Yahudi mempunyai matlamat sama seperti Illuminati.

Aspek lain dalam Olimpik London yang mempunyai pengaruh Illuminati adalah dua maskot bermata satu diperbuat daripada logam digelar Wenlock dan Mandeville.

Sesetengah pihak mungkin menganggap kedua-dua maskot tersebut seperti watak animasi filem Monsters, Inc. tetapi jika diamati dengan teliti ia sebenarnya menyerupai dajjal yang diketahui sebagai makhkluk bermata satu.

Kedudukan mata maskot tersebut turut dikaitkan dengan lambang mata satu (all seeing eye) iaitu mata yang melihat semua  yang terdapat dalam puncak segi tiga simbol Illuminati.

Sebagai contoh, pada bahagian atas kepala Wenlock yang kononnya direka sebagai teksi di London juga sebenarnya menunjukkan lambang segi tiga piramid dalam logo Illuminati.

Selain itu, beberapa pemerhati turut mempertikaikan reka bentuk Stadium Olimpik London yang telah meraih Anugerah Institut Arkitek Diraja Britain 2012 (Riba).

Mereka mendakwa binaan segi tiga di sekeliling stadium itu menyerupai piramid separuh siap lambang Illuminati walaupun arkitek firma Populous itu, Philip Johnson menyatakan idea reka bentuknya menandakan era baru dalam acara sukan.

Seperti apa yang dipaparkan menerusi YouTube, mungkinkah akan berlaku satu lagi kejadian dahsyat seperti serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat?

Ini kerana, ada beberapa peristiwa yang terdapat pada 330 kad permainan Illuminati tersebut telah benar-benar berlaku sebelum ini, sekali gus membuktikan teori konspirasi sememangnya sudah lama wujud walaupun kad tersebut dikeluarkan pada 1995.

Ada pengguna YouTube membuat kajian mereka sendiri berdasarkan fakta yang boleh diterima akal.

Dan, mereka menganggap salah satu kad tertera perkataan Combined Disasters (gabungan bencana) adalah kemuncak bagi teori konspirasi ini.
Rancangan jahat yang didalangi oleh agen Illuminati dan Freemason ini sebenarnya bertujuan untuk mencapai matlamat One World Government (satu kerajaan dunia) dengan melaksanakan dasar Novus Ordo Seclorum (Pemerintahan Dunia Baru).

Pertubuhan itu kini bertapak dengan kukuh di Amerika Syarikat (AS) dan melaksanakan pelbagai konspirasi yang berlindung di sebalik undang-undang serta hanya memberi keuntungan kepada sekutunya.

Situasi ini dapat dilihat dengan jelas dalam Kongres AS, yang mana kebanyakan ahlinya terdiri daripada bangsa Yahudi dan keseluruhan dasar negara Barat itu turut menyokong sepenuhnya segala keputusan Israel terutamanya jika ia berbentuk penindasan terhadap orang Islam.

Adakah ia hanya kebetulan? Atau sememangnya telah dirancang dengan teliti oleh pertubuhan rahsia Yahudi ini?

ALLAH telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 120;

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad SAW) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka) sesungguhnya petunjuk ALLAH (Islam) itulah petunjuk yang benar.”

BAGAI TELUR DIHUJUNG TANDUK

BAGAIKAN 'telur dihujung tanduk'. Itulah gambaran kepada nasib jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan apabila mesyuarat untuk membincangkan masa depannya hari ini, masih belum mencapai kata putus sama ada di gugurkan atau kekal dalam skuad Kenari, musim depan.

Jelas Wan Jamak, tiada sebarang kata putus mengenai kedudukannya sebagai jurulatih memandangkan terdapat beberapa pemimpin yang tidak menghadiri mesyuarat berkenaan menyebabkan tiada keputusan dapat dibuat.

"Mesyuarat hari ini hanya membincangkan mengenai masa depan dan pencapaian dilakukan oleh saya sebagai jurulatih. Tapi keputusan sama ada saya digugurkan ataupun tidak masih belum mencapai kata putus.

"Apa-apa pun, saya sudah bersedia menghadapi sebarang keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan reda walaupun mengakui saya sedikit terkilan apabila terpaksa meninggalkan pasukan ini yang masih banyak tugas belum selesai," kata Wan Jamak ketika dihubungi Sinar Harian Online, petang ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan pihak KFA akan mengubah kembali hasrat untuk menggugurkan beliau , Wan Jamak berkata, harapan itu agak tipis kerana pihak pengurusan sendiri telah memutuskan untuk mengambil khidmat jurulatih luar negara.

"Apabila berita ini sudah terkeluar di surat khabar, maknanya pihak pengurusan betul-betul serius untuk menggugurkan saya. Dan ini bukannya khabar angin.

"Namun, sekiranya keputusan itu diubah, pastinya saya akan bekerja dengan keadaan tidak seronok," katanya.

Semalam,  Pengurus Pasukan Kedah, Datuk Khazali Din berkata, pihaknya sedang berbincang untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Crotia bagi menggantikan Wan Jamak bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.

Dan kini, segala urusan masih di peringkat perbincangan dengan jurulatih tersebut.

Hasrat ini berikutan kegagalan Wan Jamak untuk mengembalikan kebangkitan Kedah, sebaliknya prestasi mereka terus jatuh merundum ke saingan Liga Perdana musim depan.

APEX ANGGAP SAINGAN SIHAT

PENJAGA gol utama Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali Apex menyifatkan cabaran daripada rakan sepasukannya, Farizal Marlias sebagai satu persaingan sihat dalam sesebuah pasukan.

Katanya, itu satu petanda yang baik kerana semua pemain cuba memberikan aksi yang terbaik kepada negara.

"Satu persaingan yang sihat. Saya puji semangat yang dimiliki Farizal.

"Apa yang saya lihat, Farizal seorang penjaga gol yang hebat. Beliau mempunyai kemampuan yang luar biasa," kata Apex melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Sinar Harian Online.
 
Apex berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan penjaga gol kedua kebangsaan, Mohd Farizal Marlias yang tekad untuk mengatasi pencapaian beliau dalam merebut posisi penjaga gawang utama kebangsaan.

MANA IKON KEAMANAN DUNIA KALA UMAT ISLAM DITINDAS?

Dia dijulang sebagai wanita kental yang tidak pernah lelah memperjuang keadilan dan keamanan, sehingga terpaksa menghabiskan hampir 20 tahun hidupnya di bawah tahanan.

Bukan sahaja dunia Barat, pemimpin Islam seluruh dunia juga memandang tinggi kepada wanita bernama Aung San Suu Kyi ini.

Keazamannya dalam menentang penindasan kerajaan tentera Myanmar membuahkan hasil selepas dia akhirnya dibebaskan daripada tahanan rumah pada 2010 dan kini menjadi ketua pembangkang di Parlimen negara itu.

Tetapi apabila timbul isu keganasan terhadap etnik Rohingya, iaitu penduduk minoriti beragama Islam di Myanmar, kelantangan suara Suu Kyi hilang ditenggelami bunyi jeritan dan tangisan kaum itu yang diseksa dan dibunuh oleh etnik Rakhine beragama Buddha.

Keganasan yang kini telah berlarutan lebih lapan minggu di negeri Rakhine, berhampiran sempadan Bangladesh itu dipandang sepi oleh Suu Kyi.

Keengganan beliau untuk bersuara, menimbulkan banyak kritikan dan juga kekecewaan aktivis hak asasi manusia yang selama ini memuja wanita berumur 67 tahun itu.

Suu Kyi tidak mengkritik Presiden Myanmar, Thein Sein yang secara terang-terangan berkata 800,000 penduduk Rohingya itu ‘tidak diingini di Myanmar’ dan meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa mereka keluar dari negara itu.

Mungkin ramai yang bagai tidak percaya dengan kenyataan Thein Sein sebagai seorang ketua negara, tetapi apa yang lebih membingungkan adalah pendirian Suu Kyi sendiri.

“Ini mengecewakan. Dia berada dalam kedudukan yang sukar, tetapi ramai orang kecewa dia tidak bercakap apa-apa mengenai isu ini,” menurut pengarah eksekutif Kempen Burma Britain, Anna Roberts.

Pengarah badan hak asasi manusia Human Rights Watch di rantau Asia, Brad Adams pula mempersoalkan adakah Suu Kyi turut berkongsi kebencian mendalam penganut Buddha di negara itu terhadap orang Islam Rohingya, iaitu kaum minoriti berkulit gelap yang berpindah dari Bengal ke Myanmar ratusan tahun lalu.

“Keganasan ini tercetus semasa Suu Kyi dalam rangka lawatan ke Eropah tetapi dia langsung tidak menyentuh mengenai hal ini.

“Ini menimbulkan syak wasangka terhadap pendirian sebenar beliau mengenai hal ini,” katanya.

Suu Kyi pernah ditanya mengenai isu Rohingya, tetapi hanya menjawab secara kabur bahawa Myanmar memerlukan undang-undang migrasi yang jelas.

Tetapi jawapannya itu hanya menunjukkan bahawa dia menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang dan bukannya rakyat negara itu.

Minggu lalu, Suu Kyi dalam kenyataan di Parlimen negaranya menggesa undang-undang melindungi hak etnik minoriti diwujudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada hak kumpulan-kumpulan etnik berbeza di Myanmar, dan bukannya mengenai penindasan yang berlaku terhadap etnik Rohingya.

Awal bulan ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menggesa Suu Kyi membantu menamatkan keganasan terhadap etnik Rohingya.

“Sebagai penerima Nobel Keamanan, kami yakin langkah pertama anda perlu lakukan untuk memastikan keamanan di seluruh dunia bermula dengan negara anda sendiri,” menurut Pengerusi OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu dalam suratnya kepada Suu Kyi.

Menurut penganalisis politik, keganasan kaum yang melanda Myanmar meletakkan Suu Kyi di bawah tekanan kerana perpecahan yang sedia wujud antara agama dan etnik di negara itu.

Dan Suu Kyi, sebagai ahli politik, tentu tidak mahu tersilap langkah hingga terpijak ‘periuk api’ yang akan memusnahkan karier politiknya yang baru hendak bercambah selepas puluhan tahun diletakkan di bawah tahanan rumah oleh kerajaan tentera Myanmar sebelum ini.

“Kami merayu kepada PBB, negara luar, kerajaan Myanmar dan paling utama sekali, kepada Suu Kyi (untuk bantu tamatkan keganasan),” kata Mohammad Islam, ketua pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian bandar Teknaf, Bangladesh.

“Suu Kyi belum pernah mempertahan atau berbuat apa-apa untuk kami, tetapi kaum Rohingya, termasuk ibu bapa saya, berkempen untuknya semasa pilihan raya 1990,” tambah Mohammad.

Adakah Suu Kyi akan menyahut rayuan  Rohingya ini?

BONUS BUKAN BAHAN POLITIK :PAS

Pas tidak akan menjadikan isu pemberian bonus raya kepada kakitangan awam sebagai bahan politik.

Bendahari Pas Terengganu, M Shukrimun Shamsudin berkata, walaupun pemberian tersebut terlalu dekat dengan tarikh pilihan raya umum yang bakal berlangsung bila-bila masa, beliau dalam nada positif memberitahu pemberian itu sudah menjadi tradisi Kerajaan Pusat setiap kali menjelang sambutan hari raya.

Beliau turut menggambarkan Kerajaan Pusat akan melakukan perkara sama sekalipun tarikh pilihan raya masih jauh.

“Bagi saya bonus raya tiada kaitan dengan politik. Kalau pilihan raya jauh lagi pun, kerajaan akan beri kerana ia bukan benda baru dan bukan satu benda yang perlu dipolitikkan. Kalau kita jadikan isu politik, tidak cerdiklah.

“Kalau kita perintah pun, kita akan beri (bonus raya) juga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikianketika mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak , kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam .

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

M Shukrimun menjelaskan, isu bonus raya itu perlu diserahkan kepada pihak berwajib dan berdasarkan kemampuan yang ada.

“Amalan memberi duit raya ini pun turut dilakukan seseorang individu kepada individu lain pada musim perayaan, apatah lagi sebagai sebuah kerajaan,” katanya.

Menyentuh perkara sama, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus berkata, isu politik mungkin akan dibangkitkan sekiranya kerajaan tidak bersedia memberi bonus kepada golongan tersebut sebagaimana yang biasa dilakukan setiap tahun.

Jelasnya, jika tiada pemberian, ia sudah tentu menjadi persoalan yang besar kepada rakyat kerana kerajaan sebelum ini dilihat mampu mengagihkan wang dalam program baru seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilihat jelas sebagai umpan politik.

“Oleh kerana pemberian ini dibuat setiap tahun, maka ia bukan isu politik dan rakyat juga tertunggu-tunggu pemberian bonus ini,” katanya.

CAP GESA PEMILIK RESTORAN PAMER HARGA SEBENAR

GEORGE TOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengusaha restoran supaya secara automatik mengenakan caj perkhidmatan pada harga makanan mereka supaya pengguna tahu kos sebenar makanan itu.
   
Presidennya S.M Mohamed Idris turut menyaran pengusaha menyatakan nilai sebenar cukai perkhidmatan dalam bentuk nilai mutlak dan bukan dalam bentuk peratus.
   
"Pengguna keliru berapa kos sebenar yang sepatutnya mereka perlu bayar untuk makan di restoran apabila caj tambahan yang hanya dinyatakan dalam nilai peratus tidak dimasukkan ke dalam harga individu," katanya kepada pemberita hari ini.
   
Beliau berkata tidak adil pengusaha meletakkan harga lebih rendah pada menu atau iklan mereka, sedangkan pelanggan sebenarnya terpaksa membayar lebih untuk makanan mereka.
   
Mohamed Idris juga mencadangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)memantau perolehan pengusaha restoran yang mengenakan cukai perkhidmatan supaya tidak berlaku penipuan dan penindasan terhadap pengguna.

Beliau turut mengesyorkan JKDM mengarahkan pengusaha restoran mencetak nombor lesen kebenaran mengutip cukai pada resit harga makanan untuk memudahkan pengguna menyemak dengan jabatan berkenaan jika terdapat sebarang keraguan berhubung perkara itu.
   
"Terdapat pengusaha restoran yang tidak layak mengutip cukai kerana perolehan mereka kurang dari RM3 juta setahun, tetapi mereka kutip juga (cukai) dan ada juga yang letak kadar cukai terlalu tinggi sedangkan perkhidmatan yang diberi tidak seberapa," katanya.

TEMA HARI MERDEKA PAKATAN PUTUSKAN ESOK

Pakatan Rakyat yang mempertikaikan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, yang diumumkan Kerajaan Pusat awal bulan ini, akan mengumumkan tema alternatif esok.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, jawatankuasa yang dibentuk PR untuk memilih tema alternatif akan membuat keputusan muktamad esok.

"Jawatankuasa empat pemimpin PR akan membuat keputusan akhir esok dan akan mengumumkan kemungkinan tengah hari esok... kami akan mencadangkan kepada kerajaan tema yang kami pilih," kata beliau ketika dihubungi.

Menurut beliau, pihaknya telah menerima 250 cadangan sejak pihaknya membuka kepada umum minggu lalu.
Pada 27 Julai lalu, PR mempelawa orang ramai
 agar mengemukakan cadangan tema alternatif.
Langkah ini diumumkan tiga hari selepas PR membuat pendirian rasmi menggesa kerajaan menukar tema kali ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

LAJIM IKUT NASIHAT ANWAR:PUAD

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam keputusan Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Lajim mengambil keputusan itu kerana mengikut nasihat Anwar yang didakwa berkemungkinan menawarkan wang kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

“Tidak mustahil pendekatan kewangan telah digunakan oleh Anwar yang menasihati Lajim untuk meletakkan jawatannya setelah melihat kata duanya tidak didengari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tahu yang Anwar sekarang juga digelar ‘3 billion Man’ seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Maka, berkemungkinan dia menggunakan sumber kewangan itu untuk memujuk Lajim meninggalkan parti,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya lagi, sebelum ini Lajim yang mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) sejurus selepas peletakan jawatannya dikatakan cuba bermain 'tarik tali' dan melambatkan tindakannya melepaskan jawatan ahli Umno.

Menurutnya, Lajim sengaja melambatkan tindakan dan membuat urusan tawar-menawar kepada parti. Malah, apabila pendekatan yang digunakan tidak berkesan, dia mula merancang melepaskan kedua-dua jawatan itu.

“Tindakan itu tidak memberi implikasi buruk kepada Barisan Nasional (BN), kerana tiada impak ahli kita yang keluar beramai-ramai mengikut jejak langkahnya. Kita sedikit pun tidak hairan kepadanya,” katanya.

Katanya, tindakan Lajim itu tidak beri kesan kepada penentuan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dibuat Perdana Menteri.

Wan Jamak Kecewa Keputusan KFA

JURULATIH skuad Kenari, Wan Jamak Wan Hassan melahirkan rasa kecewa apabila mengetahui hasrat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang ingin mendapatkan khidmat jurulatih Crotia bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun katanya, perkara ini belum dibincangkan lagi dan sebarang keputusan akan dibuat petang nanti.

"Siapa yang tidak kecewa dengan keputusan ini. Apa-apa pun, saya akan menunggu keputusan daripada pihak pengurusan dan perbincangan akan dibuat petang nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Wan Jamak berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat KFA yang ingin mendapatkan jurulatih Crotia untuk menggantikan dirinya bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.

Semalam,  pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din berkata, pihaknya sedang berbincang untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Crotia bagi menggantikan Wan Jamak bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.Dan kini, segala urusan masih di peringkat perbincangan dengan jurulatih tersebut.
Hasrat ini berikutan kegagalan Wan Jamak untuk mengembalikan kebangkitan Kedah, sebaliknya prestasi mereka terus jatuh merundum ke saingan Liga Perdana musim depan.

ZUNAR MENANG SAMAN

KUALA LUMPUR - Kartunis politik Zulkiflee SM Anwar atau dikenali sebagai Zunar, hari ini menang kes saman ke atas kerajaan dan empat yang lain berhubung tindakan pihak berkuasa merampas 66 buku dan satu lukisannya dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan permohonan Zunar.
Pada 15 Jun tahun lalu, Zunar memfailkan saman sivil ke atas kerajaan Malaysia dan empat defenden berhubung penangkapannya dan rampasan terhadap 66 buku Cartoon-O-Phobia serta sebuah lukisan kolaj pada 2010.
Beliau menamakan pegawai yang menahannya ASP Arikrishna Apparau, pegawai penyiasat ASP Marina Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Dipetik oleh The Star hari ini, Zunar berkata, keputusan mahkamah hari ini sebahagian kemenangan bagi kesemua kartunis politik memandangkan Vazeer memutuskan bahawa tindakan menahan buku-buku berkenaan adalah sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang, tetapi penahanan Zunar adalah sah pada waktu itu.
Dalam pada itu, salah seorang peguam Zunar, N. Surendran berkata, kemenangan ini membuktikan kerajaan tidak munasabah dengan merampas dan menyimpan koleksi buku kartun beliau selama lebih dua tahun.
“Kami terima baik keputusan mahkamah. Itu jelas menunjukkan kerajaan berniat jahat sebelum ini berhubung penangkapan dan rampasan buku sewaktu Zunar sedang melancarkannya.
“Mereka cuba menghentikan karya Zunar yang mengandungi kritikan terhadap kerajaan,” kata Surendran.
Zunar turut diwakili oleh Fadiah Nadwa Fikri.

Monday 30 July 2012

PENGGUNA DUNIA BELANJA 7 TRILION UNTUK PRODUK DIGITAL

Para pengguna akan membelanjakan AS$2.1 trilion (RM6.3 trilion) seluruh dunia ke atas maklumat digital, produk hiburan dan perkhidmatan tahun ini, kata Gartner Inc.

Ini menyaksikan peningkatan global sebanyak AS$114 bilion berbanding tahun lepas, dan perbelanjaan akan terus berkembang pada kadar yang lebih pantas daripada AS$130 bilion setahun yang lepas, untuk mencecah AS$2.7 trilion menjelang akhir 2016.    

Jumlah AS$2.1 trilion itu terdiri daripada apa yang pengguna akan belanja ke atas telefon mudah alih, perkomputeran dan hiburan, media dan peranti pintar, perkhidmatan yang diperlukan untuk menjadikan peranti ini dapat dihubungkan kepada rangkaian yang sesuai, dan perisian serta kandungan media yang digunakan oleh peranti-peranti ini. 

"Terdapat dua kelas produk yang dari segi dolar adalah kecil tetapi menawarkan pertumbuhan ketara menjelang 2016," kata Amanda Sabia, penganalisis di Gartner dalam satu kenyataan hari ini.

Gartner meramalkan penggunaan pengguna ke atas aplikasi dan kandungan mudah alih akan meningkat daripada US$18 bilion tahun ini kepada AS$61 bilion pada 2016, dan perbelanjaan ke ata kandungan e-teks (e-buku, berita  dalam talian, majalah dan perkhidmatan maklumat) akan meningkat daripada AS$5 bilion dalam tahun 2012 kepada AS$16 bilion pada 2016. 

"Bagaimanapun, penyelidikan kami turut mendapati yang para pengguna sanggup bertolak-ansur dan menyokong model perniagaan sebagai pertukaran untuk fungsi dan kandungan percuma seperti penyimpanan awan peribadi,  perangkaian sosial, pencarian maklumat, turun muat video dan lain-lain," kata beliau. 

Beliau juga berkata, yang kerjasama antara vendor dalam segmen yang berlainan diperlukan untuk membina "jambatan" di kalangan pelbagai platform dan menyampaikan rumusan yang lebih mudah.

AKTIVIS LANCAR MOGOK LAPAR

Aktivis veteran India, Anna Hazare sekali lagi melancarkan mogok lapar, semalam bagi menuntut tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat dengan rasuah.

Hazare, 75, turut mengancam untuk meneruskan mogok lapar walaupun ia bakal meragut nyawanya jika tuntutannya tidak dipenuhi.

Difahamkan, beberapa anggota kanan kempen Hazare dilaporkan telah memulakan mogok lapar di New Delhi sejak empat hari lalu.

Ogos lalu, jutaan penduduk menyokong beliau dengan membantah draf undang-undang baru antirasuah yang  mengecualikan ramai pegawai tinggi termasuk Perdana Menteri Manmohan.

SKANDAL BANK: 4 HUKUMAN MATI

Empat orang dikenakan hukuman mati atas peranan mereka dalam skandal penyelewengan bank terbesar Iran tahun lalu.
Dua yang lain menerima hukuman penjara seumur hidup manakala 33 lagi akan menjalani hukuman penjara 25 tahun.
Skandal itu melibatkan pemalsuan dokumen, yang digunakan oleh sebuah syarikat pelaburan untuk mendapatkan pnjaman AS$2.6 bilion (RM7.8 bilion).
Seramai 39 orang telah dibicarkan ekoran pembabitan mereka dalam skandal ini.
"Kami sedang menaip hukuman mereka sekarang dan berdasarkan hukuman yang telah dijatuhkan, empat yang tertuduh dalam kes ini dihukum mati," kata jurucakap kehakiman, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei kepada agensi berita Iran.
Bagaimanapun nama-nama individu terbabit didedahkan.

FULL TIME: MANCITY 3-PILIHAN MALAYSIA 1

Selepas ditewaskan oleh Arsenal minggu lalu, malam ini Manchester City pula mengatasi skuad negara Harimau Malaya 3-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Pasukan pelawat menjaringkan gol pada minit ke-17, 48 dan 52 manakala Harimau Malaya pula pada minit ke-87.
 
Separuh Masa: Manchester City 1-0
    
Penjaring:
Manchester City:  Sergio Aguero (minit ke-17), Carlos Tevez (48), Adam Johnson (52).
Malaysia: Azamuddin Mohd Akil (87).
    
                     Senarai Pemain:

MALAYSIA:

Mohd Farizal Marlias, (Khairul Fahmi Che Mat), S.Subramaniam (Mohd Faizal Muhammad) , Mohd Bunyamin Umar, Mohamad Adil Zafuan Abdul Razak, Mohamad Azmi Muslim (Mahalli Jasuli), Safiq Rahim (kapten) (Mohd Khyril Muhymeen), Gary Steven Robbat, S.Kunalan (Amiridzwan Taj Tajudin) , Baddrol Bakhtiar (Azamuddin Mohd Akil), Norsharul Idlan Talaha (Ahmad Shakir Mohd Ali), Mohd Safee Mohd Sali (Mohd Shakir Shaari).
    
 MANCHESTER CITY:

Costel Pantilimon, (Eirik Johansen), Pablo Zabaleta, Aleksandar Kolarov, Stefan Savic, Kolo Toure (Filippo Mancini),Denis Suarez, Dedryck Boyata, Adam Johnson, Yaya Toure (kapten) (Luca Scapuzzi), Abdul Razak Karim (George Evas), Carlos Tevez, Sergio Aguero (Marcos Lopes). 
Pengadil: Mohd Amirul Izwan Yaacob.


DAP TATAP TOLAK HUDUD: GUAN ENG

SHAH ALAM – DAP mengulangi pendirian bahawa parti tersebut tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini dan perlaksanaan undang-undang hudud seperti yang disarankan Pas dan Umno.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP selama ini adalah konsisten dan tidak pernah berubah, namun menegaskan DAP dan Pas bersama-sama berkongsi pendirian untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan  kuasa.

“DAP dan Pas boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecah belahkan kita.

“Jelas, ‘dasar bersama’ tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan,” katanya sebentar tadi.

Kata Guan Eng lagi, atas sebab ini, DAP dan Pas telah menandatangani dasar bersama yang menyatakan kerangka kerjasama dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat (PR) masa depan.

THE BOURNE LEGACY REVIEW

Tiada lagi watak bekas pembunuh profesional CIA, Jason Bourne dalam filem terbaru siri Bourne, The Bourne Legacy yang akan menemui penonton 9 Ogos ini.

Malah, The Bourne Legacy bolehlah dianggap sebagai ‘bab’ baru dalam siri terkenal ini dengan menampilkan watak ejen yang lain.

Mengimbas kembali, trilogi Bourne sebelum ini iaitu The Bourne Identity (2002), The Bourne Supremacy (2004) dan The Bourne Ultimatum (2007) diangkat daripada novel tulisan Robert Ludlum.

Aktor hebat, Matt Damon diberi peranan untuk memegang watak sebagai Bourne dalam ketiga-tiga filem yang diarahkan Paul Greengrass itu.

Bagaimanapun, Greengrass menarik diri daripada mengarahkan The Bourney Legacy dan keputusan itu turut diikuti Damon yang tidak mahu bekerja dengan pengarah selain Greengrass.

Tony Gilroy yang berpengalaman menulis lakon layar dalam tiga filem sebelum ini akhirnya mengambil alih tugas sebagai pengarah.

Gilroy menjelaskan, The Bourne Legacy bagaimanapun bukanlah sambungan daripada trilogi terdahulu kerana jalan ceritanya langsung tidak membabitkan watak Bourne.

Sebaliknya, ia menampilkan hero baru bernama Aaron Cross/ Kenneth Gibson, seorang ejen Operation Outcome yang dilakonkan Jeremy Kenner.

“Filem ini akan berdiri sendiri sebagai suatu cerita yang dikembangkan dari tiga filem pertamanya. 

“Latar belakangnya masih sama, namun filem ini akan memiliki alur cerita sendiri. Malah, The Bourne Legacy juga tidak mengikuti jalan cerita novel Bourne seperti sebelumnya,” katanya.

Pengganti Damon?

Mengakui merupakan peminat siri Bourne, Renner teruja bila diberi peluang terbabit dalam filem menelan kos RM270 juta.

Kali pertama memegang watak utama, tekanan besar bakal dirasai Renner kerana wataknya pastinya akan dibandingkan dengan Damon.

“Bagi penggemar siri ini, saya bukanlah pengganti Matt kerana watak Jason Bourne milik Matt sampai bila-bila.

“Saya sendiri tidak mahu bawa watak sama dengannya.

Apa pun, Matt telah jayakan wataknya dengan baik sekali,” katanya.

Jelas Renner, pada mulanya dia teragak-agak terima tawaran apabila diberitahu Gilroy bakal tampilkan sesuatu baru dalam The Bourne Legacy.

“Saya tidak yakin bagaimana dia akan lakukan, tetapi sebaik saja membaca skrip, saya terus tertarik," katanya.

Malah, filem ini juga merupakan peluang kepada Renner membuktikan keupayaannya kerana sebelum ini dia sering membintangi filem box-office.

Antara filem lain lakonan Renner ialah Hurt Locker, Mission Imposibble: Ghost Protocol dan The Avengers.

Misi besar

The Bourne Legacy mengisahkan sebuah misi besar harus diselesaikan oleh CIA, di mana Aaron Cross (Renner) bertindak sebagai ejen baru menggantikan Jason Bourne (Mat Damon).

Sebelum diberi misi tersebut, Aaron perlu diuji dengan pelbagai latihan agar dia benar-benar bersedia sebagai ejen khas dan pembunuh profesional.

Selain Renner, watak baru yang ditampilkan ialah Rachel Weisz, Edward Norton, Stacy Keach dan Oscar Isaac. 

SKUAD RAJAGOPAL MAHU UBATI LUKA LAMA

BARISAN Harimau Malaya sekali lagi akan diuji malam ini menentang juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada Siri Jelajah Asia Manchester City di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Biarpun prestasi semasa ketika tewas 2-1 kepada Arsenal Selasa lalu begitu amat mengecewakan terutama lima minit terakhir peminat, namun jika Safee Sali dan rakan mampu mencakar anak buah The Citizens jika memperbaiki beberapa kelemahan pada perlawanan itu.
Sementara anak buah Roberto Mancini, yang masih dibuai mimpi kejayaan menewaskan Arsenal, 2-0 pada aksi terkahir semasa kunjungan ke Beijing, China, pastinya mahu menamatkan saingan latihan pramusim di beberapa negara Asia dengan noktah kemenangan.
Ikuti analisis prestasi skuad Harimau Malaya khasnya kelemahan yang perlu diberikan perhatian serius menjelang pertemuan menentang Manchester City, malam ini.

Pertahanan: Mudah bolos asakan bertubi
Pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Aidil Zafuan Razak yang konsisten semasa melayan kunjungan The Gunners perlu dikekalkan sepanjang tempoh 90 minit, di samping menyokong kekebalan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal Marlias daripada ancaman Carlos Tevez dan rakan.

Tengah: Selesa apabila mendahului
Aksi Kapten  Harimau Malaya, Safiq Rahim yang banyak membuka peluang pada barisan serangan perlu lebih banyak mengandakan asakan, di samping tengah Sabah, Rozaimi Abd Rahman dan Gary Steven Robbat yang perlu diletakan dalam kesebelasan uama tidak terlalu selesai apabila Harimau Malaya mendahului.

Serangan: Penyudah tidak sempurna
Bahagian diketuai penyerang Pelita Jaya FC, Safee Sali perlu memastikan setiap peluang depan pintu gol pelawat diterjemahkan dengan sempurna. Kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang semasa menentang Arsenal tempoh hari menceritakan bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki mala mini jika mahu menang.

Barisan kemungkinan Malaysia:

Penjaga gol
Mohd Farizal Marlias (Negeri Sembilan)
 
Pertahanan
S Subramaniam (Kelantan)
S Kunanlan (Negeri Sembilan)
Muslim Ahmad (Terengganu)
Mahali Jasuli (Harimau Muda A)
Fadhli Mohd Shas ( Harimau Muda A)
Tengah Azmi Muslim (ATM)
Gary Steven Robbat  (Harimau A)
Shakir Shaari (Kelantan)
Mohd Safiq Rahim (Selangor) Ketua Pasukan
Serangan Rozaimi Abdul Rahman (Sabah), Safee Sali (Pelita Jaya FC)

'SABAR DUHAI HATI'

PETALING JAYA – "Sabar duhai hati", adalah status BlackBerry (BB) terakhir yang sempat dicatat seorang Eksekutif Pentadbiran sebuah stesen televisyen swasta, Syaleza Jaffar, 31, sebelum ditemui mati dalam bilik di kediamannya 
di Apartmen Saujana, Damansara Damai, dekat sini, kelmarin.
Kejadian disedari setelah suaminya terdengar bunyi dentuman kuat, lalu bertindak pecahkan pintu bilik selepas  panggilannya tidak terjawab.

Menurut sumber, pasangan itu bertengkar kira-kira jam 7 malam, menyebabkan mangsa merajuk dan mengunci dirinya di dalam bilik.
“Suami mangsa menghubungi ambulans yang tiba jam 10.30 malam. Pemeriksaan lanjut mendapati dia telah meninggal dunia,” katanya.

Difahamkan jiran mangsa juga terdengar bunyi pertengkaran beberapa jam sebelum kejadian. Ia berkemungkinan berpunca daripada suami mangsa pulang lewat dari kerja luar kawasan.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun dan menyewa di situ sejak tiga bulan lalu.

Suami mangsa yang bekerja di syarikat petroleum di ibu kota, buat laporan dan memberi keterangan kepada polis.

Mayat Syaleza dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan kejadian itu.

"Peringkat awal kes diklasifikasikan mati mengejut, namun siasatan diteruskan sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak,” katanya.

KEDAH AMBIL JURULATIH CROATIA GANTI WAN JAMAK

ALOR SETAR - Kedah akan mendapatkan khidmat jurulatih dari Croatia untuk menggantikan Wan Jamak Wan Hassan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bermula pertengahan bulan depan.
   
Pengurus pasukan Datuk Khazali Din bagaimanpun enggan mendedahkan nama jurulatih tersebut buat masa ini.
   
Menurutnya, perkara itu masih di peringkat perbincangan antara Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dengan jurulatih tersebut yang dijangka berada di Alor Setar bulan depan.
   
"Kita akan umumkan nama jurulatih tersebut selepas persetujuan antara kedua-dua pihak dicapai," katanya ketika dihubungi Bernama.
   
Khazali berkata jurulatih itu pernah mengendalikan beberapa pasukan ternama di Croatia.
  
Beliau berkata kedudukan Wan Jamak akan diputus sama ada digugur atau terus dikekal.
   
Wan Jamak dilantik sebagai ketua jurulatih Kedah menggantikan Ahmad Yusof bagi mengembalikan semula kebangkitan pasukan Kenari yang sedang mengalami kemerosotan ketika itu.
   
Bagaimanapun di bawah bimbingannya, Kedah masih tidak dapat melonjak kedudukannya dan akhirnya terpaksa bersaing di Liga Perdana musim depan.

UMNO BERI LAJIM SURAT TUNJUK SEBAB

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin berhubung keputusan dan tindakannya bertentangan dengan kepentingan parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Katanya, wakil rakyat itu perlu menjawab surat tersebut yang menggariskan "mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno."
"Ini ekoran peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN selain hubungan akrab Datuk Seri Lajim dengan pakatan pembangkang yang seolah-olah persenda kepimpinan dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Datuk Seri Lajim Ukin, yang minggu lalu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan
, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, beliau masih kekal sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan ahli Umno, dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
"Bagi jawatan Timbalan Menteri, saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menentukkan kedudukan saya kerana itu budi bicara beliau.
"Bagi menentukan keahlian saya dalam Umno, saya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk mengambil tindakan... kalau mereka rasa saya menyalahi peraturan parti mereka boleh pecat saya," katanya.
Dalam kenyataan itu, Tengku Adnan berkata, "saya telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Datuk Seri Lajim Ukin berkaitan mengapa beliau tidak boleh dipecat daripada Umno memandangkan beliau telah mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Umno dan BN pada 28 Julai 2012."
"Datuk Seri Lajim perlu menjawb surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh 14 hari bagi dipertimbangkan untukuntuk tindakan seterusnya sebagaimana tertakluk dalam Perlembagaan Umno," katanya lagi.
Tengku Adnan berkata, Fasal 20.8 Perlembagaan Umno menetapkan bahawa semua ahlinya hendaklah cintakan parti serta patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika selain sentiasa memelihara nama baik dan maruah parti.
"Sehubungan itu, Umno memandang serius apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Lajim khususnya dalam pengisytiharan gerakan Pakatan Perubahan Sabah, selain hubungan akrab dengan pakatan pembangkang, yang seolah-olah mempersenda kepimpinan dalam Umno," katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata, apa yang berlaku adalah isu dalaman bersifat peribadi membabitkan Lajim dan "orang-orang tertentu dalam kancah politik negeri."
"Ia tidak sewajarnya dikaitkan dengan parti yang telah berjaga kepada negara dan rakyat keseluruhannya," kata beliau lagi.

Sunday 29 July 2012

NIK AZIZ: BERKATALAH BENAR DIBULAN RAMADHAN

SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Umno tidak wajar "berbohong" berhubung isu royalti petroleum, yang dituntut Kerajaan Negeri itu, lebih-lebih ketika bulan Ramadan sekarang.

Sambil menolak kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin semalam, Nik Abdul Aziz berkata, "berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan."

"Janganlah dididik lidah berbohong lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini," kata beliau dalam satu mesej dikeluarkan menerusi Facebook hari ini.

"Saya membaca kenyataan seorang pemimpin Umno di Kelantan dalam akhbar Sinar Harian hari ini bahawa royalti minyak telah dibayar kepada Kelantan dalam bentuk wang ihsan.

"Suka saya mengingatkan bahawa tuntutan terhadap royalti minyak ini bukan disuarakan oleh pemimpin kerajaan negeri dan rakyat Kelantan sahaja tetapi turut disuarakan oleh Sultan Kelantan dialam titah baginda sedikit masa dahulu.

"Apakah pemimpin berkenaan ingin menyatakan bahawa titah baginda silap dan tidak boleh dipercayai?" kata beliau yang menerajui kerajaan negeri sejak 1990.

Mursyidul Am Pas ini seterusnya berkata, mengapa Kerajaan Pusat membayar royalti kepada Sabah dan Sarawak sedangkan Kelantan disediakan wang ihsan.

"Saya ingin persoalkan kenapa negeri lain seperti Sabah dan Sarawak menerima royalti, bukan wang ehsan?

"Berkatalah sesuatu yang benar di bulan Ramadan. Janganlah dididik lidah berbohong lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini," katanya lagi.

Dalam laporan hari ini, Sinar Harian memetik Awang Adek berkata, tidak perlu melakukan konvoi atau demonstrasi tuntutan royalti minyak oleh mana-mana pihak memandangkan hak rakyat Kelantan itu, sudah diberikan kepada rakyat Kelantan secara terus dan bukan melalui Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ehsan Kelantan berkata, wang ihsan diberikan kepada mereka yang layak secara terus dan telus iaitu kaedah yang lebih baik berbanding diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Menurutnya, wang itu adalah milik rakyat Kelantan dan tidak perlu Kerajaan Negeri menimbulkan kekecohan untuk menuntut diserahkan kepada mereka.

"Kerajaan Persekutuan bukan hendak sangat pun duit RM24 juta setahun untuk rakyat Kelantan.

"Kita berikan terus kepada yang layak seperti untuk kecemerlangan pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan pelajar yang memasuki universiti serta bantuan bencana untuk rakyat Kelantan," katanya.

Konvoi tersebut diketuai oleh Nik Abdul Aziz bersama 150 kereta dan 50 motosikal berkuasa tinggi bermula dari Kota Bharu, melalui Ketereh, Machang dan Kuala Krai, dan berakhir di Gua Musang.

BANTAH KEWUJUDAN PUSAT JUDI

MUADZAM SHAH - Kira-kira 200 penduduk di sini termasuk dari Rompin dan Keratong mengadakan perhimpunan aman selepas solat Jumaat, kelmarin, untuk mendesak pihak berkuasa menutup empat premis judi siber di Bandar Industri Muadzam Shah.

Perhimpunan dianjurkan Pas, PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Al-Fateh dan Jiran Muda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teratai itu diadakan di pekarangan Masjid Muadzam Shah.

Laungan takbir ‘Allahuakbar’, ‘hidup-hidup Islam, hapus-hapus judi’ serta ucapan pemimpin politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit bergema lebih kurang 40 minit.

Penduduk yang turut kesal dengan kewujudan pusat judi haram di sini bukan saja melaungkan takbir beramai-ramai, malah turut menzahirkan kemarahan dengan menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai tanda bantahan.

Meskipun cuaca panas terik di samping bantahan diadakan pada bulan Ramadan, namun ia tidak menghalang semangat umat Islam untuk berarak sejauh kira-kira dua kilometer (km) menuju ke Pejabat Cawangan Majlis Daerah Rompin (MDR) Muadzam Shah bagi menyerahkan memorandum bantahan.

Memorandum itu diserahkan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Rompin, Mazlan Mohd Yasin kepada Pengurus Cawangan MDR Muadzam Shah Jamaluddin Wahid di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada jam 3.30 petang.

Sebaik saja memorandum itu diserahkan, semua pengikut perhimpunan tersebut didapati menaiki kenderaan masing-masing menuju Balai Polis Muadzam Shah untuk menyerahkan memorandum sama.

Mereka tiba pada jam 4 petang di mana memorandum setebal tiga muka surat itu diserahkan Penasihat Undang-Undang Pas Negeri Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly kepada Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Inspektor Ab Rahman Abdul Jalil.

Kira-kira jam 4.30 petang, mereka menuju pula ke Pejabat Agama Islam Muadzam Shah untuk menghantar memorandum supaya penguat kuasa agama terbabit dapat bersama-sama pihak berkuasa mencegah aktiviti judi membabitkan umat Islam.

Memorandum itu diserahkan sendiri Mohd Fadzli kepada Pegawai Agama Islam Muadzam Shah, Mohd Rizal Mohd Ali Napiah.

Perhimpunan dan penyerahan memorandum itu hanya berakhir kira-kira jam 5 petang dan mereka mula beransur pulang selepas melaungkan takbir sebanyak tiga kali di pekarangan Pejabat Agama Islam Muadzam Shah.

Pandang serius lima tuntutan

Mohd Fadzli berkata, pihaknya difahamkan, premis judi siber di kawasan terbabit beroperasi sejak awal tahun ini, namun kesal kerana kegiatan itu masih berterusan walaupun tindakan dibuat.

Menurutnya, perhimpunan itu juga bertujuan menzahirkan kebimbangan penduduk berikutan difahamkan sebanyak 98 peratus pengunjung pusat judi tersebut terdiri daripada masyarakat Islam.

Katanya, terdapat lima tuntutan terkandung dalam memorandum itu yang perlu dipandang serius pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan tersebut habis-habisan.

“Kita minta premis itu ditutup serta-merta, tidak meluluskan sebarang permohonan baru lesen perniagaan berunsur perjudian, menjalankan pemantauan lebih tegas serta tidak memilih bulu dalam mencegah jenayah judi.

“Selain itu, kita juga meminta pihak berkuasa turut melibatkan semua pihak termasuk parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana pertubuhan untuk memerangi kegiatan tersebut sekali gus membersihkan Rompin daripada sebarang kegiatan perjudian serta maksiat,” katanya.

Punca institusi keluarga runtuh

Mazlan berkata, isu terbabit seharusnya dipandang serius semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana ia ditegah dalam Islam.

“Jika kami tidak mengambil sebarang tindakan hari ini (kelmarin), percambahan pusat judi haram dikhuatiri berterusan sekali gus boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan,” katanya.

Menurutnya, bantahan dan penyerahan memorandum itu dibuat dengan harapan pihak berkuasa serta kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah itu demi kesejahteraan rakyat.

“Masyarakat kita akan berpecah-belah kerana judi. Kegiatan rompakan, perceraian dan penipuan akan berleluasa. Justeru pihak berkuasa serta kerajaan tidak harus memandang remeh mengenai perkara ini,” katanya.

Hanya tiga masih aktif

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, sebuah premis perjudian di kawasan terbabit sudah ditutup sejak lebih dua atau tiga minggu lalu dan kini hanya tiga pusat judi masih aktif.

Menurut sumber dalaman MDR, PBT itu sudah beberapa kali menjalankan tindakan penguatkuasaan dan memberi amaran kepada pusat judi terbabit supaya tidak meneruskan kegiatan tersebut.

Bagaimanapun, pemilik pusat judi terbabit masih ingkar dan tetap menjalankan perniagaan mereka dengan berselindung di bangunan baru di kawasan itu.

“Kami tidak pernah meluluskan lesen judi kepada mana-mana pemilik premis di Muadzam Shah termasuk Rompin. Mereka (pemilik premis perjudian) dipercayai menyewa bangunan untuk menjalankan kegiatan haram tersebut,” katanya.

Budak 11 Tahun Ke Rom Tanpa Pasport

LONDON - Pihak berkuasa di utara England sedang menyiasat insiden bagaimana seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun boleh melepasi kawalan keselamatan untuk terbang ke Rom tanpa memiliki pasport dan tiket penerbangan.

Lapangan Terbang Manchester turut menyifatkan insiden itu sebagai kesilapan yang amat serius sehingga terpaksa mengambil keputusan untuk menggantung beberapa kakitangan.

Difahamkan, budak tersebut melepasi pusat pemeriksaan tanpa melalui prosedur biasa sebelum mengambil penerbangan pada Selasa lalu.

Ummie Bidas Abby

BUKAN sekali kenyataan dikeluarkan dramatis yang baru berhijrah, Abby Abadi mendatangkan rasa kurang senang rakan artis lain.

Seperti dilaporkan sebuah portal, Abby mendakwa artis yang berhijrah sepertinya hanya akan mempunyai pekerjaan jika kerajaan sedia ada tidak lagi memerintah.

Abby yang baru menjadi ahli Pas seumur hidup berkata, ruang mereka untuk berkarya menjadi sempit dan hanya parti itu yang boleh membawa perubahan.

Bagaimanapun, kenyataan Abby mendapat reaksi pelakon popular, Datin Paduka Umie Aida yang menganggapnya cetek pemikiran.

Malah, Umie turut menasihatkan Abby agar tidak menggunakan politik untuk berdakwah.

Sebelum ini, Datuk AC Mical turut berkecil hati dengan Abby kerana dikatakan menghina pasukan polis.

HASRAT KAWIN RAYA KEDUA BERKECAI

KOTA BAHARU - Hasrat seorang gadis untuk melangsungkan perkahwinan bulan depan, tidak kesampaian apabila tunangnya maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Maktab Perguruan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Siti Mukaramah Lajim, 19, dari Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, dijadual melangsungkan perkahwinan dengan bakal pasangannya itu, Abdullah Zawawi bin Abdullah Fauzi, 25, pada hari raya kedua.

Kemalangan berlaku ketika mangsa, seorang kerani, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Pusat Boling Pasar Raya Billion di sini pada pukul 9.30 pagi.

Kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler yang datang dari arah bertentangan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya bagi urusan pengebumian.

Siti Mukaramah, yang membantu ibu bapanya menjual ikan di Pasar Gok Kapor, dekat sini berkata kali terakhir dia menemui tunangnya semalam di rumahnya bagi menyerahkan borang perkahwinan sebelum diproses.

Katanya semua persediaan untuk majlis perkahwinan itu telah siap diatur, malahan kad jemputan juga telah diedar.

"Apa boleh buat...Saya reda dengan pemergiannya kerana takdir telah menentukan segalanya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.     

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Mahussin Hassan berkata pemandu treler itu tidak cedera dan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Baharu.

Mahussin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai mengenai kemalangan itu pada pukul 9.43 pagi.

Saturday 28 July 2012

Mexico Singkir Trio Memanah

MASALAH gementar dan gugup terus menghantui trio pemanah negara apabila tersingkir dengan ketinggalan lima mata, 211-216 kepada Mexico dalam pusingan penyingkiran acara Recurve berpasukan lelaki di Sukan Olimpik 2012, London, semalam.
Pada pertandingan Padang Kriket Lord, segalanya seperti tidak menjadi kepada Cheng Chu Sian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin yang tampak terjejas dengan sorakan penonton.
Hanya pada pusingan akhir, pemanah Malaysia mula menunjukkan keyakinan dengan melakukan tiga panahan yang mendapat mata penuh 10.
Ketua pemanah negara Chu Sian mengakui mata yang diperolehi merupakan kutipan peribadi terburuknya sepanjang tahun ini.
"Segalanya tidak menjadi. Kami gugup bila penonton mula bersorak kuat. Konsentrasi hilang menyebabkan panahan kami tidak menepati sasaran," katanya kepada pemberita.
Sementara Khairul yang menyumbangkan mata terbanyak kepada trio Malaysia, biarpun kemudian hanya mampu meletakan negara di kedudukan ke-10 dalam acara penentuan ranking semalam, berkata mereka banyak melakukan kesilapan sendiri bila beraksi dalam suasana gementar.
"Semalam bila beraksi di sebelah pasukan Korea Selatan dalam acara penentuan ranking, kami agak gementar kerana terlalu menghormati kemampuan mereka.
"Hari ini, sorakan gemuruh penonton pula menyebabkan kami goyang," katanya.
Kekalahan kepada Mexico menyaksikan trio Malaysia terkeluar terus daripada acara itu namun peluang masih ada kepada mereka untuk membuktikan kemampuan melalui acara Recurve individu, bermula hari ini
Pemanah wanita tunggal negara ke Sukan Olimpik, Nurul Syafikah Hashim terlebih dahulu tersingkir awal pada lewat petang kelmarin selepas menduduki tangga ke-60 daripada 64 pemanah yang menyertai acara Recurve individu.

PAS ISTIHAR BULAN TARBIAH

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu mengisytiharkan bulan Ramadan sebagai ‘Bulan Tarbiyah’ sebagai usaha mengajak generasi muda meningkatkan ibadat sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Setiausahanya, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, pelancaran Bulan Tarbiyah peringkat negeri yang dibuat dua hari sebelum ketibaan Ramadan itu, bertujuan menggalakkan ahli parti mengisi ruang yang ada dengan amalan bermanfaat.

“Program ini khusus untuk golongan muda dan kita turut memberikan senarai pengisian amalan sebagai garis panduan untuk mereka melakukan amalan harian seperti solat berjemaah dan tadarus.

“Kita juga turut menggalakkan setiap Dun mengadakan majlis khatam al-Quran selain menganjurkan ceramah 'badar kubra' bersempena Nuzul al-Quran pada tarikh yang belum ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Antara majlis lain yang dianjurkan Pemuda Pas melibatkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim, sumbangan pakaian raya, agihan bubur lambuk, pengedaran risalah Ramadan dan isu semasa.

Sementara itu, pihaknya turut meminta umat Islam merancang masa dengan baik terutama urusan untuk sambutan hari raya bagi memastikan solat Tarawih tidak diabaikan.

Menurutnya, kesibukan orang ramai untuk menyambut Syawal turut mempengaruhi kekurangan jemaah di masjid dan surau pada penghujung Ramadan sebagaimana biasa berlaku pada tahun sebelumnya.

“Secara umumnya kekurangan jemaah selepas 15 Ramadan ini berlaku di hampir kebanyakan surau dan masjid disebabkan kesibukan mereka untuk menyambut Syawal.

“Tiba akhir Ramadan kebanyakan mereka sibuk mencari keperluan hari raya dan keadaan ini menjadi faktor kekurangan jemaah. Jadi, mereka perlu mencari ruang sebaiknya di awal Ramadan dan tidak menunggu saat akhir supaya tidak mengganggu ibadat terutama solat sunat Tarawih,” katanya.

10KALI DISERBU TATAP DEGIL

KOTA BHARU - Degil! Walaupun sudah 10 kali diserbu pihak berkuasa sebelum ini, pemilik sebuah premis yang menyediakan karaoke dan minuman keras di bandar ini, masih menjalankan operasi di premis terbabit sehinggalah diserbu kelmarin.

Dalam operasi jam 11.45 malam itu, semua peralatan karaoke, minuman keras serta kerusi dan meja dianggarkan bernilai RM100,000 dirampas, manakala seorang pekerja turut ditahan.

Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam(MPKB-BRI) dan Jabatan Imigresen Kelantan itu diketuai Pegawai Turus D7 IPK Kelantan, Asisten Superintenden Nik Rosdi Nik Yahya.

Nik Rosdi berkata, pemilik premis itu tidak menghiraukan undang-undang apabila kembali beroperasi walaupun sering diserbu.

“Pusat hiburan itu tiada lesen dan kita merampas semua peralatan karaoke dan seorang lelaki yang juga pekerja di premis berkenaan turut ditahan. Semasa serbuan dijalankan, 30 lelaki dan sembilan wanita bukan Islam yang berada di dalam premis itu ditahan dan tindakan diambil mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Negeri Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramly Che Hussein berkata, pihaknya merampas semua minuman keras, kerusi dan meja di premis berkenaan.

“MPKB-BRI mengambil tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pengawalan Establishment Makanan MPKB 1980 kerana menjalankan perniagaan minuman keras tanpa lesen.

“Premis ini sering diserbu, namun pemiliknya tetap menjalankan perniagaannya kerana memperolehi keuntungan besar,” katanya.

TAK MALU PONTENG PUASA

KULIM - Sebelum ini ada dalam kalangan kaki ponteng puasa menjadikan ladang kelapa sawit sebagai port untuk makan dan minum bagi diketahui orang ramai.

Namun selepas lapan hari menunaikan Rukun Islam ke tiga ini, mereka semakin tidak malu dan berani makan secara terbuka di kedai makan yang dimiliki bukan Islam.

Tinjauan Portal Online mendapati sifat malu jelas tiada dengan rasa tidak bersalah apabila merokok secara terbuka.

Seorang pemandu lori pasir yang mahu dikenali sebagai Abdul, 38, mengaku tidak berpuasa dengan alasan penat kerana terpaksa bekerja di tempat yang panas dan menggunakan tenaga yang banyak.

“Dulu memang kita makan dalam ladang kelapa sawit kerana takut ditangkap, sekarang tak payah dah.

“Kita makan dan minum di kedai kopi sahaja. Penguat kuasa yang ada pada jabatan terlibat pun bukannya ramai sangat. Pemilik kedai akan memaklumkan kepada kami sekiranya mereka datang. Taktik yang mereka gunakan sama.

“Mereka akan serbu pintu hadapan dan pintu belakang. Dalam satu kumpulan mungkin dua tiga orang sahaja yang mempunyai kad kuasa manakala yang lain hanya pekerja pejabat dan pemandu. Pada saya mereka pun faham kerja macam kami ini memenatkan dan harus makan,” katanya.

Selain itu, ketika umat Islam sibuk merebut pahala berganda ketika ini, masih ada segelintir mereka yang mencemar kesucian Ramadan dengan membeli nombor ekor.

Kaki ekor beragama Islam masih bebas membeli nombor ramalan di premis yang menjalankan perniagaan itu di sekitar pekan Kulim. Ini adalah kerana penguatkuasaan dijalankan tidak menyeluruh. 

Pemilik premis nombor ramalan berkata, nombor ramalan akan dijual seperti biasa termasuk kepada pelanggan beragama Islam.

“Kita tidak paksa mereka membeli nombor di kedai kita. Sekiranya mereka nak beli, kita akan jual.

“Sekiranya jabatan terlibat nak ambil tindakan, ambil tindakan pada mereka yang beragama Islam. Tetapi sehingga kini premis menjual nombor ramalan belum pernah lagi diserbu,” katanya.

LAJIM KECEWA NAJIB TIDAK LAYAN KATA DUANYA

Anggota Majlis Tertinggi Umno lajim Ukin mengumumkan  petang ini peletakan semua jawatannya dalam Umno dan terserah kepada Umno untuk memutuskan keangotaannya dalam parti dan kedudukannya sebagai timbalan menteri.

Sejauh manakah Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membiarkan dirinya diugut oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dengan ancaman akan keluar Umno dan menyertai Pakatan Pembangkang.

Beliau telah mementaskan berbagai lakonan politik yang sehingga ini tidak menarik perhatian atau tidak mendapat  reaksi dari Datuk Seri  Najib. Sikap Najib ini menampakkan kepada umum beliau sedang mencari penyelesaian kepada krisis dalam BN Sabah menjelang pilihan raya.

Berita terakhir mengatakan Lajim dan wakil Parlimen BN Tuaran Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing akan menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melancarkan Barisan Refomasi Sabah. Sebelumnya beliau juga telah menemui Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz.

Apakah yang dikehendaki atau kata dua yang diberikan oleh Lajim kepada Najib sehingga beliau sanggup menimbulkan suatu keadaan yang menggugat BN Sabah dan tentunya juga demoralised BN dalam saat memerlukan perpaduan yang utoh menghadapi pilihan raya.

Khabarnya Lajim mahu mempastikan Najib menyingkirkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman dari Sabah, mempastikan beliau tidak lagi akan dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah.

Dan, jika ini diterima oleh Najib, maka tentunya Lajim juga kan menghadapi cabaran dari Datuk Seri Mohd Shafei Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang kabarnya, juga berminat sangat mahu menjadi Ketua Menteri Sabah.

Dan, lebih dari itu jika Najib tunduk kepada sebarang tuntutan Lajim yang bersifat mengugut maka tentunya akan menampakkan kelemahan kepimpinan beliau.

Terakhir Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah pun menggesa Lajim supaya menyatakan pendirian yang tegas berhubung dakwaannya mahu meninggalkan Umno. Dalam kata-kata lain - Lajim tamatkan drama!

KARPAL TATAP TENTANG HUDUD

AIR ITAM - DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini walaupun mengakui Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata kenyataan itu adalah jelas dan tidak pernah berubah kerana perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali.

“Apa yang saya cakap ini adalah pendirian DAP, bukan pandangan peribadi saya. Sebagai Pengerusi DAP, saya bertindak sebagai jurucakap parti dan apa yang dikatakan oleh saya adalah kenyataan rasmi parti,” katanya kepada media semalam.

Menurutnya, beliau tidak menghiraukan pendapat Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai  pelaksanaan hudud ketika bertemu dengan pemimpin Pas sebelum ini.

“DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum itu di negara ini.

“Saya tidak kisah apa yang Kit Siang dan Guan Eng cakap mengenai hukum hudud sewaktu bertemu pemimpin Pas,. Tetapi bagi saya ia tetap tidak boleh dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut memberi amaran kepada MCA agar tidak berterusan memainkan isu hukum hudud di negara ini kerana menyifatkannya sebagai membuang masa dan tidak akan dilaksanakan.

“Hentikanlah apa yang dikatakan. Perkara ini (pelaksanaan hudud) tidak akan di laksanakan di negara ini.

“Agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan namun perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali," katanya ketika mengulas kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng Kok yang mendakwa Karpal sebagai orang menurut perintah ( yes man) kepada Pas.

Seng Kok turut menggesa Guan Eng dan Kit Siang supaya meletak jawatan kerana gagal menghalang matlamat Pas dari meneruskan cita-cita itu.

SURYANI GAGAL KE FINAL 10m AIR RIFLE

ATLET Menembak Negara, Nur Suryani Mohamad Taibi, yang mengandung 33 minggu, kekal positif meskipun gagal melangkah ke pertandingan akhir acara 10m Air Rifle sukan Olimpik 2012 di London.
Suryani menduduki tangga ke-34 daripada 56 pesaing.
Dipetik BBC, atlet berusia 29 tahun ini, yang dijadual akan melahirkan anaknya pada 13 September berkata, beliau merasai empat tendangan ketika berhadapan dengan saingan tetapi tidak berputus asa.
"Bila dia (bayi dalam kandungan) tendang, saya menarik nafas keluar dan masuk, dan kemudian meneruskan (persaingan)," katanya.
Apabila ditanya apa yang diperkatakan kepada anaknya, yang akan dinamakan Dayana Widyan, Suryani berkata: "Baik, baik. Bertenang. Jangan bergerak banyak sangat. Dia selalu mendengar apa saya kata. Bertuah."
Suryani, yang menang pingat emas dalam Sukan Komanwel 2010, telah diberikan kebenaran khas untuk ke London dan akan kembali ke tanah air pada 31 Julai ini.
Bagaimanapun beliau menyifatkan mengambil bahagian di Royal Artillery Barracks sebagai satu impian yang menjadi kenyataan dan akan meneruskan aktiviti menembak selepas bersalin.
"Saya akan meneruskan sebab ini sudah menjadi kehidupan saya," katanya lagi.
"Apa yang dengar, seseorang ibu selepas bersalin akan menerima darah baru, jadi saya (percaya) boleh membuat persembahan lebih baik. Saya percaya begitu. Itu kelebihan menjadi seorang wanita," katanya lagi.
Suryani juga berharap anaknya akan mengikut jejak langkahnya berkecimpung dalam sukan kelak.

MANCITY TIDAK TERGUGAT DGN CABARAN SKUAD RAJAGOPAL

KETUA jurulatih negara Datuk K.Rajagobal yakin anak buahnya mampu memberi saingan sengit bertemu kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City FC pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Isnin ini.

Beliau berkata walaupun misi menumbangkan juara EPL itu dianggap mustahil, skuad Harimau Malaya mampu memberi saingan berdasarkan persembahan baik mereka ketika menentang sebuah lagi kelab EPL, Arsenal pada Selasa lepas.

Katanya, penguasaan yang ditunjukkan pemain negara terutama di awal permainan ketika menentang Arsenal walaupun tewas 1-2, membuktikan Harimau Malaya bukan pasukan belasahan dan mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan bertaraf profesional.

"Saya tidak boleh meletakkan harapan luar biasa kepada pasukan Harimau Malaya kerana bukan satu perkara mudah beraksi menentang Manchester City yang merupakan juara EPL musim ini.

"Namun, saya yakin kita mampu mempamerkan aksi menarik dan memberi tentangan yang pastinya tidak akan mengecewakan penyokong setia Harimau Malaya," katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.

Sidang media itu turut disertai jurulatih dan pengurus Manchester City FC Roberto Mancini, kapten Manchester City Vincent Kompany serta Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurus pasukan Malaysia Datuk Subahan Kamal.

Ini adalah kunjungan pertama Manchester City ke Malaysia, yang kini dalam siri Jelajah Asia.

Rajagobal berharap semua pemain negara dapat mengekalkan corak persembahan seperti sebelum ini dan berusaha menjaringkan gol walaupun berdepan cabaran sukar.

Beliau berkata pemain Manchester City berbeza kerana mereka mempunyai kekuatan fizikal, kecerdasan, kelajuan serta momentum yang lebih tinggi berbanding Arsenal.

"Saya harap pemain kita dapat pelajari sesuatu daripada kelebihan pasukan Manchester City bagi memperbaiki kelemahan yang ada sebagai persiapan mempertahankan Piala AFF Suzuki pada November ini," katanya.

Rajagobal berkata, pemain skuad negara semakin matang apabila mereka lebih bermotivasi apabila beraksi dengan pasukan daripada EPL.

"Kita harap motivasi seperti ini terus kekal agar mereka tidak gentar apabila berdepan pasukan lain di peringkat Asia," katanya.

Beliau juga sentiasa mengingatkan pemain supaya tidak terlalu takut apabila bermain pasukan hebat sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk lebih   menyerlah.

Sementara itu, Mancini berkata Manchester City akan beraksi seperti biasa apabila menentang pasukan Malaysia.

"Kami teruja dalam siri Jelajah Asia kami terutamanya di Malaysia. Saya gembira apabila mengetahui sejak beberapa tahun kebelakangan ini, bola sepak telah menunjukkan peningkatan di negara ini.

"Saya berharap perlawanan yang hebat untuk disajikan kepada peminat di sini pada Isnin ini," katanya.

Di Beijing, Machester City menewaskan Arsenal 2-0.

Gesa Jelas Pampasan

SUNGAI SIPUT - Penduduk Kampung Batu 1, Perak Hidro, di sini menggesa pemaju perumahan di kawasan itu menjelaskan bayaran pampasan yang pernah dijanjikan kepada mereka sebelum memulakan kerja meratakan tanah yang bakal dimajukan tidak lama lagi.

Penduduk, K Mogondan, 62 mendakwa pemaju berkenaan pernah meminta kami membayar cukai pintu dan sebagainya serta memaklumkan pampasan akan diberikan kemudiannya sebagai ganti.

Seorang lagi penduduk, P Mageswari, 56 mendakwa pemaju tidak pernah menjelaskan sebarang pampasan seperti dijanjikan, walaupun penduduk telah menjelaskan bayaran yang diperlukan termasuk bil air dan elektrik sebelum berpindah.

"Saya kecewa kerana belum menerima wang pampasan yang dijanjikan. Pemaju juga telah menceroboh ke dalam rumah saya dan membawa masuk peralatan milik mereka," katanya.

Sementara itu, Koordinator Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kawasan Sungai Siput, R Karthiges memaklumkan penduduk telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan berharap pemaju dapat membayar pampasan yang dijanjikan segera.

Portal Online cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak pemaju berhubung dakwaan berkenaan, namun gagal.

PENJARA 20 TAHUN:ROGOL DAN LIWAT ANAK SENDIRI

MUAR - Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 kali sebatan ke atas seorang lelaki kerana merogol dan meliwat anaknya yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU), 20 Julai lalu.

Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 53 tahun mengaku bersalah melakukan sumbang mahram terhadap mangsa berusia 24 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, dia dituduh merogol mangsa di rumahnya kira-kira jam 9 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, pada hari, masa dan tempat yang sama, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks di luar tabie dan didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, merayu agar tidak dikenakan hukuman sebat dan minta dijamin.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Zairani Tugiran, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh kerana merogol anak kandung sendiri.

Zairani berkata, hukuman berat akan beri pengajaran kepada orang awam agar kejadian itu tidak berulang lagi.

Sementara itu, Mohd Fauzi memerintahkan hukuman terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh didakwa membawa mangsa ke sebuah bilik.

Tertuduh kemudian didakwa merogol dan meliwat mangsa. Mangsa memaklumkan kejadian kepada ibunya sebelum  membuat laporan polis pada jam 9 malam, dan tertuduh ditangkap pukul 10.10 malam hari yang sama.

BAYI MAUT TERCAMPAK KELUAR KERETA

SEREMBAN - Seorang bayi berusia enam bulan maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 232.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam semalam, Faris Iqbal Abdullah mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Melaka.

Bapa mangsa, Faiq Irfan Abdullah, 38, pula patah bahu kiri manakala ibunya Faniseh Mohamad, 35, yang turut berada di dalam kenderaan itu patah bahu kanan dan bengkak di muka dan kedua-dua mereka menerima rawatan di hospital sama.

Jurucakap polis berkata siasatan awal mendapati kereta proton Iswara Aeroback yang dipandu bapa mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi menyebabkan kereta dinaiki mangsa hilang kawalan.

"Akibat geselan itu, kereta yang dinaiki tiga beranak itu terbabas ke kiri jalan dan merempuh tembok batu penghadang jalan menyebabkan mangsa tercampak keluar.

"Pemandu bersama isteri dan bayi lelaki cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, bayi itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi tadi," katanya.

Katanya pemandu kereta Perodua Myvi terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut berhubung punca sebenar kejadian masih dijalankan.

BOTAKKAN KEPALA JIKA DBKL LULUSKAN PERMIT BAZAR

KUALA LUMPUR - “Saya sendiri bernazar, jika dapat lesen, saya akan botakkan kepala, dan Alhamdulillah ahli jawatankuasa lain juga ikut sama.”

Demikian kata Pengerusi Persatuan Usahawan Niaga Taman Setiawangsa, Abdul Halid Mat Karim yang bertindak membotakkan kepala setelah permohonan mendapatkan permit bazar anjuran persatuannya diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kelulusan diperolehi hasil perbincangan bersama DBKL yang juga turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Menurutnya, kelulusan  sekali gus berita gembira kepada lebih 100 peniaga di situ.

“Terima  kasih DBKL, Datuk Bandar, Raja Nong Chik, Pertubuhan  Ikatan  Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan khusus kepada Pemilik Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunos.

“Tahun hadapan, penganjur akan mohon awal  dan berbincang bersama Datuk Jamal berhubung kaedah terbaik memastikan bazar di Taman Setiawangsa ini dapat terus beroperasi,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan lima anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ditempatkan sekitar  tapak bazar mengawal lalu lintas dan parkir.

Sementara itu, Raja Nong Chik  berkata, pihaknya bersetuju meluluskan bazar  seperti dicadangkan DBKL.

“Setelah mendapat maklum balas DBKL serta wakil penjaja dan tidak mengganggu pengguna jalan, DBKL cadang diluluskan dan saya bersetuju,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sinar Harian  sebelum ini menyiarkan kemelut melanda penganjuran bazar itu sejak awal Ramadan berikutan mendapat bantahan wakil penduduk.

Beberapa siri kekecohan berlaku apabila peniaga tetap berkeras meneruskan operasi walaupun terpaksa berpindah ke beberapa lokasi sebelum ditawarkan beroperasi di Laman Pengantin milik Jamal pada Selasa lalu.

LOKASI PR1MA DIKENAL PASTI

KARAK – Beberapa lokasi dikenal pasti untuk melaksanakan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sabai, Datuk M Davendran berkata, antara lokasi dicadangkan ialah Sri Telemong, Karak Setia dan Kampung Lengkong.

Menurutnya, setakat ini lokasi dikenal pasti itu didapati sesuai untuk membangunkan PRIMA berikutan keluasan tanahnya.

“Sekiranya projek tersebut berjaya dilaksanakan, tindakan itu secara tidak langsung dapat menangani masalah penempatan dihadapi penduduk di sini.

“Isu penempatan terutama untuk generasi kedua sentiasa dibangkitkan dan menjadi antara isu penting perlu diselesaikan,” katanya.

Davendran berkata, tambahan pula pembangunan pesat di sini menyebabkan keperluan penempatan turut meningkat.

Menurutnya, projek perumahan itu dijangka menyediakan rumah mampu milik terutama untuk penduduk setempat.
“Projek ini merupakan antara usaha untuk membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri tanpa perlu menyewa lagi.

“Setiap perancangan ini diharap dapat dilaksanakan dan direalisasikan dengan baik demi memenuhi permintaan penduduk di sini selama ini,” katanya.

Davendran berkata, pihaknya yakin hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dapat menjayakan pembangunan PRIMA di kawasan ini.