KUALA LUMPUR - "Jangan silap pilih kerajaan kerana ia perlu ambil masa lima tahun untuk dibetulkan dan rosakknya itu sukar untuk dibaiki.”
Itu reaksi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan ekoran tindakan lebih 100 pekerja dan kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) berdemonstrasi di hadapan pintu masuk Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya berikutan dakwaan kegagalan kerajaan negeri membayar hutang berjumlah hampir RM15 juta kepada majikan mereka membuatkan bayaran gaji mereka masih tertunggak.
Menurutnya, ia juga menjadi bukti satu lagi siri kegagalan Kerajaan Negeri Selangor mentadbir negeri itu.
"Satu persatu kegagalan kerajaan pembangkang ini didedahkan. Bukan didedahkan oleh Umno tetapi oleh mereka yang sudah tidak tahan lagi tentang segala perkara-perkara yang tidak patut berlaku.
“Banyak siri kegagalan kerajaan Negeri Selangor, dan ini adalah siri terbaru bukti kerajaan negeri Selangor gagal mentadbir Unisel itu sendiri," katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Amal Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (KeMUDA), dan Kempen Derma RM1 sempena Majlis Berbuka Puasa Amal KeMUDA bersama Anak-anak HIV, fakir miskin dan ibu tunggal di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendedahan kebenaran seumpama itu perlu diteruskan supaya rakyat tahu dan tidak silap memilih kerajaan.
"Apabila silap memilih kerajaan, kesannya cukup besar, anak-anak tidak dapat belajar salah satu kesannya.
"Pelabur tidak masuk dalam negeri Selangor kerana masalah air kerana tidak pasti apa akan berlaku tentang isu air. Suasana tidak menentu dan bagaimana mentadbir kewangan yang tidak betul," katanya.
Hari ini, pekerja-pekerja JNSB yang terdiri daripada kontraktor pembersihan, keselamatan, penyelenggaraan serta landskap berdemonstrasi kerana mendakwa tidak menerima gaji sejak Mac lalu.
Mereka berkumpul seawal jam 2 petang dan beramai-ramai berarak untuk masuk ke dalam Unisel bagi meluahkan perasaan tidak puas hati dan menuntut gaji mereka.
No comments:
Post a Comment