TANJUNG PIAI - Kehadiran penyanyi rock terkenal, Amy Search, di Parit Rambai Ulu, dekat sini sempena program Ziarah Ramadan anjuran Umno, menceriakan lagi suasana kunjungan ke rumah-rumah penerima sumbangan.
Kehadiran Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman bersama isterinya Norish Hassan telah menjadi tumpuan penduduk yang sama-sama mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya.
Menurut Ketua Umno Cawangan Parit Rambai Ulu, Israk Abdullah, pihaknya gembira dengan kesediaan Amy untuk turut sama menjayakan program tersebut yang telah memasuki tahun keempat itu.
Israk berkata, yang paling menarik, peserta rombongan telah menaiki motosikal untuk menyampaikan sumbangan termasuk Amy dengan diiringi sembilan buah motosikal scrambler dari Kelab PD Box Pontian.
“Kehadiran orang ramai termasuk golongan belia yang sama-sama menjayakan program ini telah menjadikan program pada kali ini amat bermakna kepada penduduk Kampung Parit Rambai Ulu,” katanya.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md Othman Yusof; Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang dan Naib Ketua Puteri Umno Bahagian, Rahimah Abdullah.
Sebanyak 14 buah rumah golongan yang kurang bernasib baik telah dikunjungi dan sumbangan barangan keperluan diberikan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Piai, Mesnor Bujang berkata, program bersama Umno ini adalah yang pertama disertai Amy sejak menjadi ahli Umno pada Mei lalu.
Beliau melahirkan rasa gembira kerana program ini telah berjaya menarik penyertaan ramai golongan muda dan lebih bermakna lagi Amy memilih untuk sama-sama turut serta dalam program tersebut.
Katanya, pihaknya sentiasa berusaha menarik minat golongan muda dalam setiap aktiviti yang dijalankan bagi mencari golongan pelapis untuk masa hadapan.
Majlis berakhir dengan majlis berbuka bersama-sama dan solat Tarawih berjemaah di Surau Kampung Prot Rambai Ulu.
No comments:
Post a Comment