Blog Archive

Monday, 13 August 2012

KFC PIZZA DIAGIH PERCUMA

PASIR GUDANG - Lebih 20,000 anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di seluruh negara berpeluang menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut percuma.

Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, program melibatkan penghantaran makanan amal ke seluruh negara itu turut meliputi penghantaran ke kawasan terpencil, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, rangkaian makanan segera itu mengagihkan hidangan KFC kepada lebih 12,800 yang menghuni lebih 140 rumah kebajikan seluruh negara.

“Pizza Hut pula menghantar pizza untuk dinikmati oleh lebih 7,500 orang yang menghuni lebih 90 rumah kebajikan.

“Program ini dilaksanakan dua hari bermula 9 Ogos lalu,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Johor Corporation dan Pelancaran Projek Penyayang Ke-56 dan Penghantaran Amal Pizza,  Jumaat lalu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar  berkenan menyempurnakan majlis pelancaran berkenaan.

Turut mengiringi baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Kamaruzzaman berkata, KFC telah mengagihkan hidangan percuma kepada rumah anak yatim dan kebajikan empat kali setahun.

Menurutnya, Pizza Hut pula melalui program penghantaran amal seluruh negara akan menghantar pizza pada waktu perayaan, termasuk Ramadan.

“Kejayaan yang dikecapi restoran KFC dan Pizza Hut adalah disebabkan sokongan kuat yang diberikan pelanggan setianya dan sebahagian keuntungan diberikan kepada masyarakat.

“Syarikat makanan segera ini turut mempunyai tabung penyayang yang merupakan dana kanak-kanak yang disumbangkan melalui peratusan pendapatan yang diperoleh daripada jualan KFC Chicky Meals untuk disalurkan kepada anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment