Blog Archive

Friday, 10 August 2012

100 PEKERJA JANA NIAGA TUNTUT UNISEL BAYAR GAJI

KUALA SELANGOR - Lebih 100 pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan kediaman penuntut di Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya di sini, mengadakan demonstrasi menuntut gaji mereka dibayar oleh universiti milik kerajaan negeri ini.

Wakil kumpulan pekerja itu, Eksekutif Kanan JNSB Norrashikin Mat Juperi berkata kesemua pekerja terbabit tidak dibayar gaji sejak Mac lepas setelah Unisel berhutang kira-kira RM15 juta dengan syarikat itu.

"Kami berkumpul hari ini meminta Unisel dan kerajaan Selangor bertanggungjawab membayar gaji kami yang tertunggak.

"Jangan anak tirikan kami. Kami juga seperti petugas Unisel dan penduduk kampung di sini. Jangan aniaya kami lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, kumpulan berkenaan yang berkumpul selama sejam di hadapan pintu masuk utama Unisel, dihalang memasuki universiti berkenaan.

Hasrat kumpulan itu untuk menyerahkan memorandum dan berbincang dengan wakil Unisel juga tidak dilayan.

Kumpulan berkenaan mendesak kerajaan Selangor memandang serius perkara itu dan membela nasib mereka seperti mana kesanggupan kerajaan pembangkang itu membiayai kos guaman pemimpin mereka dalam kes mahkamah.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) Datuk Sohaimi Shahadan yang turut memberi sokongan kepada kumpulan itu, meminta supaya kerajaan Selangor menyelesaikan masalah yang dihadapi golongan pekerja terbabit.

Akhbar melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan syarikat JNSB.

Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaraan di kampus induk dan operasi asrama universiti milik kerajaan negeri itu.

No comments:

Post a Comment