RAWANG – Niat murni untuk mengimarahkan surau Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun, Kg Kenanga yang siap dibina Mei 2012 tidak kesampaian apabila permohonan untuk menunaikan solat Tarawih di sini ditarik semula oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru sekolah berkenaan, Abd Rahman Zahari berkata, pihaknya membuat permohonan untuk mengadakan solat Tarawih kepada ibu bapa dan pelajar sekolah berkenaan pada Jun serta diluluskan awal 11 Julai lalu.
Bagaimanapun menurutnya, dua hari kemudian pihaknya menerima pembatalan kelulusan daripada Jais kerana memaklumkan masjid mempunyai ruang untuk bertarawih malahan jarak antara masjid dan surau adalah terlalu dekat.
“Penarikan kelulusan itu amat memeranjatkan kerana tujuan utama pihak PIBG memohon untuk mengadakan solat bertarawih supaya surau itu tidak suram sempena Ramadan dan dapat digunakan oleh semua kerana baru dibina.
“Malahan mengikut latar belakang pembinaan surau ini, pembinaan surau ini adalah melalui sumbangan penduduk setempat dan juga ibu bapa murid-murid sini serta permintaan solat Tarawih ini adalah permintaan daripada mereka,” katanya.
Abd Rahman berkata, walaupun jarak masjid adalah terlalu hampir dengan surau namun penggunaannya adalah dikongsi kariah untuk 40 kampung yang dianggarkan mencecah 5,000 pastinya akan memberikan kesesakan dan keadaan kurang selesa para jemaah.
“Sekiranya surau itu dibuka untuk solat Tarawih bukan hanya dapat manfaat bersama malahan penduduk juga mempunyai pilihan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan di ruang masjid itu,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menghormati keputusan Jais namun masih berharap agar surau itu dapat dilakukan majlis keagamaan yang lebih kerap dan berharap solat Tarawih dapat dibuka untuk tahun akan datang.
“Usaha tetap diteruskan agar hasrat penduduk setempat dapat direalisasikan melalui rayuan kepada pihak Jais dan turut menghantar surat kepada pengarah jabatan itu untuk perhatian.
“Selain itu, perkara itu turut dibawa kepada pemerhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi kerana berpendapat pembatalan itu merugikan umat Islam kerana niat disalah erti pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
No comments:
Post a Comment