Blog Archive

Tuesday, 7 August 2012

MANA PERGI TAMBAHAN INSENTIF

PARIT BUNTAR - Padi beras Nasional Berhad (Bernas) digesa memberikan penjelasan mengenai ke mana perginya peruntukan pemberian tambahan insentif jualan padi kepada petani yang menjualkan hasil padi kepada syarikat itu sejak tiga musim menuai lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehingga musim menuai padi kedua pada 2011, pihaknya menerima aduan golongan pesawah di Parlimen ini yang mendakwa Bernas gagal mengotakan janji untuk membayar tambahan insentif jualan padi sebanyak RM20 bagi setiap satu tan metrik.

Menurutnya, pihaknya difahamkan lebih 1,000 pesawah di daerah ini terlibat dengan penjualan hasil padi kepada Bernas dan jumlah tunggakan pembayaran tambahan insentif jualan padi ditanggung syarikat itu dikatakan melebihi RM200,000 secara keseluruhan.

“Sebenarnya perkara ini pernah dibahaskan di peringkat Parlimen baru-baru ini dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani mengesahkan sememangnya wujud pemberian peruntukan tambahan insentif jualan padi oleh Bernas kepada mana-mana petani yang menjualkan hasil padi kepada mereka.

“Justeru, saya meminta penjelasan daripada Bernas dan Jabatan Pertanian daerah mengenai aduan ditimbulkan golongan pesawah padi memandangkan perkara ini melibatkan periuk nasi mereka selain membabitkan janji Kerajaan Pusat terhadap rakyat,” katanya sewaktu ditemui Portal Online di pejabatnya semalam.

Dr Mujahid berkata, walaupun aduan itu ditimbulkan petani di Parlimen Parit Buntar dan daerah Kerian, pihaknya percaya masalah itu berkemungkinan dialami oleh golongan pesawah padi di seluruh negeri Perak, mahupun seluruh negara.

Menurutnya, pihaknya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar sudah menghantar surat rasmi kepada pengurusan Bernas Simpang Lima, di sini melalui mesin faksimile untuk mendapatkan penjelasan terperinci mengenai permasalahan tersebut.

“Bagaimanapun, sehingga kini, pihak kami belum menerima maklum balas sewajarnya daripada pihak berkenaan.
“Saya berharap Bernas dapat memberikan kerjasama dalam menjelaskan kepada golongan petani kerana mereka masih menanti hasil peruntukan tambahan insentif penjualan hasil padi kepada syarikat itu, terutama menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

No comments:

Post a Comment