BAGAIKAN 'telur dihujung tanduk'. Itulah gambaran kepada nasib jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan apabila mesyuarat untuk membincangkan masa depannya hari ini, masih belum mencapai kata putus sama ada di gugurkan atau kekal dalam skuad Kenari, musim depan.
Jelas Wan Jamak, tiada sebarang kata putus mengenai kedudukannya sebagai jurulatih memandangkan terdapat beberapa pemimpin yang tidak menghadiri mesyuarat berkenaan menyebabkan tiada keputusan dapat dibuat.
"Mesyuarat hari ini hanya membincangkan mengenai masa depan dan pencapaian dilakukan oleh saya sebagai jurulatih. Tapi keputusan sama ada saya digugurkan ataupun tidak masih belum mencapai kata putus.
"Apa-apa pun, saya sudah bersedia menghadapi sebarang keputusan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dengan reda walaupun mengakui saya sedikit terkilan apabila terpaksa meninggalkan pasukan ini yang masih banyak tugas belum selesai," kata Wan Jamak ketika dihubungi Sinar Harian Online, petang ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan pihak KFA akan mengubah kembali hasrat untuk menggugurkan beliau , Wan Jamak berkata, harapan itu agak tipis kerana pihak pengurusan sendiri telah memutuskan untuk mengambil khidmat jurulatih luar negara.
"Apabila berita ini sudah terkeluar di surat khabar, maknanya pihak pengurusan betul-betul serius untuk menggugurkan saya. Dan ini bukannya khabar angin.
"Namun, sekiranya keputusan itu diubah, pastinya saya akan bekerja dengan keadaan tidak seronok," katanya.
Semalam, Pengurus Pasukan Kedah, Datuk Khazali Din berkata, pihaknya sedang berbincang untuk mendapatkan khidmat jurulatih dari Crotia bagi menggantikan Wan Jamak bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti.
Dan kini, segala urusan masih di peringkat perbincangan dengan jurulatih tersebut.
Hasrat ini berikutan kegagalan Wan Jamak untuk mengembalikan kebangkitan Kedah, sebaliknya prestasi mereka terus jatuh merundum ke saingan Liga Perdana musim depan.
No comments:
Post a Comment