Blog Archive

Tuesday, 31 July 2012

BONUS BUKAN BAHAN POLITIK :PAS

Pas tidak akan menjadikan isu pemberian bonus raya kepada kakitangan awam sebagai bahan politik.

Bendahari Pas Terengganu, M Shukrimun Shamsudin berkata, walaupun pemberian tersebut terlalu dekat dengan tarikh pilihan raya umum yang bakal berlangsung bila-bila masa, beliau dalam nada positif memberitahu pemberian itu sudah menjadi tradisi Kerajaan Pusat setiap kali menjelang sambutan hari raya.

Beliau turut menggambarkan Kerajaan Pusat akan melakukan perkara sama sekalipun tarikh pilihan raya masih jauh.

“Bagi saya bonus raya tiada kaitan dengan politik. Kalau pilihan raya jauh lagi pun, kerajaan akan beri kerana ia bukan benda baru dan bukan satu benda yang perlu dipolitikkan. Kalau kita jadikan isu politik, tidak cerdiklah.

“Kalau kita perintah pun, kita akan beri (bonus raya) juga,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikianketika mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Razak , kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam .

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

M Shukrimun menjelaskan, isu bonus raya itu perlu diserahkan kepada pihak berwajib dan berdasarkan kemampuan yang ada.

“Amalan memberi duit raya ini pun turut dilakukan seseorang individu kepada individu lain pada musim perayaan, apatah lagi sebagai sebuah kerajaan,” katanya.

Menyentuh perkara sama, beliau yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus berkata, isu politik mungkin akan dibangkitkan sekiranya kerajaan tidak bersedia memberi bonus kepada golongan tersebut sebagaimana yang biasa dilakukan setiap tahun.

Jelasnya, jika tiada pemberian, ia sudah tentu menjadi persoalan yang besar kepada rakyat kerana kerajaan sebelum ini dilihat mampu mengagihkan wang dalam program baru seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilihat jelas sebagai umpan politik.

“Oleh kerana pemberian ini dibuat setiap tahun, maka ia bukan isu politik dan rakyat juga tertunggu-tunggu pemberian bonus ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment