KARAK – Beberapa lokasi dikenal pasti untuk melaksanakan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sabai, Datuk M Davendran berkata, antara lokasi dicadangkan ialah Sri Telemong, Karak Setia dan Kampung Lengkong.
Menurutnya, setakat ini lokasi dikenal pasti itu didapati sesuai untuk membangunkan PRIMA berikutan keluasan tanahnya.
“Sekiranya projek tersebut berjaya dilaksanakan, tindakan itu secara tidak langsung dapat menangani masalah penempatan dihadapi penduduk di sini.
“Isu penempatan terutama untuk generasi kedua sentiasa dibangkitkan dan menjadi antara isu penting perlu diselesaikan,” katanya.
Davendran berkata, tambahan pula pembangunan pesat di sini menyebabkan keperluan penempatan turut meningkat.
Menurutnya, projek perumahan itu dijangka menyediakan rumah mampu milik terutama untuk penduduk setempat.
“Projek ini merupakan antara usaha untuk membantu penduduk terutama golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri tanpa perlu menyewa lagi.
“Setiap perancangan ini diharap dapat dilaksanakan dan direalisasikan dengan baik demi memenuhi permintaan penduduk di sini selama ini,” katanya.
Davendran berkata, pihaknya yakin hasil kerjasama dan komitmen semua pihak dapat menjayakan pembangunan PRIMA di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment