Blog Archive

Sunday, 5 August 2012

PERKESO Beri Sumbangan

ALOR SETAR- Azni Rokhail Shamsudin merupakan harapan keluarga untuk mencari rezeki, namun kini dia sudah hilang kemampuan kerana kurang upaya selepas terbabit kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
   
Azni Rokhail, 27, yang pernah bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, kini terpaksa pula bergantung kepada bapanya, Shamsuddin Morad, 62, yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan.
   
Akibat kemalangan itu juga, wanita itu sudah tidak boleh melakukan kerja berat malah memerlukan bantuan orang lain untuk berjalan.
   
"Saya sudah lima kali menjalani pembedahan kerana mengalami pendarahan dalam kepala dan koma selama seminggu, 20 skru dipasang di bahagian kepala kanan bagi menggantikan tempurung kepala yang rosak," katanya di sini hari ini.
   
Azni Rokhail ditemui pemberita di rumahnya di kampung Sungai Nonang di sini sempena program 'Secebis Kasih Seindah Ramadan' yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
 
Azni Rokhail berkata dia juga terpaksa meminta bantuan jiran untuk membawanya ke Hospital Yan bagi menjalani rawatan fisioterapi dua minggu sekali.
   
Sementara itu, Pengarah Perkeso Negeri Kedah Othman Mohd Nordin berkata Azni Rokhail menerima Pencen Ilat sebanyak RM366.75 sebulan dan Perkeso juga telah menampung kos menukar tempurung kepalanya.
   
Othman berkata pihaknya juga akan mengesyorkan latihan vokasional yang sesuai untuk Azni Rokhail bagi membolehkan dia bekerja semula bagi membantu menambah pendapatan keluarga.
   
"Kita akan sentiasa membantu dia (Azni Rokhail) seperti Orang Berinsurans (OB) yang lain kerana dia pernah bekerja kilang sebelum ini dan mungkin akan mencari pekerjaan yang sesuai untuknya setelah dia tamat latihan nanti," katanya.
   
Othman turut menyampaikan bantuan wang zakat dan sumbangan barangan dapur kepada kepada keluarga Azni Rokhail dan tiga lagi OB yang tinggal di Pendang serta Kodiang.

No comments:

Post a Comment