PETALING JAYA - Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meminta semua badan amal agar tidak berputus asa dalam menyediakan pelbagai program yang dapat mempersiapsiagakan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tahap yang lebih tinggi.
Beliau berkata waima sekalipun keadaan golongan itu, masyarakat tidak boleh sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan kanak-kanak istimewa itu kerana mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan mungkin lebih hebat daripada kanak-kanak yang sempurna sifat.
"Tingkatkan kolaborasi dengan pelbagai pihak, tidak kiralah pihak kerajaan, golongan korporat mahupun individu supaya mereka (OKU) sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat," katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Pasaraya Mydin, Subang Jaya di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Toh Puan Dr Aishah Ong.
Rosmah juga berharap agar tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa mahupun guru-guru dan masyarakat untuk mendidik anak-anak ini, supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.
Beliau berkata golongan itu juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat wawasan 2020.
Dalam pada itu, Rosmah berkata tahun ini, Bakti menyerahkan bantuan berjumlah RM10,000 untuk diagih-agihkan kepada kanak-kanak OKU di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan
Masyarakat
Pada majlis itu, Bakti menyampaikan sumbangan duit raya dan pakaian kepada 237 OKU daripada pusat PDK sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Turut hadir Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd Datuk Ameer Ali Mydin.
No comments:
Post a Comment