KAPAR - Pasangan suami isteri kerugian kira-kira RM50,000 selepas kediaman separa papan yang didiami sejak puluhan tahun lalu di Jalan Haji Iman, Batu 8 1/2, Kampung Perepat hangus dalam kebakaran di sini, malam kelmarin.
Tambah menyedihkan pasangan berkenaan apabila barangan kemas milik isteri berupa cincin dan gelang tangan turut hangus yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.
Mangsa, M Perumal, 38, berkata, ketika kejadian tiada sesiapa di kediamannya memandangkan dia keluar menghantar barang ke Ampang manakala isteri pula bekerja.
“Hanya kami berdua tinggal di kediaman ini kerana kami belum memiliki cahaya mata selain ibu bapa juga sudah meninggal dunia.
“Saya hanya dimaklumkan rumah saya terbakar oleh jiran terdekat yang menghubungi saya sekitar jam 8 malam,” katanya.
Beliau yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, tiada satu barang yang sempat diselamatkan.
“Semua perabot dan dokumen penting lain dalam kediaman musnah sama sekali.
“Apa yang sangat saya kesalkan, kediaman ini adalah rumah warisan nenek moyang saya. Keturunan saya telah tinggal di sini sejak sekian lama malah saya juga dilahirkan di sini,” katanya.
Tambahnya, kejadian ini pertama kali menimpanya dan isteri. “Berikutan kejadian ini kami kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menumpang sementara waktu di rumah saudara terdekat,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.
Hadir sama melawat lokasi dan menemui pasangan itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam; Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azizi Ayob dan V Maneyvannan.
Pada lawatan itu, Azizi turut menyerahkan bantuan kewangan daripada MPK kepada pasangan itu.
Dalam pada itu, Manikavasagam berkata, pihaknya akan membantu mangsa membuat permohonan menerusi Kerajaan Negeri melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) membina semula kediaman mangsa.
“Mangsa boleh memohon program ini memandangkan kediaman asal adalah di atas tanah miliknya.
No comments:
Post a Comment