MUAR – Sepasang suami isteri dari Kampung Baru Batu 28, Lenga dekat sini, merayu anak gadisnya, Nurul Safiqikah, 14, yang keluar rumah sejak 5 Jun lalu, agar pulang segera ke pangkuan keluarga.
Iseh Atan, 51, berkata, pada hari kejadian iaitu kira-kira jam 8 pagi, anaknya memaklumkan mahu keluar ke bandar Muar bersama seorang rakan sekelas dengan menaiki bas awam.
Bagaimanapun katanya, sehingga jam 7 malam anaknya masih tidak pulang ke rumah lantas mendorongnya mencari Nurul Safiqikah atau nama manjanya Kikah di rumah rakannya.
“Saya terkejut apabila diberitahu Kikah berjumpa seorang lelaki semasa di Muar.
“Rakan anak saya yang dikenali sebagai Soleha turut memberitahu, Kikah menyuruhnya balik kerana mahu berjumpa teman lelakinya sebelum mengikuti seorang wanita tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Muar,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Iseh berkata, dia juga cuba menghubungi anaknya itu namun tidak berjaya kerana telefon bimbitnya dimatikan.
Berikutan itu, dia dan suami pergi ke bandar Muar untuk mencari Nurul Safiqikah termasuk lokasi dia dikatakan mengikut seorang wanita, namun usaha itu tidak berhasil.
“Tiga hari kemudian, Kikah menghubungi saya mengatakan dia berada dalam keadaan selamat dan tinggal bersama seorang rakan.
“Kikah juga minta supaya menarik balik laporan polis yang sudah dibuat dan minta agar kami tidak mencarinya lagi,” katanya.
Menurut Iseh, dia berasa sangat sedih selepas mendengar permintaan anaknya yang dianggap tidak masuk akal.
Tambahnya, Nurul Safiqikah merupakan anak bongsu yang sangat peramah dan periang, tetapi kira-kira dua minggu sebelum menghilangkan diri, dia berubah menjadi seorang yang mudah marah jika kehendaknya dihalang.
“Saya sangat terkejut dan tidak sangka Kikah akan ambil tindakan drastik seperti ini.
“Saya sudah buntu untuk mencari Kikah yang hingga hari ini masih tidak pulang dan hanya mampu berdoa supaya dia selamat,” katanya.
Katanya, hanya pakaian serta barangan milik Nurul Safiqikah menjadi pengubat rindu setiap kali teringatkan anaknya itu.
Justeru, Iseh meminta kerjasama orang ramai yang mengenali dan mengetahui di mana anaknya berada agar menghubunginya di talian 017-634 4252, 06-977 1205 atau Fitri, 012-993 6899.
Sehingga kini, Iseh sudah membuat dua laporan polis berikutan kehilangan anaknya itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Balai Polis Lenga.
No comments:
Post a Comment