PASIR PUTEH - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM220,000 untuk menjayakan program Ihya Ramadan di seluruh negeri bermula 1 Ramadan nanti.
Setiausahanya, Che Hamat Che Muda berkata, program itu membabitkan lebih 562 masjid mukim, negeri dan masjid bandar yang mana masing-masing menerima peruntukan khusus bagi membolehkan aktiviti berkaitan dilaksanakan dengan jayanya.
“Kita memperuntukkan RM300 untuk masjid mukim, masjid negeri iaitu Masjid Muhammadi di Kota Bharu akan menerima RM50,000 dan masjid-masjid di setiap bandar di jajahan ini menerima RM1,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan taklimat tertutup bajet Maik 2012 di Tok Aman Bali di sini, kelmarin.
Beliau berkata, program itu diadakan bagi merapatkan hubungan masyarakat Islam, memantapkan perpaduan dan menjadikan masjid sebagai institusi penting dalam komuniti. Katanya, program berbuka puasa dan bersahur adalah program asas yang perlu dilaksanakan pengurusan masjid sepanjang Ramadan nanti.
“Maik turut mengalualukan sumbangan daripada dermawan di mukim masing-masing, bagi membantu imam dan pengurusan masjid menjayakan ktiviti yang dirancangkan,” katanya. Che Hamat berkata, bersempena dengan sambutan Jubli Emas Maik, diskusi Israk Mikraj dan Bicara Intelek Islam dengan tema ‘Cabaran Masa Depan Islam’ dengan sasaran 1,000 peserta akan iadakan pertengahanbulan ini.
Katanya, Datuk Dr Afifi Al-Alifi dari Universiti Oxford dan Prof Mohamed Kamil Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) adalah ahli panel yang akan menjayakan program berkenaan.
Menurutnya, hasil rumusan menerusi program itu akan dijadikan rangka kerja tindakan Maik yang berusia 100 tahun bagi menghadapi masa depan Islam yang semakin mencabar.
No comments:
Post a Comment