Blog Archive

Thursday, 2 August 2012

MAYBANK BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

MAYBANK komited membantu lebih banyak pertubuhan kebajikan dan golongan kurang berkemampuan menerusi pelbagai projek ihsan yang dikendalikan Yayasan Maybank.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank yang juga Pengerusi Yayasan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, strategi ini penting bagi memberi impak bermakna terhadap program - program yang dijayakan Yayasan Maybank khususnya dalam komuniti yang menempatkan operasi perbankan kumpulan.

Kumpulan Maybank merupakan peneraju kewangan serantau yang beroperasi dalam rangkaian global dengan lebih 2,200 pejabat di 18 negara, termasuk di pusat kewangan antarabangsa utama.

“Yayasan Maybank merupakan platform untuk kami memberi sokongan terhadap golongan yang memerlukan dalam komuniti di mana kami beroperasi. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh yayasan ini selari dengan falsafah yayasan untuk menolong menangani keperluan Abdul masyarakat melalui program yang mapan, bertujuan memperkasakan masyarakat melalui pembangunan berterusan," katanya.

Pada majlis ini, lebih 150 wara tua, anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan cacat anggota daripada beberapa rumah kebajikan dan sekolah terpilih di Lembah Klang dirai dalam majlis anjuran Yayasan Maybank.

Tetamu istimewa itu juga terdiri daripada penerima manfaat langsung program Cahaya Kasih anjuran Yayasan Maybank, turut menerima hadiah dan duit raya sumbangan yayasan.

Abdul Wahid berkata, majlis juga dianjurkan bagi menghargai sokongan penerima manfaat program Cahaya Kasih dan mengeratkan perhubunganantara pengelola dengan penaja pelbagai program dianjurkan.

KONTRAK PIALA DUNIA DIANUGERAH KEPADA AUSTRALIA

MELBOURNE - Gergasi pembinaan, Leighton Holdings, yang mempunyai operasi di Malaysia memperoleh kontrak bernilai US$124 juta untuk membina sistem rel pertama Qatar ketika negara itu membuat persediaan bagi menganjurkan Kejohanan Piala Dunia FIFA 2022.
   
Syarikatnya di Timur Tengah, Habtoor Leighton Group (HLG), di mana Leighton memegang 45 peratus pegangan, akan membina sistem tram beroperasi menggunakan bateri yang bertujuan mengangkut pelajar di sekitar Doha Education City.
   
Ia akan menjadi sistem pengangkutan rel beroperasi pertama di negara Teluk itu yang merupakan satu inisiatif prasarana ketika ia bersiap sedia menganjurkan Piala Dunia pada 2022.
   
HLG akan mereka bentuk dan membina trek, hentian tram dan depot bagi menempatkan unit pentadbiran dan penyelenggaraan.
   
Ketua Eksekutifnya Laurie Voyer berkata beliau berharap syarikatnya akan memperoleh lebih banyak kontrak dalam dekad akan datang di "satu daripada pasaran rel terbesar dunia" itu. 
   
"Qatar merupakan pasaran utama bagi kami.
   
"Dengan menyiapkan dengan jayanya projek ini, kami akan meletakkan diri kami di kedudukan terbaik untuk memperoleh kerja tambahan sebagai sebahagian daripada Doha Metro," Voyer dipetik sebagai berkata demikian oleh Australian Associated Press.:PORTAL ONLINE

SERTAI PR JIKA TIDAK YAKIN PADA UMNO/BN: ANWAR

PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka yang sudah hilang kepercayaan ke atas Umno dan  jika mahu terus bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 boleh menyertai Pakatan Rakyat (PR).

"Jika mereka mahu terus bertanding dalam PRU, mereka yang 'lompat parti' ini, mesti menyertai mana-mana parti komponen dalam PR.

"Perlu ikut undang-undang yang sedia ada untuk menjadi calon dalam PRU," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Ketua Umum PR dan Ketua Pembangkang di Parlimen ini diminta mengulas isu melibatkan  Datuk Seri Lajim Ukin, yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, Sabtu lalu.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing juga telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) bahagian Tuaran, Ahad lalu.

Anwar turut berkata yang 'lompat parti' bukan satu isu kerana apabila seseorang telah hilang kepercayaan dalam parti, pasti akan keluar dan mencari parti lain yang berhaluan lain.

"Apabila  keluar parti, mereka tetap mempunyai banyak pilihan untuk sertai mana-mana parti dalam PR bagi meneruskan perjuangan dan saya beri galakan kepada mereka untuk sertai kami dalam perjuangan PR,

"Asalkan mereka tidak menyokong Umno, saya tidak kisah kerana isu 'lompat parti' adalah pilihan individu," jelas Anwar.

ANWAR CABAR PUSAT GUNA TEMA LEBIH INKLUSIF

PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencabar Kerajaan Pusat agar menimbang tema alternatif Hari Kemerdekaan, yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat (PR) semalam - "Sebangsa Senegara Sejiwa".

Ketua Umum PKR ini berkata, tema yang dicadangkan itu lebih inklusif berbanding tema '55 Tahun Janji Ditepati' yang digunakan sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini.

"Tema yang dicadangkan ini tidak boleh dipertikaikan kerana ia jelas lebih inklusif. Kami tidak menggunakan sebarang tema yang berunsurkan propaganda seperti Umno dan bagi saya, tema yang dicadangkan ini tidak menjadi satu masalah," kata beliau padal sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dibentuk PR telah membuat pengubahsuaian daripada 250 slogan yang diterima sejak minggu lalu, selari dengan keadaan di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Ketua jawatankuasa itu, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said semalam berkata, tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa telah diubah supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan diperhalusi sebanyak mungkin.

Menurutnya, tema tersebut dilihat lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat dan negara tanpa ada sebarang agenda politik.

Tambah Anwar, cadangan tema ini tidak akan memecah-belahlan rakyat negara ini kerana ia tidak akan membuatkan rakyat keliru.

"Umno kini jelas terdesak kerana sanggup menggunakan tema Hari Kebangsaan negara untuk kepentingan sendiri," bidas Anwar.

 Beliau menambah, jika kerajaan bersetuju untuk mengubah tema Hari Kemerdekaan yang lebih inklusif, pihaknya sentiasa bersedia untuk menerima.

"Jika kerajaan tidak menerima cadangan kami semalam, tidak mengapalah,

 "Tetapi mereka harus menyediakan tema yang lebih sesuai dan saya sendiri tidak akan teragak-agak untuk menasihati rakan-rakan dalam PR untuk menerima cadangan mereka," jelas Anwar.

PR TIRU TEMA 1MALAYSIA: AHMAD MASLAN

SHAH ALAM - Tema alternatif Hari Kemerdekaan dipilih Pakatan Rakyat (PR) - "Sebangsa Senegara Sejiwa" ada persamaan dengan konsep 1 Malaysia yang diguna pakai Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN).
 
Ketua Penerangan dan Biro Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, tema yang dipilih pembangkang, yang diumumkan semalam, hampir mempunyai persamaan dengan konsep 1 Malaysia.
 
Menurutnya, tema yang digubah oleh PR itu meniru konsep kerajaan dan tidak sedikit pun merubah makna asal 1 Malaysia.
 
"Itu hampir serupa dengan konsep 1 Malaysia.
 
"Ya, konsep 1 Malaysia ditiru oleh pembangkang bila mencadangkan tema itu," katanya yang juga Ketua Penerangan Umno kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Tema Hari Kemrdekaan yang diwakili PR mencadangkan tema Sebangsa Senegara Sejiwa yang dikatakan lebih neutral dan memberi gambaran kebersamaan rakyat serta negara tanpa ada sebarang agenda politik.

Pengerusinya, Datuk A. samad Said sepakat memilih tema yang dikirim oleh Al Haimi Adam iaitu Senegara Sebangsa Sehati Sejiwa dan disesuaikan dengan keadaan negara supaya tidak menyentuh isu sensitif, siasah, perkauman dan telah diperhalusi sebanyak mungkin.
 
Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, tema tersebut yang ditiru PR tidak boleh dikatakan tema baharu dan tidak perlu diambil kira kerana telah sama dengan makna asal konsep 1 Malaysia.
 
"Memanglah kita sebangsa Malaysia yang ada pelbagai kaum, senegara Malaysia satu-satunya tiada yang lain dan sejiwa patriotik mencintai negara," katanya lagi.
 
Sebelum ini, Ahmad pernah berkata keputusan untuk memilih tema Hari Kemerdekaan yang sesuai terletak pada kerajaan dan beliau meminta PR tidak mudah melatah serta berfikir secara lebih universal bukan berdasarkan persepsi politik sahaja.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia sepertimana sambutan pada tahun lepas dan tema 'Merdeka 55 Tahun Janji di Tepati' tetap diguna pakai.

TEMA MERDEKA: RAIS TAK GUSAR

KUALA LUMPUR - Pembangkang dinasihatkan tidak membelakangkan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun di negara ini hanya kerana perbezaan fahaman politik dengan parti yang memerintah.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pembangkang perlu menghormati Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos dan bersama dengan kerajaan dalam meraikan hari keramat Malaysia itu.

"Sesiapapun boleh beri pandangan termasuk mengatakan kami tidak bersetuju dengan Janji Ditepati (tema Hari Kemerdekaan tahun ini)... juga kritik simbol diwujudkan tetapi saya mohon jangan terpesong daripada hormati Hari Merdeka.

"Bagi seseorang yang menjadi pembangkang di negara ini, bangkangan itu tidak sahih jika dia membelakangi Hari Merdeka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang bercadang menggunakan tema 'Senegara, Sehati, Sejiwa' bagi sambutan Hari Kemerdekaan dan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan yang berasingan menggunakan tema dipilih mereka itu.

Rais berkata, sekiranya pembangkang terus berdegil mahu mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan berbeza, tindakan itu adalah yang pertama seumpamanya dilakukan dalam tempoh negara merdeka.

"Tidak usah diganti (tema), sebab kerajaan sudah putuskan supaya `Janji Ditepati' guna tahun ini dan kiranya tiada aral pada masa akan datang, kita timbang tema (pembangkang) itu, kita jalinkan dalam program lain.

"Saya tidak gusar mereka terima atau tidak terima, buatlah apa yang patut oleh pembangkang tetapi saya mohon wajarlah kita bersama pada hari itu dan beri penekanan kepada sayangnya kita kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata lapan lagi grafik sempena Hari Kemerdekaan akan disiarkan di dada media setiap minggu sehingga 31 Ogos depan bagi merancakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 tahun ini.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini 'Janji Ditepati' ditiru daripada sebuah lagu Indonesia, Rais meminta pihak yang mendakwa sedemikian tampil ke hadapan dan mengemukakan bukti.

Sementara itu, Rais berkata industri telekomunikasi dan multimedia di negara ini menjana pelaburan dan pendapatan yang memberangsangkan tahun lepas iaitu sebanyak RM47 bilion berbanding RM45 bilion pada 2010.

"Sektor berkaitan industri ini cepat meningkat dan berkembang pesat, oleh demikian bilangan pekerjaan yang akan dicapai tidak kurang 5,000 menjelang tahun 2020.

"Kita juga sedang mengkaji keberkesanan Dana Industri Kreatif dan akan memutuskan sama ada mahu meneruskan atau tidak berdasarkan keberkesanan ini.

"Melalui inisiatif Get Malaysian Business Online, sebanyak 20 syarikat PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Malaysia telah berjaya dihubungkan ke seberang laut dan kita harap dapat capai 37 syarikat sedikit masa lagi," katanya.

Beliau berkata, kadar penembusan jalur lebar negara pada masa ini berada pada tahap 64 peratus dan akan mencapai 65 peratus tidak beberapa lama lagi.

"Ini lebih daripada sasaran asal iaitu 50 peratus dan dengan 37 juta pengguna telefon bimbit serta 13.5 juta pengguna Facebook dan Twitter, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara terdepan dalam menggerakkan inisiatif jalur lebar," katanya.

Wednesday, 1 August 2012

HUMAIRA PERTAHAN TINDAKAN TAMAT KONTRAK ABBY

Al-Humaira Contemporary (AHC) mempertahankan tindakan syarikat butik tudung itu membatalkan kontrak Duta Tudung yang digalas oleh pelakon, Arbaiyah Abdul Manan atau yang lebih dikenali sebagai Abby Abadi baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary berkata, keputusan tersebut diambil kerana objektif sebenar perniagaan pihaknya kini tidak lagi selari dan tidak mencapai matlamat diharapkan.
Menerusi kenyataan di Facebook AHC, yang diposkan Isnin lalu, pengurusan Al-Humaira Contemporary menjelaskan bahawa pihaknya terkilan kerana dituduh oleh pelbagai pihak dengan kata-kata kurang elok, cacian dan ugutan yang diterima daripada peminat selebriti itu selepas Abby menaikkan status mengenai isu penamatan kontrak Duta Tudung di laman Twitternya, baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary tidak menyebut nama Abby tetapi merujuk kepadanya melalui tulisan “seorang artis yang baru beberapa bulan bertudung yang juga merupakan bekas duta AHC."
Kenyataan Al-Humaira Contemporary menambah, “tindakan untuk menamatkan kontrak beliau tiada kaitan dengan penolakan kami kepada ajaran Islam atau pun menolak konsep rezeki ALLAH seperti yang diperkatakan oleh pengikut beliau.”
“Cuma objektif sebenar kontrak yang telah kami tandatangani sebenarnya tidak mencapai matlamat seperti yang kami harapkan dan pihak kami sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masaselaras mengikut situasi dan keadaan,” kata kenyataan syarikat tersebut.
Al-Humaira Contemporary turut berharap semua pihak akan menghormati keputusan yang telah dibuat syarikat berkenaan.
Dalam satu mesej Twitter semalam, susulan kepada entri sebelum itu, Abby yang menyertai Pas baru-baru ini sebagai ahli seumur hiudp berkata, dia menerima penamatan kontraknya sebagai Duta Tudung dengan terbuka.
“Tentang kontrak Duta Tudung tu, takpe sahabat-sahabat ku, rezeki di mana-mana.  Saya terima itu memang bukan rezeki saya.  Insya-ALLAH, ada je rezeki lain nanti,” kata beliau menerusi laman Twitternya semalam.
Abby yang terkenal dengan gelaran Inspektor Haliza menerusi drama Gerak Khas, menyerahkan borang keahlian bulan lalu.
Abby menyatakan kesungguhan beliau mendekati Pas adalah kerana parti itu ikhlas memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran.