Blog Archive

Thursday, 2 August 2012

TEMA MERDEKA: RAIS TAK GUSAR

KUALA LUMPUR - Pembangkang dinasihatkan tidak membelakangkan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun di negara ini hanya kerana perbezaan fahaman politik dengan parti yang memerintah.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, pembangkang perlu menghormati Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos dan bersama dengan kerajaan dalam meraikan hari keramat Malaysia itu.

"Sesiapapun boleh beri pandangan termasuk mengatakan kami tidak bersetuju dengan Janji Ditepati (tema Hari Kemerdekaan tahun ini)... juga kritik simbol diwujudkan tetapi saya mohon jangan terpesong daripada hormati Hari Merdeka.

"Bagi seseorang yang menjadi pembangkang di negara ini, bangkangan itu tidak sahih jika dia membelakangi Hari Merdeka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang bercadang menggunakan tema 'Senegara, Sehati, Sejiwa' bagi sambutan Hari Kemerdekaan dan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan yang berasingan menggunakan tema dipilih mereka itu.

Rais berkata, sekiranya pembangkang terus berdegil mahu mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan berbeza, tindakan itu adalah yang pertama seumpamanya dilakukan dalam tempoh negara merdeka.

"Tidak usah diganti (tema), sebab kerajaan sudah putuskan supaya `Janji Ditepati' guna tahun ini dan kiranya tiada aral pada masa akan datang, kita timbang tema (pembangkang) itu, kita jalinkan dalam program lain.

"Saya tidak gusar mereka terima atau tidak terima, buatlah apa yang patut oleh pembangkang tetapi saya mohon wajarlah kita bersama pada hari itu dan beri penekanan kepada sayangnya kita kepada Malaysia," katanya.

Beliau berkata lapan lagi grafik sempena Hari Kemerdekaan akan disiarkan di dada media setiap minggu sehingga 31 Ogos depan bagi merancakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 tahun ini.

Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan lagu tema Hari Kemerdekaan tahun ini 'Janji Ditepati' ditiru daripada sebuah lagu Indonesia, Rais meminta pihak yang mendakwa sedemikian tampil ke hadapan dan mengemukakan bukti.

Sementara itu, Rais berkata industri telekomunikasi dan multimedia di negara ini menjana pelaburan dan pendapatan yang memberangsangkan tahun lepas iaitu sebanyak RM47 bilion berbanding RM45 bilion pada 2010.

"Sektor berkaitan industri ini cepat meningkat dan berkembang pesat, oleh demikian bilangan pekerjaan yang akan dicapai tidak kurang 5,000 menjelang tahun 2020.

"Kita juga sedang mengkaji keberkesanan Dana Industri Kreatif dan akan memutuskan sama ada mahu meneruskan atau tidak berdasarkan keberkesanan ini.

"Melalui inisiatif Get Malaysian Business Online, sebanyak 20 syarikat PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) Malaysia telah berjaya dihubungkan ke seberang laut dan kita harap dapat capai 37 syarikat sedikit masa lagi," katanya.

Beliau berkata, kadar penembusan jalur lebar negara pada masa ini berada pada tahap 64 peratus dan akan mencapai 65 peratus tidak beberapa lama lagi.

"Ini lebih daripada sasaran asal iaitu 50 peratus dan dengan 37 juta pengguna telefon bimbit serta 13.5 juta pengguna Facebook dan Twitter, Malaysia akan muncul sebagai sebuah negara terdepan dalam menggerakkan inisiatif jalur lebar," katanya.

No comments:

Post a Comment