KUALA LUMPUR - Tun Razak Exchange (TRX) merupakan "game changer" atau perubahan utama yang akan memberi satu struktur ekonomi yang baharu kepada landskap ekonomi negara di mata dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Beliau berkata TRX, daerah kewangan baharu Kuala Lumpur yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Isnin, juga boleh dianggap sebagai projek ikonik yang akan menjana pelaburan dari dalam dan luar negara serta merealisasikan impian menjadi negara maju.
"Negara maju mesti ada sektor perkhidmatan yang bukan saja berteknologi tinggi tetapi perlu juga ada nilai tambah yang tinggi," kata beliau selepas majlis berbuka puasa bersama warga Bernama di sini.
TRX meliputi kawasan seluas 28 hektar, dahulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) akan dibangunkan oleh 1Malaysia Development Bhd dengan kerjasama Mubadala Development Corp dari Abu Dhabi.
Ia adalah antara Projek Permulaan di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Malaysia, satu pelan kebangsaan untuk menggandakan pendapatan tahunan negara dan mengangkat negara sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.
TRX mampu menarik pakar-pakar dari dalam dan luar negara untuk bekerja serta memainkan peranan mengikut bidang masing-masing termasuk yang akan menubuhkan syarikat dan buka peluang pekarjaan baru.
Nor Mohamed yang mengetuai pasukan petugas khas untuk memantau pembangunan TRX bertekad mempastikan TRX menjadi satu projek yang berdaya maju.
"Mesyuarat pertama akan diadakan pada hujang bulan ini. Tugas kita nanti khusus untuk menyelaras pihak-pihak yang terlibat dalam projek ini dan bukan untuk memberi penekanan tentang polisi-polisi," kata beliau.
Beliau berkata pasukan petugas khas ini juga akan memastikan segala insentif yang ditawarkan diselaras dengan pihak yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, Bursa Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan agensi alam sekitar.
"Terlalu banyak pihak yang terlibat jadi kerajaan berpendapat akan ada pelbagai isu yang akan timbul seperti insentif, isu alam sekitar dan kelulusan daripada pihak tertentu.
"Kami akan selesaikan semua persoalan yang dibangkitkan dengan pelbagai agensi yang terlibat dari semasa ke semasa," kata beliau.
Antara insentif yang telah diumumkan kerajaan termasuk pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman dan servis; peruntukan pembinaan berindustri dan peruntukan modal dipercepatkan dan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah yang layak di TRX.
No comments:
Post a Comment