Blog Archive

Saturday, 4 August 2012

TAK HIRAU KATA SINIS

MARAN - Walaupun menerima kata sinis daripada rakan dan penduduk kampung, ia tidak menghalang hasrat seorang anak kelahiran Kampung Nyak, di sini, terus mengusahakan ladang tebu buluh seluas 4.8 hektar sejak setahun lalu.

Bekas tenaga pengajar GiatMara Pasir Puteh, Kelantan, Ahmad Sharil Mat Shah berkata, ladang tebu terletak kira-kira 10 kilometer dari jalan utama itu menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ada mengatakan dia hanya menanam tebu untuk memberi makan kepada kera dan babi hutan.

Menurutnya, pemilihan tanaman tebu buluh itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada agensi berkaitan, selain mengambil faktor pasaran dan permintaan.

“Alhamdulillah, sekarang saya mempunyai sekurang-kurangnya 50,000 batang tebu sedia dikeluarkan dan menyasarkan pengeluaran kepada 100,000 menjelang tahun depan.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah peniaga yang menjual air tebu di pasar malam dan bazar Ramadan. Saya turut menerima tempahan daripada pusat pemuliharaan gajah di Kuala Gandah.

“Saya menggunakan modal sendiri mencecah RM30,000 sebagai permulaan dan mendapat nasihat daripada mereka yang berpengalaman dalam tanaman ini,”katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Shahril berkata, sebatang tebu dijual pada harga serendah RM1.20 mengikut ukuran panjang dan tidak termasuk penghantaran, namun pelanggan boleh mengambilnya sendiri.

Menurutnya, tindakan nekad berhenti daripada menjadi tenaga pengajar kemahiran untuk menceburi bidang pertanian sembilan tahun lalu ternyata berbaloi apabila dia turut mengusahakan ladang getah dan menjalankan perniagaan jual beli getah beku.

“Mengikut kata hati untuk berbudi kepada tanah mendorong saya mencapai matlamat bergelar usahawan pertanian," katanya.

No comments:

Post a Comment