SANDAKAN - Pelaksanaan program Sentuhan Kasih membolehkan Petronas mendekatkan diri dengan masyarakat dan membantu golongan yang memerlukan, kata Pengurus Besar Petronas Sabah dan Labuan, Joseph Podtung.
Beliau berkata program itu mula dianjurkan di negeri ini sejak 2006 itu bagi meraikan dan menghulur bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama sempena musim perayaan.
"Program sebagai sebahagian tanggungjawab korporat kami dan paling penting dapat berinteraksi dengan masyarakat dan membantu golongan berkenaan yang memerlukan bantuan," katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Petronas di Masjid Nurur Rahman Taman Mawar disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, di sini hari ini.
Joseph berkata pada masa sama, program itu dapat memupuk dan meningkatkan semangat sukarela di kalangan warga kerja Petronas selain menyedia kesempatan bagi mereka berinteraksi dengan masyarakat tempatan.
Beliau berkata melalui program itu seramai 50 orang anak yatim di daerah ini dibawa membeli belah semalam bagi persediaan mereka menyambut Hari Raya Aidil Fitri akan datang.
Katanya, melalui program hari ini, warga Petronas bersama penduduk kampung bergotong royong membersih kawasan masjid dan menyerahkan 10 tong gas Petronas serta dapur memasak untuk kegunaan masjid.
Beliau berkata satu lagi program kemasyarakatan yang diadakan diberi nama Sentuhan Harapan Petronas dan bagi negeri ini seramai 1,200 keluarga miskin dibantu.
Menurut beliau, program itu melibatkan pemberian bantuan bulanan dalam bentuk produk makanan asas selama dua tahun. - Bernama
No comments:
Post a Comment