Blog Archive

Friday, 3 August 2012

PKR CABAR UMNO TUNJUK BUKTI TAWAR LAJIM WANG

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi dicabar mengemukakan bukti jika benar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi Datuk Seri Lajim Ukin dengan wang untuk ‘keluar’ daripada parti teras Barisan Nasional itu, Sabtu lalu.
Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, Mohd Puad jelas meneruskan budaya fitnah dan menipu seperti yang biasa dilakukan pemimpin Umno yang lain.
“PKR akan meneliti berhubung perkara ini dan akan mengambil tindakan kepada Mohd Puad kerana mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah ini. Tetapi buat masa ini, tiada sebarang perbincangan lagi diadakan oleh kepimpinan kanan parti,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Mohd Puad sebelum ini membuat kenyataan yang  Lajim mengambil keputusan itu kerana mengikut nasihat Anwar yang didakwa berkemungkinan menawarkan wang kepada bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
“Tidak mustahil pendekatan kewangan telah digunakan oleh Anwar yang menasihati Lajim untuk meletakkan jawatannya setelah melihat kata duanya tidak didengari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita tahu yang Anwar sekarang juga digelar ‘3 billion Man’ seperti yang dilaporkan media sebelum ini. Maka, berkemungkinan dia menggunakan sumber kewangan itu untuk memujuk Lajim meninggalkan parti,” kata Mohd Puad.
Sebaliknya, Surendran menyelar tindakan Mohd Puad ini yang disifatkan memalukan Umno sendiri kerana membuat kenyataan tanpa mengemukakan sebarang bukti.
"Saya percaya Anwar tidak terlibat dan tiada kaitan langsung dengan keputusan Lajim untuk meletak jawatan," katanya.
Tambah beliau, Umno mempunyai agenda tersembunyi apabila cuba menggunakan Mohd Puad bagi memfitnah Anwar terlibat dan menyatakan yang Lajim letak jawatan semata-mata kerana wang.
"Apabila pemimpin Umno sendiri (Lajim)  hilang  keyakinan dan kepercayaan dalam parti, perkara seperti ini (letak jawatan) memang akan berlaku. Lajim sendiri sudah tidak mampu bertahan dalam parti kerana merasakan Umno adalah sebuah parti yang menindas. Jadi, letak jawatan adalah perkara terbaik," ulas beliau.

No comments:

Post a Comment