Blog Archive

Sunday, 5 August 2012

PAS GESA KERAJAAN TURUNKAN HARGA KERETA

GOMBAK - Susulan janji PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, Pas hari ini turut menggesa Kerajaan Pusat menurunkan cukai eksais bagi membolehkan harga kereta diturunkan dan tidak membebankan pembeli.

Pakar ekonomi Pas, Dr Rosli Yaakop berkata, hutang yang ditanggung pemilik kenderaan berkali ganda daripada harga asal mengikut model kereta.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menghentikan pengananiayaan terhadap rakyat dengan membebankan hutang yang perlu ditanggung kerana memiliki kereta.

"Kita lihat cukai kereta yang dikenakan kerajaan kepada pembeli kereta sangat tinggi.

"Hal ini bebankan rakyat dan sepatutnya cukai itu perlu dikurangkan ke peringkat yang lebih murah," kata beliau pada seminar berkaitan dasar Negara Berkebajikan Pas di sini hari ini.

Sebelum ini, rakannya PKR berjanji menjadikan harga kereta yang tidak membebankan rakyat sebagai manifesto dalam PR pada PRU13.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, dasar automotif Umno-BN dilihat banyak memberi tekanan kepada rakyat dengan mengenakan cukai-cukai yang tidak munasabah dan harga kereta yang menjadi beban rakyat akan dijadikan intipati manifesto PR supaya kos pembiayaannya dikurangkan walaupun BN menganggap pengurangan itu akan memufliskan negara.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, harga kereta di Malaysia adalah harga yang paling tinggi berbanding negara Asia yang lain.

Menurutnya, jika kerajaan dapat menurunkan harga kereta atau menghapuskan cukai yang tidak sepatutnya, skim penyelarasan gaji tidak diperlukan.

"Jika kerajaan mampu turunkan harga kereta, skim gaji baru sebanyak RM900 itu tak diperlukan lagi.

"Rakyat mampu tak perlu nak minta tambah gaji lagi," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, kerajaan jangan menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk mengekalkan pengeluaran kereta buatan Malaysia tetapi fikirkan cara lain yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment