SHAH ALAM - Ahli Parlimen PKR kerusi Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid menafikan beliau pernah bertindak kasar dan menghalau Halimah Mohd Sahat, 48, dari rumahnya sebagaimana dilaporkan oleh beberapa blog dan laporan polis dibuat oleh isteri pertamanya itu.
Wakil rakyat penggal pertama itu menegaskan, beliau sendiri terus membuat bayaran bulanan sebanyak RM2,000 sehingga sekarang selain membenarkan Halimah menggunakan kereta serta rumah mereka di Desa Pandan dekat ibu negara.
"Jadi, bagaimana boleh kata saya halau dia dari rumah saya. Sebenarnya, saya membuat bayaran bulanan dan membenarkan dia tinggal di rumah di Desa Pandan dan menggunakan kereta, sebagaimana dipersetujui, sehingga kes mahkamah selesai," kata beliau.
"Saya menafikan apa yang disebut oleh isteri pertama saya, apa yang dilaporkan oleh blog-blog. Itu tidak benar, dia bohong," kata beliau lagi sambil menambah, "saya akan mengambil tindakan ke atas blog-blog terbabit selepas ini."
Kata Abdullah Sani, beliau meminta isterinya agar menggunakan rumah mereka di Desa Pandan dan tidak menyema rumah lain sehingga kes mahkamah selesai.
"Buat apa perlu sewa rumah lain. Jadi, saya juga minta dia gunakan rumah kami di Desa Pandan. Kalau saya halau, mengapa saya perlu minta dia menggunakan rumah di Desa Pandan," kata beliau yang juga pemimpin kesatuan sekerja.
Laporan blog menyebut ahli politik itu melakukan penderaan secara mental terhadap Halimah. Malah, laporan itu memetik Halimah mendakwa dia telah diusir dari rumahnya di Banting pada 1 Ramadan lalu.
Katanya, pada hari pertama Ramadan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumahnya di Banting tetapi tidak dibenarkan.
"Beg-beg dia ada di rumah. Saya sendiri telah memberitahu bahawa saya akan hantar ke rumahnya di Desa Pandan, tetapi dia tidak mahu.
"Kalau betul saya halau dia dari rumah, buat apa saya tawar hantar dia ke rumah kami di Desa Pandan," kata beliau lagi.
Dalam laporan polis bulan lalu, Halimah antara lain mendakwa bahawa suaminya tidak membenarkan dia balik rumah wakil rakyat tersebut di Banting.
Abdullah Sani juga menjelaskan bahawa isterinya itu hanya sanggup balik ke rumah mereka di Banting dan tinggal bersama sekiranya ibunya tidak lagi berada bersama mereka.
"Saya tidak halang dia tinggal di Banting. Tetapi dia (Halimah) meletakkan syarat bahawa dia hanya akan balik ke rumah saya di Banting jika ibu saya tidak lagi tinggal bersama saya.
"Saya kata tidak boleh. Mana boleh saya minta ibu saya tinggalkan saya, dia ibu saya, ibu saya menjadi keutamaan saya... lebih-lebih lagi dia uzur, sakit.
"Sebagai anak sulung, saya bertanggungjawab menjaga dia. Saya kata saya tidak boleh terima syarat dia," kata Abdullah Sani yang sekali lagi menegaskan, "laporan yang dibuat itu satu pembohongan... itu semua bohong."
"Saya tiada cara lain. Saya kena buat pilihan. Saya mengambil emak saya, saya kena jaga dia (ibu saya)," kata beliau.
No comments:
Post a Comment