Blog Archive

Sunday, 5 August 2012

MANOHARAN DIGESA TARIK BALIK KENYATAAN BERKAIT PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menggesa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M. Manoharan menarik balik kenyataannya mengenai Perlembagaan Persekutuan yang disiar  akhbar semalam. 

Bercakap kepada Bernama hari ini, Presiden PPKM Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata kenyataan yang dibuat Adun DAP itu mengelirukan rakyat. 

Beliau merujuk kepada kenyataan Manoharan yang dilapor sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam di bawah tajuk 'DAP Mahu PAS Pecat Mohd Nor'. 

Manoharan dilapor berkata: "Sebenarnya kita tidak boleh meletakkan perkataan kolot apabila membicarakan soal agama. Ini kerana dalam konteks Malaysia, Perlembangaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan  Perlembagaan menegaskan Malaysia adalah negara sekular."   

Wan Mahmood berkata jika benar Manoharan mengeluarkan kenyataan itu, beliau harus menarik balik dan membetulkan fakta.
    
"Ini kerana pada pandangan saya, ini (kenyataan Manoharan) bercanggah dengan Perlembangaan Malaysia dalam artikel 3(1) jelas menyatakan Islam adalah agama rasmi persekutuan," katanya. 

Beliau juga berkata perkara sama termaktub dalam undang-undang tubuh negeri Selangor. 

"Kalau tahap pembacaannya belum sampai ke tahap membaca perlembagaan Malaysia, saya harap dia sebagai Adun di negeri Selangor sepatutnya telah membaca undang-undang tubuh Negeri Selangor, yang jelas di dalam  perkara xlvii menyatakan agama Islam sebagai yang dianuti diamalkan di dalam negeri ini hingga kini hendaklah menjadi agama negeri dan di dalam perkara lviii Duli (menyatakan) Yang Maha Mulia (Sultan) adalah ketua agama  negeri. 

"Oleh yang demikian kata-kata Manoharan di dalam petikan akhbar tersebut adalah mempersoalkan kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam yang termaktub dalam undang-undang tubuh Negeri  Selangor," katanya. 

Wan Mahmood juga berkata jika benar Manoharan mengeluarkan kenyataan itu maka beliau harus memohon maaf daripada Sultan Selangor. 

No comments:

Post a Comment