KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendesak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menjelaskan status sebenar pembangunan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ia berikutan kenyataan bercanggah yang dikeluarkan di akhbar harian berbahasa Inggeris pada 16 Julai bahawa ia akan dibangunkan semula di tapak asalnya di Jalan Tun Sambanthan (Lot 18).
"Namun, ramai terkejut apabila melihat dengan mata sendiri papan tanda yang didirikan di tapak IPD Brickfields, yang mengatakan adanya cadangan menukar zon kegunaan tanah daripada institusi kepada perdagangan untuk membangunkan tanah tersebut bukan sebagai tapak IPD Brickfields yang baru, tetapi sebagai pembangunan bercampur.
"Oleh itu saya mendesak Menteri Wilayah untuk bercakap benar tentang hal IPD Brickfields ini, apakah sebenarnya status pembangunan semula IPD Brickfields dan mengapa kenyataan beliau pada 16 Julai bercanggah dengan apa yang kelihatan pada papan tanda yang didirikan di Lot 18?" kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden PKR ini menambah, seperti mana pendedahan beliau 26 April lalu bahawa Lot 18 telah diberi kepada Primamuda Holdings Sdn Bhd dalam satu pertukaran tanah sebagai balasan membangunkan Lot 55 (Balai Polis Jalan Travers).
"Sekali lagi diingatkan bahawa salah seorang pengarah syarikat tersebut adalah Mariany Mohamad Yit iaitu Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Dewan Negara, dan mantan Ahli Lembaga Penasihat DBKL.
"Jika didapati Lot 18 benar-benar telah diberi kepada Primamuda Holdings, maka Raja Nong Chik seharusnya meminta maaf kepada warga Lembah Pantai dan penduduk Brickfields khususnya kerana mengecewakan penduduk yang mengharapkan IPD Brickfields dikembalikan ke lokasi asal di Jalan Tun Sambanthan," katanya.
Justeru Izzah berkata, beliau memberi tempoh sehingga Khamis depan untuk menjawab segala soalan dan sebagai langkah akhir, pihaknya akan menggesa penduduk Brickfields dan Bangsar untuk mengadakan satu tunjuk perasaan aman sebagai tanda tidak puas hati.
"Sebagai langkah terakhir, saya selaku wakil rakyat Lembah Pantai yang dipilih akan menggesa penduduk Brickfields dan Bangsar untuk mengadakan satu tunjuk perasaan aman pada jam 10 pagi hari Jumaat, 10 Ogos 2012 di Lot 18 Jalan Tun Sambanthan untuk menyatakan rasa tidak puas hati penduduk berkenaan isu ini," katanya.
No comments:
Post a Comment