Blog Archive

Thursday, 2 August 2012

AISHAH: JANGAN BANGKIT KISAH LAMA ARTIS SERTAI POLITIK

KUALA LUMPUR - Artis veteran Wan Aishah Wan Arifin mahu orang ramai khususnya pengkritik politik tidak membangkitkan kisah-kisah lama selebriti yang menyertai parti politik termasuk Pas.

Dalam melahirkan rasa kesal terhadap pihak tertentu khususnya di kalangan media ingin mendedahkan kisah hidup artis lampau, Aishah berkata, tindakan itu menunjukkan bahawa ada pihak tidak berpuas hati dengan artis yang telah pun berhijrah.

“Namanya pun dah berhijrah, buat apa nak ungkit-ungkit kisah lama, dah namapun berhijrah.

“Macam kes Abby Abadi ada pihak media yang kata awak mesti ingat ada kisah awak sebelum ni yang boleh dedahkan, betul ke cara macam tu? Namapun dah berhijrahkan?” kata beliau dipetik Harakahdaily.

Beliau mengulas kritikan media dan blog pro-Umno dan BN ke atas artis yang telah berhijrah - menyertai parti Islam itu.

Abby menyertai Pas sebagai ahli seumur hidup bulan lalu.

Dalam laporan itu, Aishah juga melahirkan rasa kesal apabila sesama Islam mengutuk penghijrahan artis terutama di laman sosial facebook dan twitter sedangkan memperkatakan keindahan Islam menjadi tanggungjawab semua pihak.

Malah kata beliau, tidak semestinya golongan ustaz dan ustazah sahaja wajib menerangkan kebaikan Islam, sebaliknya semua manusia yang beragama Islam mempunyai tanggungjawab itu.

Katanya, sepatutnya mereka beri sokongan kepada artis yang telah berhijrah.

Menurutnya, beliau sendiripun membuat keputusan itu kerana yakin dengan perjuangan Pas yang membela nasib masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

"Jadi siapa lagi kita nak tumpang, kalau bukan sebuah perjuangan yang membawa kebaikan dan kebenaran untuk kelangsungan kehidupan yang kekal di akhirat?” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh tentang Abby yang telah ditamatkan kontraknya sebagai Duta Tudung Al-Humaira Cotemporary, beliau menyambutnya dengan tenang dan memahami perkembangan tersebut.

Jelas Aishah, ia menjadi hak syarikat itu sendiri untuk membuat keputusan untuk kepentingan syarikatnya sendiri.

“Bagaimanapun Abby jangan risau kerana rezeki ALLAH ada di mana-mana, ALLAH tidak akan menzalimi hamba-Nya.

“Cadangan supaya Abby mengadakan jenama tudungnya sendiripun satu cadangan yang baik juga... bagus,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

No comments:

Post a Comment