PENGERUSI Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak menjelaskan bahawa pertuduhan yang dibuat ke atas pemain import Kelantan, Mohammad Ghaddar adalah berdasarkan bukti daripada rakaman video ketika perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium, Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 29 Jun lepas.
"Tiada aduan yang dibuat daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai insiden tersebut.
"Sebaliknya, tuduhan dibuat adalah berdasarkan bukti daripada rakaman video yang diteliti oleh pihak FAM sendiri," kata Taufik kepada Sinar Harian Online hari ini.
Jelas Taufik, Ketua Pasukan Selangor, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Bunyamin Umar juga tidak terkecuali dikenakan pertuduhan yang sama apabila turut berkelakuan ganas dan tiada semangat kesukanan.
"Bukan Ghaddar sahaja yang dikenakan pertuduhan, sebaliknya kedua-dua pemain Selangor turut menerima surat pertuduhan tersebut.
"Jadi, kesemua pemain berkenaan hanya mempunyai tempoh beberapa hari untuk menjawab pertuduhan itu.
"Dan, jika didapati bersalah hukuman penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,500 bakal dikenakan," kata Taufik sambil menambah, "pertuduhan ini adalah sama yang dikenakan ke atas penyerang Negeri Sembilan, Jean Effa Owona yang didapati bersalah kerana berkelakuan ganas dalam perlawanan menentang Felda United tempoh hari di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi."
Taufik berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertuduhan dibuat oleh FAM terhadap Mohd Ghaddar yang didakwa berkelakuan ganas terhadap pemain tengah Selangor, Mohd Bunyamin Umar.
Berdasarkan laporan sebuah akhbar semalam, Ghaddar didakwa berkelakuan ganas atau tiada semangat kesukanan dengan menyerang dan memukul secara fizikal menggunakan tangan dibahagian tepi kiri pemain Bunyamin.
Justeru, pemain tersebut mempunyai tempoh sehingga 12 tengah hari, 1 Ogos depan untuk menjawab pertuduhan yang dikemukakan.
No comments:
Post a Comment