Kira-kira 10 penternak di lokasi padang ragut di Kampung Geduk, di sini, memohon pihak bertanggungjawab supaya mengotakan janji sejak 2008 untuk membekalkan elektrik dan air ke kawasan berkenaan.
Penternak, Pudin Surin, 48, berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja bil elektrik sekurang-kurangnya RM600 sebulan berbanding sekiranya bekalan berkenaan disediakan iaitu sekitar RM100 ke RM200 sebulan.
Menurutnya, lokasi terbabit diusahakan penternak di bawah kebenaran Jabatan Perkhidmatan Vaterinar sejak 20 tahun lalu dan sehingga kini permohonan kemuda-han berkenaan masih belum dipenuhi.
“Terbaru ada penternak berhadapan masalah kolam tambahan yang telah tertutup akibat kerja-kerja pembinaan sejak Ogos tahun lalu. Pihak berkenaan pula tidak membantu mendirikan kolam baru bagi memastikan bekalan airnya mencukupi.” katanya kepada portal online
Bagi Nona Dawit, 65, dia dan suaminya, Ibrahim Abdullah, 70, sudah mengusahakan ternakan sejak 1996 iaitu setelah suaminya bersara.
Menurutnya, dia juga terpaksa membina kolam bagi menampung sumber air serta menggunakan generator bagi mendapat bekalan elektrik.
“Oleh itu, saya sangat berharap janji pihak berkaitan bagi melengkapkan kemudahan di sini dapat dipenuhi.
“Malah, kita harap pihak bertanggungjawab dapat memantau kerja-kerja membina jalan di sini yang telah menyebabkan kerosakan kepada beberapa kemudahan seperti pagar bagi mengelakkan ternakan berkeliaran ke kawasan penternak lain,” katanya.
Manakala, bagi Bahari Sulong, 66, disebabkan dia mendapat lokasi padang ragut berdekatan sumber elektrik, dia tidak berhadapan masalah berkenaan, namun simpati dengan nasib rakan lain.
“Bagaimanapun, saya harap agar pihak berkenaan akan dapat melihat kerosakan ini dan membantu kita memperbaikinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment