Bagaikan sudah menjadi trend di Hollywood apabila banyak produksi berlumba-lumba menghasilkan filem remake atau reboot.
Biarpun tidak semua filem remake berjaya di panggung seperti mana filem asal, namun cabaran itu disahut pengarah Total Recall, Len Wiseman.
Total Recall merupakan versi baru bagi filem dengan judul sama yang pernah ditayangkan pada 1990 dan dibintangi pelakon handalan, Arnold Schwarzenegger dan Sharon Stone.
Berlatar belakangkan tahun 2084, Total Recall mengisahkan seorang pekerja bernama Douglas Quaid yang memiliki kehidupan normal, namun sering didatangi mimpi aneh mengenai planet Marikh hampir setiap malam.
Dek tidak tahan lagi dengan situasi itu, Quaid mengunjungi Total Rekall Inc iaitu sebuah syarikat yang mampu merealisasikan mimpi seseorang dengan penanaman ingatan tiruan.
Tanpa dijangka, kehidupan Quaid semakin kucar-kacir selepas itu dan bermulalah perjalanannya antara dunia fantasi dan realiti yang sukar
dibezakan.
Memandangkan filem ini diadaptasi daripada cerita pendek berjudul We Can Remember It for You Wholesale karya penulis hebat, Philip K Dick, tentunya cabaran dihadapi Wiseman lebih besar.
Seorang yang skeptikal dengan idea menghasilkan filem remake, Wiseman bagaimanapun tertarik untuk mengarahkan Total Recall yang menampilkan kelainan daripada filem asal.
“Setelah membaca skrip, saya dapati banyak perubahan yang akan diangkat dalam filem ini termasuklah tiada babak di Marikh.
“Malah, filem kali ini lebih menyerupai jalan cerita dihasilkan Dick di mana penekanan diberi kepada misi Quaid untuk menyelamatkan bumi dan bukannya Marikh,” katanya.
Kesan khas asli
BERGENRE aksi dan sains fiksyen, penggunaan teknologi sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam fi lem yang dibintangi Collin Farrel (Quaid), Jessica Biel (Melina) dan Kate Beckinsale ( Lori Quaid).
Bagaimanapun, jelas Wiseman, bukan semua adegan di dalam Total Recall menggunakan janaan komputer (CG) sepenuhnya.
“Saya sememangnya gemar melakukan efek dan aksi secara ‘asli’ tanpa bantuan komputer.
“Mungkin penonton menyangka ada babak tertentu menggunakan CG padahal ia dilakukan secara praktikal, melalui kerja kamera, penggunaan prop dan sebagainya.
“Maka, saya harap mereka dapat menikmati Total Recall yang menggabungkan kedua-dua teknik untuk menjadikannya sebuah fi lem yang hebat,” katanya yang pernah mengarahkan filem Underworld.
Yakin kemampuan Farrell
JIKA dilihat daripada barisan pelakon, mungkin ramai penonton yang lebih ternanti-nantikan kemunculan Biel dan isteri Wiseman sendiri, Beckinsale.
Ini kerana, aura Farrell sebagai pelakon lelaki yang digemari agak berkurangan ketika ini berbanding zaman kegemilangannya.
Berlainan dengan Wiseman yang melihat Farrel dari kaca mata pengarah apabila menyifatkan aktor kacak itu berjaya laksanakan karakter Quaid dengan baik.
“Karakter Quaid yang pelbagai itu sungguh misteri dan Farrell perlu bermain dengan emosi dalaman bagi menterjemahkannya.
“Saya yakin penonton akan menyukai Farrell dan dapat merasai perjalanan hidup watak Quaid yang berdepan masa sukarnya,” katanya.
Filem yang menelan kos lebih RM600 juta ini akan mula menemui pawagam bermula 2 Ogos ini.
No comments:
Post a Comment