Blog Archive

Wednesday, 20 June 2012

Tabung Haji akan muktamad beli hartanah London

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di jangka memuktamadkan rundingan bagi pembelian hartanah di kotaraya London September ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata hartanah yang akan dibeli itu sudah pun dikenal pasti melalui tinjauan yang dijalankan sebuah pasukan khasnya sejak 2008.

"Hartanah di UK sememangnya sudah lama berada dalam perhatian kami. Namun kami amat berhati-hati dalam membuat pembelian kerana setiap aset yang dibeli Tabung Haji mesti mematuhi syariah...justeru kami sedikit perlahan berbanding agensi pelaburan lain.

"Hartanah yang akan dibelinya itu kini dihuni oleh barisan penyewa yang menjalankan aktiviti perniagaan yang tidak bertentangan dengan syarak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Pensijilan ISO daripada DQS dan SIRIM QAS International Sdn Bhd bagi Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat (ISMS) dan bagi Pengurusan Perkhidmatan dan Operasi Haji di Malaysia dan Arab Saudi.

Pensijilan itu disampaikan kepada Ismee oleh Pengarah Urusan Kumpulan DQS Michael Drechsel dan Pengarah Urusan SIRIM QAS Khalidah Mistafa.

Mengenai usaha mengembangkan skop pelaburan Tabung Haji ke UK dengan membeli hartanah di London, beliau berkata ini adalah untuk merebut peluang dalam bidang yang menjanjikan pulangan lumayan dan pendapatan tetap, sekali gus mampu memberikan kadar pulangan masa depan yang baik serta konsisten kepada pendeposit.

Tabung Haji kini memiliki 6.9 juta pendeposit dengan jumlah deposit setakat tahun lalu sebanyak RM31.7 bilion.

Mengenai penganugerahan sijil ISO bagi ISMS, Ismee berkata ini merupakan usaha berterusan Tabung Haji untuk menjaga kepentingan pendeposit dan nilai perkhidmatan yang diberikan kepada mereka melalui sistem keselamatan maklumat yang terbaik.

"Tabung Haji beroperasi sebagai sebuah institusi kewangan (bank) dan disebabkan itu kita turut memberi penekanan terhadap keselamatan maklumat data pendeposit...ini merupakan kejayaan besar dan menunjukkan keselamatan IT TH setanding IT infrastuktur yang ada di institusi kewangan lain," katanya.

Mengenai Pensijilan ISO bagi Pengurusan Perkhidmatan dan Operasi Haji di Malaysia dan Arab Saudi, beliau berkata ia merupakan pensijilan semula terhadap ISO yang dilaksanakan sejak 1997 dan sebagai platfom kepada Tabung Haji dalam melaksanakan penambahbaikan berterusan kepada pengurusan dan operasi haji serta kebajikan jemaah haji Malaysia.

No comments:

Post a Comment