Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal menyatakan mereka bercadang untuk ke Austria dan Hungary sebelum mengharungi Piala Suzuki AFF.
Menurut media, Skuad Harimau Malaya bercadang untuk mengadakan latihan dan beberapa siri perlawanan persahabatan di Eropah sebagai persediaan Piala Suzuki AFF yang akan berlangsung November ini.
"Atas pandangan jurulatih, kita bercadang mengadakan sesi latihan di luar negara pada Ogos ini. Setakat ini cadangan awal adalah untuk ke Austria atau Hungary.
"Sebelum ini Manchester United dikhabarkan mungkin datang ke Malaysia pada Ogos tapi semalam (kelmarin) saya dimaklumkan kelab itu tidak ke sini kerana memilih lokasi lain," katanya selepas majlis pelancaran tiket perlawanan Pilihan Malaysia menentang Arsenal, semalam.
Perlawanan di Eropah itu juga dijadualkan selepas Harimau Malaya beraksi menentang Arsenal dan Manchester City ayang akan berada di Malaysia pada 24 dan 30 Julai ini.
Selain itu, Datuk Subahan juga memberitahu bahawa pihaknya sedang cuba mengatur perlawanan berstatus A dengan Vietnam.
"Kami juga memohon untuk bermain dengan Vietnam kerana saya fikir kalau mereka tidak diundi dalam pasukan sama, lebih baik Harimau Malaya mengadakan perlawanan dengan Vietnam yang mempunyai ranking lebih tinggi. Tetapi sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan yang pasti untuk perkara itu," katanya.
No comments:
Post a Comment