Blog Archive

Monday, 25 June 2012

MISI DAGANG KE ARAB BERJAYA


KUALA LUMPUR - Satu misi pemasaran produk, peralatan dan perkhidmatan yang berkaitan penjanaan kuasa ke Arab Saudi pada bulan lepas telah menghasilkan jualan berjumlah RM912.15 juta.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata 81 pertemuan perniagaan telah diatur bagi 12 syarikat Malaysia yang mengambil bahagian di dalam misi yang diselaraskan dengan Tenaga National Bhd (TNB).

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Jeddah, Amran Yem berkata penyertaan Malaysia mendapat sambutan menggalakkan di Riyadh dan Jeddah dari 26 hingga 30 Mei.

"Jualan itu menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang baik untuk membida projek elektrik di Arab Saudi. Malaysia dilihat sebagai negara Islam yang berupaya yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti bagi produk dan perkhidmatan yang berkualiti baik dan mematuhi standard antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Matrade berkata misi itu membolehkan syarikat Malaysia memenuhi matlamat pelanggan yang berpotensi di kalangan syarikat Arab Saudi di dalam sektor penjanaan kuasa.

Agensi perdagangan dan pelaburan Malaysia itu menyatakan bahawa Matrade Jeddah akan memudahkan lagi kemudahan TNB, anak syarikatnya dan vendor bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan berkaitan tenaga Malaysia di pasaran Arab Saudi.

"Adalah penting bagi syarikat Malaysia untuk melakukan susulan terhadap hubungan perdagangan semasa misi itu bagi menjalin kerjasama perniagaan masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment