BERA - Pakatan Rakyat (PR) berkeyakinan tinggi Parlimen Bera akan jatuh ke tangan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU- 13) nanti.
Penyelaras PR Parlimen Bera, Mazlan Aliman berkata, jentera PR sudah lama bersedia ‘berperang’ menentang Barisan Nasional (BN) pada bila-bila masa.
Menurutnya, tidak kira bila PRU-13 diadakan, PR yakin akan mendapat majoriti undi dalam kalangan pengundi.
“Bukan saya mahu cakap besar tetapi apa yang diperhatikan pada hari ini, PR semakin diterima rakyat lebih-lebih lagi kerajaan hari ini gagal untuk mendengar suara mereka.
“Sekiranya, BN beranggapan Felda adalah kubu kuat mereka tetapi dakwaan itu sekarang jauh meleset kerana ramai dalam kalangan peneroka dan generasi kedua sudah menyokong PR,” katanya.
Menurut Mazlan, selama empat tahun berada di Parlimen Bera ini, mem-berikannya peluang untuk melihat perkembangan politik BN di sini yang semakin huru-hara.
Katanya, bukan sahaja dalam kalangan pucuk pimpinan BN yang tidak mempunyai kata sepakat malah tindakan mementingkan diri sendiri dan kroni masing-masing menjadi kesilapan terbesar mereka.
“Apa yang saya perhatikan, setiap pemimpin BN lebih banyak memberi peluang dan ruang kepada kroni masing-masing.
“Sepatutnya, sebagai wakil rakyat, mereka kena adil. Bukan hanya memberi kepada orang yang sama sahaja sedangkan mereka yang layak masih terpaksa menagih bantuan kepada pihak berkenaan,” kata beliau.
Mazlan berkata, keadaan ini sememangnya memberikan peluang kemenangan yang mudah bagi PR dan itu adalah merupakan salah satu faktor PR berasa yakin untuk merampas Parlimen Bera kali ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua PKR Cabang Bera , Bob Manolan Mohamed berkata, kemenangan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen boleh menjadi milik mereka kali ini jika BN tidak main kotor.
Beliau mendakwa, ada nama pengundi yang sebelum ini mengundi di Selangor ditukarkan ke negeri ini untuk memastikan kemenangan parti BN.
Katanya, pihaknya akan menyiasat lebih dalam perkara ini kerana tidak mahu PRU-13 kali ini terus dicemari dengan pengundi-pengundi hantu yang diimport BN.
“Kita mahukan pilihan raya yang bersih dan telus. Tetapi, jika keadaan itu berlaku sekarang, sudah pasti seperti ada yang tidak kena malah menunjukkan seolah-olah BN tidak bersedia menghadapi kekalahan,” katanya
Ikuti Laporan Khas Menjelang PRU 13
No comments:
Post a Comment