GUA MUSANG - Perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab dengan melontar batu atau ketulan tanah ke arah kenderaan yang melalui Jalan Persiaran Raya, di sini, yang reda sejak sebulan lalu berulang semula awal pagi semalam.
Kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki, hampir terbabas selepas terkena lontaran ketulan tanah keras yang dilemparkan lelaki tidak dikenali dari atas bukit berhampiran Taman Kesedae Jaya, kira-kira jam 5 pagi.
Pemilik kenderaan tersebut, Baha Yusoff, 41, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Perubahan Jabatan Perumahan Negara (JPN), berhampiran kawasan perindustrian untuk menghantar rakannya ke Stesen Keretapi Gua Musang.
Menurutnya, semasa melalui kawasan itu, dia terkejut apabila ternampak lontaran ketulan tanah keras ke arah kenderaannya dan mujur terkena bahagian nombor plat.
“Saya nampak kelibat seorang lelaki yang melarikan diri sebaik melakukan perbuatan itu dari atas bukit berhampiran taman perumahan tersebut.
“Saya hairan kenapa dia sanggup berjaga sehingga awal pagi untuk melakukan perbuatan itu, dan tidak tahu motif sebenar mereka melakukan perkara berkenaan,” katanya.
Baha berkata, perkara itu tidak harus dibiarkan dan pihak berkenaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu, sekali gus mengelakkan lebih banyak kenderaan menjadi mangsa.
Katanya, dia sebelum ini memang tidak mengetahui kawasan itu pernah menjadi tumpuan perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab, sehingga menyebabkan banyak kenderaan rosak terkena lontaran batu atau ketulan tanah keras.
“Selepas saya menjadi mangsa perbuatan jahat itu, baru ada pengguna lain menceritakan perkara sama yang pernah berlaku sebelum ini.
“Nasib baik tidak terkena cermin kereta, jika tidak mungkin kenderaan yang saya pandu akan terbebas,” katanya kepada media.
No comments:
Post a Comment