Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu di Malaysia, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan. Secara tradisinya dibuat di Batu Caves, satu daripada 10 ikon pelancongan negeri Selangor.
Meskipun Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 menunjukkan jumlah penganut Hindu hanya membentuk 6.3 peratus daripada pelbagai kepercayaan yang ada di negara kita, sambutan Thaipusam tidak pernah dipertikai atau dihalang dengan alasan ianya diamalkan oleh kelompok minoriti.
Kerajaan negeri Selangor berikrar untuk menjaga kerukunan hidup masyarakat majmuk yang sentiasa memberi ciri keunikan negara ini, meskipun kadangkala ia menjadi cabaran genting untuk ditangani.
Sejak 2008, banyak bantuan telah disampaikan untuk pelbagai keperluan masyarakat India serta agama Hindu di negeri Selangor.
Selain pembaikan infrastruktur, bantuan sosial untuk masyarakat India juga disampaikan dalam bentuk bantuan persekolahan dan latihan kemahiran, peruntukan tahunan yang mencecah hampir RM20 juta kepada sekolah-sekolah Tamil sejak 2008 serta bantuan kebajikan meluas di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
Permohonan tanah juga diluluskan untuk keperluan puluhan kuil Hindu.
Kerajaan negeri Selangor percaya bahawa realiti majmuk masyarakat Malaysia ini perlu dihargai. Bantuan dan kerjasama dengan masyarakat India akan terus diberikan mengikut kemampuan. Sesungguhnya segala perbezaan itu adalah lumrah dan mesti disantuni dengan baik.
Thaipusam sebagai perayaan yang disambut untuk membayar nazar dan sebagai tanda syukur penganutnya bagi segala permintaan lalu yang tercapai dan memohon ampun akibat dosa dan kesalahan yang dibuat jelas menunjukkan adanya ciri falsafah yang khusus berkaitan agama Hindu.
Kisah pertembungan Dewa Murugan dan Surapadman yang menggambarkan kebijaksanaan dan persediaan yang cukup untuk mengalahkan kejahatan dan pengkhianatan wajar dihayati oleh seluruh penganut agama Hindu.
Semoga sambutan tahun ini berlangsung dalam suasana muhibah. Sekali lagi saya mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu.
No comments:
Post a Comment