Blog Archive

Thursday, 16 August 2012

MP BUKIT BINTANG TUMBUK PERAGUT

Seorang lelaki yang disyaki peragut berjaya ditangkap semasa cuba melarikan diri selepas ditumbuk di bahagian bahu oleh ahli Parlimen berusia 66 tahun.

fong kui lunAhli parlimen tersebut ialah wakil rakyat DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun.

Insiden itu berlaku semalam di jalan berhampiran Shaw Parade, Pudu, Kuala Lumpur ketika Fong sedang berjalan menuju ke keretanya selepas makan tengah hari.

"Saya melihat beberapa orang mengejar seorang lelaki," katanya ketika dihubungi hari ini.

Tanpa teragak-agak, Fong (kanan) menumbuk lelaki itu ketika berlari melepasinya.

"Saya cuba tumbuk mukanya tetapi hanya sempat mengenai bahu kirinya," kata Fong.

Tumbukannya itu berjaya melambatkan lelaki itu dan berjaya ditangkap oleh mereka yang mengejarnya.

Fong berkata suspek itu, bersama seorang rakannya, cuba melarikan diri dari tempat kejadian selepas didakwa meragut telefon mudah alih seorang wanita.

Tuesday, 14 August 2012

LEBIH 60 NGO TUBUH MAJLIS GERAKAN NGO ISLAM BANTU ROHINGYA

KUALA LUMPUR - Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) bersama 61 badan bukan kerajaan (NGO) Asia Tenggara bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan NGO Islam yang akan berpusat di Malaysia bagi membantu etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, gerakan tersebut menggabungkan badan Islam bagi mencari jalan untuk membantu etnik tersebut.

Beliau berkata, kesengsaraan rakyat Rohingya membuka mata masyarakat Islam terutamanya NGO berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Antara misi kami ialah menggesa badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu ini.

"Malah, mendesak mereka supaya mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati protokol Badan Hak Asasi Manusia Asean (AHRB)," katanya selepas menandatangani Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam Asean Misi Kemanusiaan Rohingya, hari ini.

Antara negara yang terlibat sama adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, resolusi itu ditubuhkan untuk membantu pelarian Rohingya dari terus dianiaya dan dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar.

"Tindakan pemerintah Myanmar yang hanya mementingkan kerusi politik berbanding kesengsaraan masyarakat Rohingya yang dianiaya dan dibunuh sejak dua dekad lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika rombongannya ke Arakan baru-baru ini, mereka diberi amaran oleh pemerintah Myanmar suapaya tidak meneruskan perjalanan ke perkampungan tersebut.

Beliau bersama ahli rombongan menghadapi pelbagai cabaran kerana disekat oleh tentera mereka dari menjejakkan kaki ke perkampungan tersebut.

Menurutnya, di sebalik kekejaman pemerintah Myanmar, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kemanusiaan terutamanya, Thailand.

"Kementerian Thailand bersimpati dengan nasib masyarakat Rohingya telah membawa isu kesengsaraan mereka ini ke peringkat antarabangsa dengan merujuk kepada OIC.

"Malah, Angkatan Tentera Laut Thailand turut membantu pelarian Rohingya berlindung dari kekejaman rejim Myanmar," katanya.

HARGA MINIMUM ROKOK RM 7

PUTRAJAYA - Kerajaan menetapkan harga minimum bagi semua jenama rokok ialah RM7 mulai 1 Sept dan hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata serentak itu, kerajaan turut memansuhkan semua jenis diskaun yang ditawarkan oleh syarikat rokok.

Beliau berkata kerajaan juga hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 10 paket dalam satu karton.

"Mulai 1 Sept 2012, semua diskaun jualan rokok akan dimansuhkan... semua jenama rokok tidak boleh mengadakan diskaun. Pelarasan diskaun harga jualan runcit rokok dimansuhkan. Hanya satu harga minimum iaitu RM7 untuk paket 20 batang.

"Pengilang-pengilang membungkus rokok perlu memastikan dalam paket hanya 20 batang dan satu karton mengandungi 10 paket sahaja," katanya pada sidang akhbar selepas memperkenalkan 'Duta ASAP Smoke Free Lifestyle', di sini hari ini.

Liow berkata dengan penguatkuasaan peraturan itu kesemua rokok yang dijual dalam negara hendaklah dijual dengan harga tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan itu.

Tahun lepas harga minimum rokok ditetapkan RM7 bagi 20 batang apabila Kementerian Kesihatan menguatkuasakan Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau.

Bagaimanapun kerajaan ketika itu tidak menetapkan saiz paket dan terdapat 21 batang rokok (RM7.23), 22 batang rokok (RM7.70), 23 batang rokok (RM8.05).

Liow berkata walaupun sebelum ini penjualan rokok pada harga yang lebih rendah dilarang, syarikat rokok dibenar membuat pelarasan harga sebanyak tiga kali setahun dengan perbezaan harga tidak boleh melebihi lima peratus.

Beliau berkata kerajaan menguatkuasa peraturan baru itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Dengan penguatkuasaan peraturan baru ini, kompaun antara RM500 dan RM5,000 dikenakan bagi kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum manakala bagi kesalahan menjual rokok tidak sah, peniaga yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

DUA WARTAWAN DIDAKWA HINA,FITNAH PRESIDEN MESIR

KAHERAH - Dua wartawan Mesir, Tawfiq Okasha dan Islam Afifi akan dihadapkan di mahkamah kerana memfitnah dan menghina Presiden Mohammed Mursi.

Tawfiq, yang memiliki stesen TV al-Faraeen dan juga hos satu program, berhadapan dengan dakwaan memfitnah.

Dia didakwa menghasut agar membunuh presiden, demikian menurut jurucakap Pejabat Pendakwa Raya, Adel Saeed.

Islam pula, editor akhbar al-Dustour, dirujuk kepada mahkamah kerana menyebarkan maklumat palsu dan khabar angin yang mengancam keselamatan dan kestabilan negara dan kerana menghina Mohammed.
Tarikh perbicaraan belum diputuskan.

Bagaimanapun kes itu dilihat akan menarik perhatian dunia, yang ingin mengetahui kebebasan media di bawah kepimpinan Mohammed.

Mohammed mengangkat sumpah sebagai presiden baru Jun lalu.

PEMAIN BOLA REMAJA MALAYSIA SERTAI KELAB ITALI

KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak remaja Malaysia yang baru berusia 15 tahun, Sean Gan Giannelli, akan menyertai kelab Itali, Atletico Arrezo untuk pasukan bawah 17 tahunnya di Tuscany pada 20 Ogos ini, selepas berjaya menawan hati jurulatih dan kakitangan teknikal kelab baru-baru ini.

Sean yang berdarah campuran Itali-Malaysia, merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan berlatih serta bermain dengan pasukan Bukit Jalil bawah 17 tahun, iaitu skuad pelapis pasukan kebangsaan.   

Bapanya, Massimo memberitahu Media dari Milan, beliau berbangga dengan pencapaian anak lelakinya memandangkan remaja itu menjadi rakyat Malaysia pertama mewakili kelab bola sepak remaja Itali selepas menjalani percubaan pada Jun.

"Dia anak muda yang bercita-cita tinggi dan matlamat hidupnya ialah bermain bola sepak secara profesional pada tahap tertinggi di Eropah dan daripada apa yang dia capai setakat ini, tidak ada apa yang tidak boleh dilakukannya," katanya menambah yang beliau sedang melakukan persiapan untuk Sean di Itali.

Katanya kepantasan dan teknik yang dipamer Sean sebagai pemain penyerang, memikat hati ketua jurulatih kelab Serie D itu Abel Balbo, yang juga bekas pemain pasukan Argentina dan bermain bersama legenda bola sepak Maradona.
 
Balbo menyumbat 150 gol ketika bermain dalam Serie A dan pernah bermain untuk kelab AS Roma, Udinese, Fiorentina, Parma dan Boca Juniors.

Monday, 13 August 2012

PERODUA SEDIA BINCANG DENGAN PROTON

RAWANG - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bersedia untuk berbincang dengan DRB-HICOM Bhd mengenai kerjasama strategik dengan Proton Holdings Bhd. 

Pengarah Urusannya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata Perodua menunggu langkah DRB-HICOM. 

"Kedua-dua pihak akan bertemu untuk mengenal pasti bidang kerjasama selepas DRB-HICOM membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya Perodua di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan itu masih di peringkat awal dan tiada mesyuarat formal dibuat sehingga kini. 

"Kita perlu menghormati keputusan DRB-HICOM mengenai perkara ini dan saya ingin katakan bagi pihak kami, kami bersedia untuk berbincang dengan mereka," kata beliau. 

Mengenai sama ada Perodua akan terlibat dalam rancangan masa depan DRB-HICOM dengan Proton, Aminar berkata ia bergantung kepada sama ada rancangan itu sesuai bagi Perodua. 

Aminar berkata Perodua akan menawarkan pemeriksaan di 22 tempat pada bahagian kenderaan secara percuma untuk semua kenderaan Perodua di bawah kempen itu, yang dilancarkan di Kawasan Rehat dan Rawat Jejantas Sungai  Buloh.

YUSUF HASLAM TEGUR NEELOFA,PENGURUS MINTA TIDAK BUAT SPEKULASI

PENGURUS pelakon jelita Neelofa, Amir meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berikutan tersebarnya kenyataan Datuk Yusof Haslam menegur Neelofa supaya ‘Jangan Lupa Diri’.

“Kenyataan rasmi akan dibuat Neelofa dalam jangka masa terdekat dan segala spekulasi mengenai perkara itu harap dapat dihentikan,” katanya ketika dihubungi Portal Online sebentar tadi.

Nama pelakon seksi, Neelofa sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila dia dikatakan semakin lupa diri walaupun dirinya baru setahun jagung menceburi bidang seni.

Memetik laporan gosip sebuah akhbar yang disiarkan hari ini, perkara ini tercetus apabila Yusof, Pengarah Urusan Skop Productions mengeluarkan kenyataan ‘Jangan lupa diri’ ke atas Neelofa.

Yusof dikatakan bengang dengan sikap bekas juara Dewi Remaja itu yang tidak mahu memberikan kerjasama mempromosikan filem terbaru lakonannya, S.A.M yang bakal menemui penonton pada 16 Ogos ini.

Menurut laporan itu juga, Neelofa dikatakan enggan turut serta mempromosikan filem terbabit kerana dia hanya memegang peranan kecil sahaja dalam filem arahan pengarah termuda negara, Syafiq Yusof itu.

Selain itu, Neelofa turut didakwa enggan menjawab atau melayan segala panggilan yang dibuat pihak Skop Productions terhadapnya sehingga menyusahkan mereka untuk berkomunikasi dengannya.