Blog Archive

Saturday, 28 July 2012

INTERNET MUDAH ALIH ATASI MEDIA KONVENSIONAL

NEW DELHI – Peranti pintar kini pantas memintas media konvensional di India dengan 20 juta daripada anggaran 48 juta pengguna internet mudah alih telah mengalih 50 peratus daripada masa membaca surat khabar dan menonton televisyen kepada skrin mudah alih mereka.
   
Mereka melayari untuk mendapatkan kandungan hiburan, semua kategori berita, pelancongan dan sukan, demikian menurut kajian mengenai tingkah laku Internet Mudah Alih dan kajian penggunaannya yang dijalankan oleh ViziSense, platform pengukuran pengiklanan dan penonton dalam talian terkemuka India.
   
Daripada semua pengguna Internet mudah alih di India, 87 peratus adalah secara online di telefon mudah alih setiap hari dan 70 peratus daripada pengguna internet mudah alih setiap hari ini dalam kumpulan umur 24-34 tahun.
   
"Hampir separuh pengguna ini memilih berada dalam talian melalui telefon bimbit mereka setiap 2-3 jam dan tempoh tersebut lebih daripada sejam. Hampir 60 peratus pengguna ini telah berada pada medium ini lebih setahun," kata ViziSense dalam satu kenyataan.

Media sosial dan e-mel merupakan pemacu utama Internet mudah alih, kata kajian itu, yang menggabungkan kaji selidik dalam talian yang dijalankan dengan ahli panel dalam talian ViziSense India (pengguna internet dengan telefon mudah alih) dan mencatatkan respons daripada 2,024 pengguna yang melayari Internet melalui telefon mudah alih mereka.
   
Bagaimanapun, penggunaan kandungan mula beralih kepada dua skrin baru - Mudah alih dan Tablet - dan kategori yang menyaksikan kekerapan atau penggunaan harian termasuk Berita, Permainan dan Hiburan, Pengembaraan, Pendidikan dan Carian, katanya.
   
Pengguna ini juga memilih e-dagang mudah alih dengan hampir 80 peratus melaksanakan beberapa bentuk urusniaga kewangan melalui telefon mudah alih mereka seperti pembayaran bil utiliti, membeli produk dan perkhidmatan dan 28 peratus daripada pengguna internet mudah alih menggunakan 'wang mudah alih'.
   
Penembusan tablet, dan peningkatan permintaan bagi produk itu, memastikan industri IT dan media menarik.
   
Kaji selidik itu juga mendedahkan bahawa 14 peratus daripada pengguna sudah memiliki tablet manakala 60 peratus lagi merancang untuk membeli tablet tidak lama lagi.
   
Kaji selidik itu juga mendapati dua trend utama iaitu peralihan kepada skrin dan cetakan bahasa Inggeris beralih ke telefon mudah alih melalui aplikasi dan tapak Protokol Aplikasi Tanpa Wayar (WAP), terutama dalam kandungan gaya hidup, pengembaraan dan sukan.
   
India mempunyai asas pengguna telefon mudah alih kedua terbesar di dunia dengan lebih 929.37 juta pengguna sehingga Mei 2012. Negara itu mempunyai asas pengguna internet ketiga terbesar di dunia dengan lebih 121 juta pada Disember 2011.

PBB MAHU INKUIRI BEBAS SIASAT ISU ROHINGYA

NEW YORK - Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay mahu satu siasatan bebas diadakan ekoran dakwaan penganiayaan oleh pasukan keselamatan Myanmar di negeri Rakhine, menyasarkan etnik Islam.

Navi berkata, pasukan keselamatan yang dihantar ke negeri utara itu didakwa menyasarkan penduduk beragama Islam.

Menurut UNCHR, agensi pelarian PBB, sekitar 80,000 orang telah hilang tempat tinggal ekoran keganasan antara kaum di wilayah tersebut.

Keganasan terbaru di negeri  Rakhine bermula Mei lalu apabila seorang wanita etnik Rakhine, yang beragama Buddha, didakwa telah dirogol dan dibunuh oleh tiga orang beragama Islam.

Ia disusuli dengan letupan bom yang membunuh 10 orang Muslim pada 3 Jun lalu.

Sejak itu, seramai 78 orang telah terbunuh tetapi anggaran tidak rasmi menunjukkan angka kematian kemungkinan lebih tinggi.

"Kami terus-menerus menerima laporan daripada sumber-sumber bebas yang mendakwa berkenaan dengan aspek diskriminasi dan respons arbitari pihak pasukan keselamatan," kata Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia PBB ini.

"Laporan menunjukkan bahawa respons segera awal pihak berkuasa ke atas keganasan kaum kemungkinan telah berubah menjadi tindakan yang sasarkan kaum Muslim khususnya anggota komuniti Rohingya," katanya lagi.

Beliau menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan duta PBB akses ke negeri Rakhine minggu depan untuk membuat penilaian.

"Bagaimanapun ia bukan satu usaha mengadakan siasatan bebas," katanya lagi.

Friday, 27 July 2012

Kontroversi Pengantin Remaja

PEKAN – Perkahwinan pasangan remaja yang dikenali sebagai Syafiq, 16, dan Yana, 14, yang tersebar di laman blog serta video majlis perkahwinan di YouTube mengundangkontroversi serta terus mendapat pelbagai reaksi masyarakat di negara ini. Sinar Harian sempat berkunjung ke rumah keluarga pengantin lelaki di Bandar Dara Chini, namun keluarganya bertegas tidak mahu ditemu bual ekoran tidak selesa dengan publisiti yang diperoleh secara mendadak.

Menurut sumber keluarga terdekat, video tersebut dimuat turun ke laman maya bertujuan untuk berkongsi saat bahagia pasangan terbabit dengan ahli keluarga yang tinggal berjauhan dan tidak sempat hadir pada hari perkahwinan tersebut.

Portal online turut difahamkan bahawa pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada Februari lalu, namun kenduri bagi meraikan pasangan pengantin ini diadakan pada 8 Julai lalu.

Ibu pengantin lelaki yang ditemui turut mengakui bahawa dia sekeluarga memilih untuk berdiam diri walaupun ada reaksi negatif yang diterima daripada masyarakat mengenai perkahwinan anaknya.

Menurutnya, anak lelakinya akan meneruskan persekolahan pada tahun hadapan dan berharap agar orang ramai memahami situasi mereka yang merestui hubungan dan perkahwinan berkenaan.

Sementara itu, Kadi Daerah Pekan, Ahmad Nizam Abdul Manan yang dihubungi berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan perkahwinan pasangan berkenaan.

Menurutnya, sebarang perkahwinan yang melibatkan pasangan atau salah seorang daripada pengantin di bawah umur seharusnya mendapatkan perintah kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum ia dijalankan.

BURUAN EMAS PERTAMA BERMULA

SELEPAS perasmian Sukan Olimpik 2012 London, buruan kilauan emas pertama Malaysia bermula di kota London hari ini apabila tujuh emas ditawarkan pada hari pertama temasya berprestij itu.
Bagaimanapun, atlet Malaysia akan berusaha dalam dua acara emas iaitu menembak dan berbasikal.

Penembak wanita Nuryani Mohd Taibi, yang mengandung lapan bulan, akan mengambil bahagian dalam acara 10m Air Rifle di lapang sasar Royal Military Barracks manakala Adiq Husaini Othman dan Amir Mustafa Rusli akan berentap dalam acara lebuh raya sejauh 250km di sekitar bandar raya London.

Sejak penampilan sulung Malaysia pada sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956, sukan menembak dan berbasikal tidak pernah menyumbang pingat
melainkan dua butir perak dan dua gangsa menerusi acara badminton.

Trio pemanah negara -- Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad akan membuka tirai Malaysia dalam acara recurve berpasukan.

Trio negara itu menduduki tangga ke-10 daripada 12 pasukan pada pusingan ranking hari ini di Padang Kriket Lord dan akan berdepan dengan pasukan tangga
ketujuh, Mexico pada pusingan penyingkiran hari ini.

Di Arena Wembley, pemain pilihan utama Datuk Lee Chong Wei, yang menjadi sandaran emas pertama negara, akan memulakan saingan acara badminton dengan menentang pemain Finland, Lang Ville pada perlawanan Kumpulan A.

Beregu utama negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heng, yang menduduki ranking kelapan dunia, akan menentang beregu ranking ke-11 dunia dari Jepun, Naoki Kawamae/Shoji Sato.

Manakala beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying akan menentang gandingan Taiwan, Chen Hung Ling/Chen Wen Hsing.
Pemain badminton wanita sulung negara, Tee Jing Yi akan bertemu dengan pemain Korea Selatan, Yeon Ju Bae.

Tujuh butir emas hari ini ditawarkan dalam acara memanah, berbasikal, lawan pedang, judo, menembak, renang dan angkat berat.

PILIHAN MALAYSIA TEWASKAN INDONESIA B22 6-0

MALAYSIA  XI mencatatkan kemenangan selesa selepas mengalahkan skuad Bawah 22 tahun (B-22) Indonesia 6-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi.

Perlawanan itu yang diadakan secara tertutup di stadium tersebut bertujuan bagi menggantikan Kejohanan Piala Java 2012 yang telah ditunda pada Ogos nanti.

Malaysia XI yang tiba di Jakarta pada Isnin lepas untuk menyertai kejohanan empat penjuru yang julung kali diadakan itu terpaksa melupakan hasrat tersebut selepas dua pasukan jemputan iaitu Galatarasay dari Turki dan Everton dari England menarik diri disebabkan masalah teknikal.

Malaysia XI yang diwakili 15 pemain Harimau Muda A serta lapan pemain Liga Super membuka tirai jaringan menerusi penyerang Ahmad Hazwan Bakri seawal minit ke-11 sebelum pemain import pasukan Perak, Michal Kubala menggandakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan penalti.

Pemain PKNS Selangor, Mohd Azril Nasrulhaq Badrul menjaringkan gol ketiga pada minit ke-31 sebelum kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah menyumbat dua gol, masing-masing pada minit ke-34 dan 44.

Kapten Negeri Sembilan Mohd Shukor Adan melengkapkan kemenangan untuk Malaysia XI dengan gol keenam pada minit ke-60.

BEAN DAN BOND MERIAHKAN PERASMIAN OLIMPIK

Temasya sukan Olimpik 2012 sedang berlangsung di Olympic Stadium di sini dengan lebih satu bilion orang menyaksikannya secara langsung.
Lebih 80,000 orang berhimpun di Olympic Stadium di mana Britain menganjurkan temasya itu buat kali ketiga.
Temasya kali ini disertai 204 negara dan wilayah.
Bagi menandakan permulaan majlis perasmian, Red Arrows terbang melintasi Olympic Stadium pada jam 20.12 malam waktu London (4.12 waktu Malaysia).
Kesemua 204 kontinjen masuk ke dalam stadium dengan persekitaran yang menggambarkan aduan era moden dan lama sejak 5.30 pagi waktu Malaysia.
Kontinjen Malaysia melintasi pentas utama sekitar jam 6.15 pagi (waktu Malaysia).
Majlis perasmian yang mengadunkan era perindustrian dan moden, turut dimuatkan dengan penampilan 'Mr Bean' dan James Bond.
Perasmian disempurnakan oleh Ratu Elizabeth II.
Laporan BBC menyifatkan kemunculan Ratu Elizabeth sebagai "The Queen made an unexpected entrance - with a little help from James Bond."
Ratu Elizabeth tiba di stadium selepas satu video yang dihasilkan oleh BBC menunjukkan baginda diterbangkan menerusi helikopter oleh pelakon James Bond semasa, Daniel Craig.

LABU AIR LUAR BIASA

Kebiasaannya, buah labu air mencapai kepanjangan tidak lebih daripada 30 sentimeter (cm). Berbeza pula dengan labu air di Kampung Belukar, apabila ia mencapai ketinggian lebih 150 cm.

Guru al-Quran, Pak Su Mail berkata, dia tidak mengesyaki sebarang perubahan, ketika mula menanam buah labu air di belakang madrasah.

Namun katanya, dia mula berasa pelik, apabila mendapati buah itu tidak berhenti membesar, setiap kali melihatnya selepas mengajar al-Quran di madrasah tersebut.

“Ramai juga yang bertanya mengenai buah ini, namun ia hanya buah biasa seperti yang diperoleh di pasar.

“Saya juga tidak meletakkan sebarang baja, sebaliknya membiarkannya tumbuh di belakang madrasah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selepas mendapati buah ini berhenti membesar, dia dapati buah ini, mencapai lebih kurang 1.8 meter panjang.

Katanya, dia tidak menyangka, akan mendapat buah labu air panjang, dan menyifatkannya sebagai rezeki  daripada ALLAH SWT kepadanya.